PAS tidak terlibat undi tidak percaya di Terengganu, kata Hadi


Menurut Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, PAS tidak terlibat dalam usul undi tidak percaya kepada menteri besar Terengganu semalam yang dianggap tidak munasabah.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menafikan penglibatan parti Islam itu dalam tindakan Datuk Seri Ahmad Said mengemukakan usul undi tidak percaya kepada menteri besar Terengganu semalam.

Hadi sebaliknya berkata, PAS hanya akan menyertai usaha sedemikian dengan isu-isu yang munasabah dan bukannya berasaskan perebutan jawatan.

"PAS tidak terlibat. Terpulang kepada Umno, kerana mereka majoriti. Mesti isu munasabah. Kita akan lihat isu yang munasabah, bukan isu nak rebut jawatan," kata Hadi kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

PAS juga katanya tidak mengambil bahagian dalam mengusulkan undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman selaku menteri besar Terengganu.

"Ya. Sehingga ini kita tidak ambil bahagian," katanya.

Usul yang dibentangkan Ahmad, bekas menteri besar Terengganu, sewaktu hampir waktu Dewan Undangan Negeri (DUN) berhenti rehat tengah hari semalam, ditolak Speaker Datuk Mohd Zubir Embong kerana katanya Adun Kijal itu tidak mengikut prosedur.

Menurut laporan, Zubir menolak usul itu kerana Ahmad tidak memberikan Dewan notis dua minggu yang diperlukan.

Sementara itu, The Star Online melaporkan, Adun Bandar Azan Ismail dari PKR berkata, usul yang gagal itu belum berakhir kerana “the game has just begun” (permainan baru bermula).

Dalam laporan itu, Azan berkata pembangkang di negeri itu mungkin tidak mendesak perkara itu sekarang kerana mereka lebih mengambil berat tentang bagaimana keadaan dikendalikan ketika ini.

Keutamaan sekarang, beliau dipetik berkata, adalah untuk memastikan DUN dan speaker menghormati peraturan.

"Selepas apa yang berlaku semalam, Speaker perlu memulihkan kredibiliti dan integriti di dalam Dewan," Azan dipetik berkata portal berita itu.

The Star Online melaporkan persidangan hari ini berjalan lancar dan tiada seorang pun daripada Adun pembangkang yang membangkitkan perkara itu untuk dibahaskan.