Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5 - 7 Mei 2008 telah membincangkan Hukum Bersuci Bagi Pekerja Di Loji Kumbahan. Muzakarah telah memutuskan bahawa orang-orang Islam yang bekerja di loji kumbahan sekiranya diyakini waktu atau tempoh bekerja tidak akan melebihi waktu solat, maka kaedah pelaksanaan solat hendaklah dilakukan seperti biasa setelah bersuci yang ditetapkan oleh syarak seperti berikut:
1. menghilangkan 'ain najis pada badan dan pakaian;
2. membasuh dengan air yang suci sehingga peringkat yakin (hilang bau, warna dan rasa);
3. bagi menyucikan najis mughallazah, selain daripada syarat (i) dan (ii) di atas, ia perlu dibasuh dengan tujuh kali air yang suci termasuk sekali air bercampur tanah.
Walau bagaimanapun sekiranya waktu atau tempoh bekerja tersebut menjangkau waktu solat dan timbul kesukaran untuk membersihkan diri sebelum melakukan solat, maka mereka diharuskan untuk menjama'kan solat berkenaan setelah sempurna bersuci mengikut kaedah-kaedah yang telah ditetapkan oleh syarak seperti di atas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan