Hukum Penggunaan Bulu Binatang Yang Halal Dimakan Sebagai Ramuan Makanan

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Penggunaan Bulu Binatang Yang Halal Dimakan Sebagai Ramuan Makanan. Muzakarah telah memutuskan bahawa penggunaan vitamin D3 yang terhasil daripada bulu binatang yang halal dimakan adalah harus sama ada ia diambil semasa hidup atau selepas disembelih mengikut hukum syarak.

Keterangan/Hujah:

1. Bulu kambing yang diambil untuk dijadikan vitamin D3 adalah diperolehi dengan cara bercukur atau memotong bulu binatang tersebut ketika ia masih hidup.

2. Bulu kambing adalah satu-satunya sumber untuk mendapatkan vitamin D3. Sehingga kini belum ditemui sumber yang lain selain kambing biri-biri untuk mendapatkan vitamin D3.

3. Proses penghasilan vitamin D3 dimulakan daripada pengekstrakan bahan dinamakan lanolin, sejenis bahan berlemak (wax) daripada bulu kambing yang melalui proses pengikisan (scouring process) dengan menggunakan bahan alkali dan pengemparan.

4. Berdasarkan kepada konsep asas (asal sesuatu iatu adalah harus), penggunaan bulu binatang yang halal yang diambil semasa hidupnya adalah harus selagi ia dihukum suci, bersih disisi syarak dan tidak memudharatkan.

5. Mengikut fatwa Mufti Kerajaan Brunei Bulu binatang yang halal dimakan seperti kambing biri-biri, ayam, arnab, dan lain-lain yang diambil daripada badannya semasa ia masih hidup, sama ada dengan cara mencukur, menggunting, mencabut atau tercabut dengan sendirinya adalah suci.

6. Berhubung penggunaan bulu daripada binatang yang halal untuk dijadikan sebagai bahan ramuan makanan atau untuk kegunaan yang lain, para fuqaha' bersepakat bahawa adalah jelas tentang halalnya penggunaan bulu sebagaimana yang disebut oleh Dr. Wahbah Zuhaili bahawa ijma' ulama' bersetuju tentang kesucian bulu yang diambil dari binatang yang halal dimakan dagingnya sama ada diambil selepas disembelih atau semasa hidupnya. Ijmak ulamak ini adalah berdasarkan kepada umum ayat Al-Quran Surah An-Nahl, ayat 80 tentang kesucian bulu binatang sama ada ianya diambil selepas disembelih atau semasa hidupnya untuk kegunaan manusia.

7. Dalam kes D3 ini manfaatnya bukan diambil dari gentian bulu tersebut tetapi dari sejenis lilin yang terdapat pada bulu biri-biri tersebut. Dalam kes seumpama ini juga ulama' menyatakan keharusannya sebagaimana ulamak menyatakan bahawa bulu binatang adalah suci, dan apa yang ada pada lazimnya pada bulu binatang itu juga adalah suci.

8. Pandangan Jumhur Ulama' adalah jelas bahawa setiap perkara yang jamad adalah suci melainkan terdapat dalil yang jelas tentang pengharamannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan