Nasrudin Hassan at Tantawi
1. Mutaakhir ini sungguh ketara berlakunya kemalangan maut dan ngeri dalam negara kita samaada di jalan negeri, persekutuan mahupun lebuh raya utara selatan dan timur barat.
2. Saya mendesak supaya satu Suruhanjaya Khas segera dibentuk oleh Kerajaan bagi menyiasat atau menyelidik fenomena ini untuk satu tindakan berkesan oleh semua pihak berwajib.
3. Kita tidak diajar oleh agama untuk sekadar mengeluh dan kemudiannya menyerahkan kepada takdir apa lagi menyalahkannya. Malah apa yang diajar oleh syariat Islam ialah mengambil langkah berkesan bagi membendung perkara ini dari terus berlaku dengan kaedah umum syara' ialah mencegah lebih baik dari merawat.
4. Selain dari pakar dari pelbagai bidang yang berkaitan, saya juga mengesyorkan agar pakar syariah adalah salah seorang anggota Suruhanjaya Khas yang dibentuk untuk menangani peningkatan ketara indeks kemalangan jalanraya dalam negara kita. Syor ini saya kemukakan kerana syariat Islam mempunyai pandangan yang sangat fundamental untuk mengatasi atau menangani isu ini.
5. Sebahagian dari Maqasid Syariah ialah memelihara nyawa dan harta. Kemalangan jalanraya adalah sebahagian dari peristiwa yang akan mengorbankan harta dan nyawa . Terlalu panjang perbahasannya dalam feqh Islam mengenai kemalangan jalanraya ini termasuklah pemandu atau mereka yang menyebabkan kematian seseorang yang lain dijalanraya boleh disabitkan dengan membunuh secara tidak sengaja. [perbincangan lanjut dalam perkara ini diperlukan oleh pakar syariah]
6. Demikian juga Islam melalui lidah Rasulnya saw mengajar supaya membuang perkara-perkara yang mengganggu di jalanraya adalah perbuatan sedekah. [ertinya ia menjadi tuntutan kepada ummat Islam]. Di jalanraya dan lebuhraya dalam negara kita saya lihat terlalu banyak perkara yang mengganggu yang tidak sepatutnya dibiar berlaku. Antaranya ialah:
> iklan-iklan yang menjolok mata
> tanda arah yang dirosakkan atau rosak lalu mengelirukan
> tanda-tanda isyarat jalan yang dirosakkan atau rosak tapi dibiarkan
> permukaan jalan yang merbahaya seperti licin, pumping, berlubang dsbnya.
> pokok-pokok yang ditanam besar di bahu jalan
[saya harap kerajaan haramkan iklan menjolok mata di simpang jalan, di tepi jalan mahu pun dimana sahaja terutama yang mem"buta"kan mata pemandu lalu mengganggu tumpuan mereka.]
[Kajian-kajian tentangnya telah dilakukan sejak 30 tahun lalu, malah bermula 1950 an. Dapatan kajian konsisten menunjukkan iklan-iklan ini banyak menggangu pemandu di lebuhraya dan jalanraya. Ia menyebabkan Highway Hypnosis (pemandu tidur walaupun matanya celik), satu istilah yang semakin popular dalam kajian tentang kemalangan jalanraya. Berikut dikemukakan satu link tentang artikel journal yang sangat menarik tentang isu ini: http://cogprints.org/3307/1/driverdistractionarticle.pdf. Bukankah perkara ini berkait rapat dengan hadith-hadith Rasulullah saw: Seutama-utama iman ialah mengucap syahadah. Serendah-rendahnya ialah membuang gangguan di jalanan”. (Shaykhayn)]
7. Saya menggesa supaya kerajaan atau pihak berwajib mengambil satu langkah serius untuk memastikan gangguan seperti ini tidak berlaku kerana jelas ia sangat mengundang bahaya dan maut kepada pengguna jalanraya sedang ia boleh dielak sedari awal melalui pemantauan dan tindakan segera pihak berwajib .
8. Saya ambil contoh mudah di atas kelekaan dan ketidakcaknaan pihak berwajib dalam bertindak ialah jalan di Taman Pelindung Perdana Beserah Kuantan . Telah berkali pihak penduduk kampung memohon agar di bina bonggol dari 2 arah bertentangan kerana jalan itu terlalu sibuk dan kenderaan bergerak laju justeru kedudukannya agak menurun bukit , sedang ia berada di kawasan yang padat penempatan . Sehinggalah kelmarin berlaku satu kemalangan yang hampir meragut nyawa seorang kanak - kanak dan juga pemandu kenderaan yang terbabas kerana mengelak kanak - kanak tersebut. Persoalannya , apakah kita selalu mengambil sikap "sudah berlaku kemalangan jiwa baru mahu bertindak?" Islam mengajar bahawa mencegah itu jauh lebih baik dari merawat [dan meratap - saya tambah]
9. Begitu juga dengan sikap pengguna jalanraya yang perlu ditangani secara bijak dan islamik. Bermula dengan doa yang diajar oleh Islam untuk dibaca oleh pemandu dan penumpang sesebuah kenderaan , setiap perjalanan mestilah dilantik ketua rombongan [ justeru ia diajar oleh syara' apabila bermusafir hendaklah bertiga dilantik seorang amir \ ketua ] yang bertanggungjawab menjaga disiplin perjalanan dan penggunaan jalanraya agar tidak memudharat rombongan dan tidak mendatangkan mudharat kepada pengguna jalanraya yang lain .
10. Sebagai contoh mudah , Ketua rombongan ini [dari kalangan penumpang] bertanggungjawab memantau kebajikan rombongan dan juga kedudukan pemandu. Apakah pemandu memandu secara merbahaya, melanggar undang-undang atau mengantuk dll, ketua rombongan berhak mengarahkan pemandu tersebut berhenti.]
11. Jika di atas kapal terbang [walau untuk perjalanan 45 minit] kita begitu berdisiplin, lengkap pula dengan anak-anak kapal dan ketua pramugari yang bukan sahaja memberi khidmat kebajikan kepada penumpang tetapi turut memberi taklimat keselamatan yang lengkap setiap kali penerbangan tanpa jemu. Walau kita berpuluh kali naik kapal terbang, maka berpuluh kalilah kita di minta dengar dan patuh pada taklimat keselamatan itu. Penumpang muslim pula diajar berdoa kepada Allah memohon kesejahteraan dan keselamatan dalam perjalanan pergi dan balik.
12. Kenapa kita tidak boleh meletakkan peraturan dan disiplin sedemikian di darat ke atas pengusaha kenderaan awam samaada milik kerajaan mahupun swasta, sedang kemalangan di darat lebih kerap. Saya menegaskan sekali lagi bahawa perkara seperti ini juga mesti dilakukan pada kenderaan awam di darat seperti bas ekspres, persiaran, sekolah dan sebagainya .
13. Masih banyak faktor lain termasuklah faktor kenderaan itu sendiri supaya satu langkah berkesan turut diambil agar kenderaan berisiko tinggi tidak dipandu dijalanraya sibuk dan juga lebuhraya kerana ia memudharatkan pengguna jalanraya seperti bas terlalu buruk yang mengalami kerosakkan yang terlalu kerap.
14. Akhirnya dalam perbahasan hukum mengenai perkara ini pula, saya lampirkan sebahagian pandangan feqh Islam untuk dinilai dan diambil tindakan oleh pihak berwajib agar indeks kemalangan jalanraya ini sekurang-kurangnya dapat diminimakan.
15. [Lampiran]
1. Jika kemalangan disebabkan kecuaian dan tidak melibatkan kecederaan dan kematian, maka hukumnya ta'zir ke atas pemandu.
2. Jika kemalangan disebabkan kecuaian dan menyebabkan kecederaan atau kematian, maka hukumnya ialah diat yang wajib dibayar oleh pemandu yang cuai kepada mereka yang cedera atau keluarga si mati.
3. Jika kemalangan disebabkan oleh kecuaian pihak kerajaan, seperti lubang jalan yang tidak dibaiki (macam dekat rumah ana yang dah meragut 2 nyawa), atau seumpamanya, maka diyat perlu dibayar oleh kerajaan kepada keluarga mangsa jika melibatkan kematian, atau kepada mangsa jika melibatkan kecederaan.
4. Jika kemalangan tidak disebabkan oleh apa2 kecuaian, maka tidak ada apa2 diyat, tetapi ianya akan dicover oleh harta baitul mal secara optional, bukan compulsary.
Contoh kes, jika seseorang langgar orang mati, maka ia kena bayar diyat kepada keluarga si mati. Namun dalam undang-undang hari ini, yang bersalah itu hanya kena bayar kompaun kepada kerajaan, tapi keluarga mangsa hanya menerima kematian dan kesedihan, bukan apa2 pembelaan atau apa2 pampasan.
SUMBER : www.harakah.daily.net
Tiada ulasan:
Catat Ulasan