Berita Asal
SEKITAR 1992, hangat diperkatakan mengenai Garis Panduan mengenai peri laku artis. Malah garis panduan ini turut diperbincangkan pada peringkat kabinet bagi memastikan selebriti di negara ini mengamalkan cara berpakaian dan penampilan sesuai budaya di negara ini.
Perkara utama yang diberi perhatian ialah dari segi wajah dan pakaian ketika muncul di kaca televisyen, filem dan pentas, tingkah laku, pertuturan bersopan dan berperibadi yang tinggi. Dari segi pakaian pula, mereka perlu mematuhi cara dan budaya ketimuran iaitu sama sekali tidak menjolok mata.
Hasilnya terjadilah kes artis kena gam dan lebih teruk digunting rambut oleh Menteri Penerangan ketika itu. Ramai juga artis yang semakin berhati-hati dengan penampilan mereka kerana tidak mahu ‘periuk nasi' mereka ditutup.
Bagaimanapun, usaha ini sudah boleh dikatakan tinggal hangat-hangat tahi ayam. ‘Baunya' saja pun sudah tidak sekeras dulu, malah terus tenggelam. Selepas 15 tahun, boleh dikatakan garis panduan ini sudah terus lenyap begitu saja.
Jika dulu artis berpakaian nampak ketiak dan lurah dada menjadi topik hangat diperkatakan, tetapi hari ini seakan tiada sesiapa yang peduli lagi apabila kebanyakan artis wanita dilihat lebih gemar tampil mengenakan gaun berkemban atau baju bertali halus seperti yang lazim digayakan artis Barat.
Ada kalanya, lebih seksi gaya ditampilkan lebih mendapat pujian terutama perekanya. Apabila ada artis yang berpakaian sopan menutup tubuh, dia dikatakan artis kampung yang tidak pandai bergaya.
Apa yang membimbangkan, mahu atau tidak mahu kita terpaksa menerima hakikat bahawa gaya artis ini turut menjadi ikutan remaja masa kini. Jika diteliti, 90 peratus penggemar dan pengikut dunia hiburan adalah remaja yang baru hendak mengenal adat dan budaya bangsa.
Persoalannya, bagaimana remaja boleh diharapkan untuk meneruskan adat dan budaya bangsa pada masa depan sedangkan mereka terus ‘disogok' dengan gaya hidup Barat yang berlawanan dengan agama, malah budaya Timur?
Banyak kajian yang dijalankan ke atas remaja terbabit dengan masalah sosial juga jenayah juvana memberikan alasan terpengaruh dengan apa yang mereka tonton dan bahan yang dibaca berkaitan program dan acara hiburan.
Beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan wanita yang sempat ditemui turut menyuarakan kegusaran mereka terhadap budaya negatif ini dan menggesa agar pihak berwajib segera memastikan agar garis panduan etika artis yang ada dilaksanakan dengan tegas.
Presiden Pertubuhan Wanita Antarabangsa Malaysia dan juga Pakar Motivasi, Dr Robiah Kulop Hamzah, berkata garis panduan dan etika berpakaian penting bagi golongan ini kerana mereka biasanya menjadi ikutan remaja masa kini.
"Kita sangat bimbang apabila artis bebas berpakaian sehingga tidak mengambil kira lagi adab budaya di negara ini. Tidak kira dia itu artis beragama Islam atau tidak, adab Timur mesti dipatuhi kerana tidak mahu kehilangan identiti kita sendiri," katanya.
Beliau berkata, apa yang berlaku hari ini amat menyedihkan apatah lagi artis yang di bawah persatuan sedia ada seperti tidak melakukan sebarang usaha membendung gejala yang sudah pun menular ini.
"Kita jangan marah remaja apabila mereka berpakaian tidak senonoh kerana hari ini golongan artis sudah seperti diberikan lesen untuk tampil dengan pakaian meruntun jiwa penonton. Kalau ada pakaian berciri Melayu pula sudah diubah suai seperti korset yang dipakai di luar dengan dada serta bahu terdedah," katanya.
Beliau berkata, artis yang mendedahkan tubuh hakikatnya belum mempunyai kekuatan untuk bergelar artis dan berdepan dengan masyarakat. Mereka seharusnya sedar, sebagai artis, mereka mendapat perhatian berbilang masyarakat tidak kira tua, muda mahupun remaja.
"Apa yang perlu dibangunkan adalah dunia seni yang membantu memajukan masyarakat dan bukannya seni tubuh dengan perjuangan kebebasan berpakaian. Tidak salah berfesyen asal ia tidak merosakkan budaya apatah lagi bertentangan agama.
"Jika mahukan nama dan hasil karya terus meniti di bibir peminat, mereka harus menitik beratkan perjuangan seni dengan identiti serta mesej jelas bukannya hanya glamor semata-mata dengan budaya cedokan Barat," katanya.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita Jemaah Islah Malaysia (JIM), Prof Dr Harlina Haliza Siraj, berkata melihat kepada keruncingan cara berpakaian artis hari ini, sudah sampai masanya garis panduan etika berpakaian di kalangan mereka dikuatkuasakan segera.
"Ini selaras dengan 50 tahun negara mencapai kemerdekaan yang memerlukan masyarakat memiliki identiti tersendiri. Apa yang penting, peraturan dalam perkara ini perlu jelas. Mungkin sudah ada, tetapi tidak dikuatkuasakan. Dulu sudah ada peraturan yang ditetapkan Kementerian Penerangan, artis yang tampil di kaca televisyen atau khalayak perlu tampil tanpa menjolok mata," katanya.
Beliau berkata, artis dan selebriti di negara ini tidak kira apa bangsa perlu menghormati budaya Timur yang mementingkan adab dalam berpakaian.
"Walau bagaimana glamor sekalipun, golongan ini perlu berpegang kepada falsafah, di mana bumi di pijak, di situ langit di junjung. Kalau tidak hormat atau segan pada agama, hormatilah budaya. Jangan kerana mengejar glamor dan ingin mendapatkan perhatian, semua perkara ini dipandang remeh.
"Mahu atau tidak, mereka harus sedar bahawa mereka juga menjadi contoh remaja hari ini. Mereka yang tampil berpakaian seksi hakikatnya memiliki keyakinan diri yang rendah dan cuba menutupi kelemahan itu dengan menarik perhatian dengan cara lain," katanya.
Lihat saja penampilan artis wanita Malaysia pada Anugerah Planet Muzik (APM) yang diadakan di Singapura, baru-baru ini. Boleh dikatakan 90 peratus mengenakan baju ala kemban yang mendedahkan bahagian dada dan bahu.
Malah, dalam kebanyakan majlis membabitkan artis, boleh dikatakan kebanyakannya memilih baju moden yang seksi. Berbanding artis negara jiran, khususnya Indonesia yang dilihat lebih bijak bergaya apabila sering mengutamakan baju tradisional mereka seperti kebaya sekali gus mencerminkan identiti bangsa.
INFO Etika artis
1 November 1992-Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan secara langsung majlis simbolik pemotongan rambut penyanyi kumpulan Search, Amy dan penyanyi kumpulan Wings, Awie oleh Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Mohamed Rahmat. 1993- Kod Etika Perilaku Artis diedarkan kepada artis dan persatuan yang terbabit di dalam dunia hiburan, merangkumi empat aspek penting:
1. Menjaga dan mengekalkan disiplin dan maruah diri ketika mengadakan persembahan di khalayak ramai atau ketika muncul di kaca televisyen.
2. Menjaga nama baik artis daripada sebarang gosip liar yang menjejaskan imej diri dan industri hiburan keseluruhannya.
3. Mengutamakan kesopanan dari segi berpakaian dan tutur kata ketika berhadapan dengan orang ramai di dalam sesuatu pertunjukan atau berlakon di dalam filem dan drama.
4. Berpegang teguh terhadap tatasusila ketimuran, bangsa, negara dan agama. · 1 Ogos 2004 RTM mula memberi kelonggaran untuk artis berambut panjang dan berpakaian agak seksi kerana khuatir RTM akan ketinggalan dalam arus persaingan industri penyiaran negara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan