BERIMAN DENGAN VIDEO SEKS, MENOLAK AL-QURAN

Friday, April 15, 2011











Penulis itu beriman dengan video seks, menolak Al-Quran?



Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Iblis menyesatkan umat manusia melalui pelbagai cara. Sumpah Iblis di hadapan Allah ialah dia mahu menyesatkan manusia hingga hari Qiamat. Iblis tidak hanya bertumpu di premis-premis maksiat untuk menyesatkan manusia. Di tempat manusia beribadat kepada Allah pun banyak Iblis yang mahu menyesatkan manusia. Iblis tidak hanya menggunakan manusia yang zahirnya nampak sesat untuk memesongkan manusia. Dia juga boleh memperkudakan golongan manusia yang nampak warak, berkopiah dan berjanggut untuk menyesatkan manusia.

Saya beristighfar panjang selepas membaca sebuah artikel yang ditulis oleh seorang ahli Parlimen perihal musuh ketatnya Anwar Ibrahim. Isunya di sini bukanlah manusia bernama Anwar bin Ibrahim tetapi kebiadapan penulis tersebut mengandaikan sikap Allah terhadap isu liwat dan zina yang dikaitkan dengan ketua pembangkang itu.

Kesimpulan yang dibuat oleh penulis tersebut ialah Allah sudah menunjukkan kebenaran dalam isu liwat dan zina dengan mengutuskan beberapa petunjuk. Tiada satu pun dari petunjuk itu berdasarkan apa yang terkandung dalam syariat atau hukum hakam yang Allah tentukan.

Berikut adalah petikan dari tulisan yang menyesatkan itu:

"Nanti bila sampai depan Allah, kelak kita ditanya mengapa kita tidak mahu berfikir dan menggunakan aqal; jangan kita jawab "Teman udah buat solat hajat berkajang-kajang nunggu kebenaran, tetapi mike tak hantar-hantar wahai Allah.” Tak pasal-pasal Allah akan tempelak kita dengan berfirman: "Aku dah hantar 16 September, Aku dah hantar Saiful, Aku dah hantar DNA, Aku dah hantar video klip, Aku dah hantar rekod twitter, Aku dah hantar jam Omega, Aku dah hantar Eskay, Aku dah hantar Karpal Singh dan macam-macam lagi petanda, bukti dan isyarat telah Aku hantar! Ate, ngape mike tak nampak kebenaran tu lagi ke yop? Apa yang mike nak Allah hantar lagi yop?”

Tidak semua syariat Allah boleh ditentukan oleh akal sebab akal manusia lemah dan terbatas. Allah menentukan bahawa pengesahan seseorang itu berzina hanya boleh ditentukan oleh empat orang saksi yang yang adil yang menyaksikan secara terperinci akan perlakuan zina. Bolehkah ini berlaku kerana jika saksi tidak mencegah maka awal-awal lagi mereka sudah jatuh fasik? Jika ini mustahil berlaku, maka itulah ketentuan Allah yang menyuruh umatnya tidak beriya-iya menuduh seseorang berzina.

Sejak syariat itu mula diperkenalkan di zaman Rasulullah SAW hingga ke hari ini, belum pernah terjadi syarat ‘empat orang saksi yang adil’ itu dipenuhi . Namun siapa di kalangan manusia beriman yang berani menyanggah bahawa syarat yang dibuat oleh Allah SWT itu tidak betul?

Selain dari empat orang saksi yang adil, pembuktian zina hanya berlaku dengan sumpah atau pengakuan yang dibuat oleh pelaku bahawa dia melakukan zina. Hadis riwayat Abu Hurairah r.a. (al-Bukhari, kitab al-Hudud):

“Seorang lelaki datang mengadap Rasulullah s.a.w. di dalam masjid. Lelaki itu berkata: “Wahai Rasulullah! Saya telah melakukan zina.”

Rasulullah s.a.w. berpaling ke arah lain [yakni seperti tidak melayannya], lelaki itu mengulangi pengakuannya sebanyak empat kali.

Setelah lelaki itu membuat pengakuan sebanyak empat kali, akhirnya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Adakah engkau gila?”

Dia menjawab: “Tidak.” Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: “Adakah engkau telah berkahwin?”

Dia menjawab: “Ya.” Lalu Rasulullah s.a.w. memerintahkan (para sahabatnya): “Bawalah lelaki ini pergi dan rejamlah dia.”

Mengikut riwayat yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Adakah engkau bercumbu-cumbu sahaja.”

Dia menjawab: “Tidak. Sebenarnya saya telah berzina.”

Mengikut riwayat yang lain: “Setelah selesai sembahyang, dia (lelaki itu) datang lagi, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidakkah awak telah berwuduk dan telah bersembahyang? Dengannya Allah mengampunkan dosa.” Tetapi lelaki itu terus mengaku berzina dan mahu supaya disucikan dirinya dengan hukuman.

Mengapa kelihatan susah sangat Rasulullah SAW hendak menghukum? Sebab mengikut prinsip keadilan Islam, kesilapan seorang hakim membebaskan orang bersalah adalah lebih afdhal dari kesilapan menghukum orang yang tidak bersalah.

Hukum berkaitan dakwaan zina dan menuduh orang berzina tanpa bukti yang syarie (qazaf) amatlah berat. Islam menetapkan selain dari empat saksi yang adil dan pengakuan penzina (yang memenuhi pula syarat-syarat tertentu) maka tiada cara ketiga. DNA, klip video lucah, Twitter, jam Omega , Datuk Eskay langsung tidak boleh dijadikan bahan bukti. Amat jahat lagi sesat untuk menuduh Allah SWT mengutuskan semua itu sebagai dalil kononnya untuk mengajak manusia berfikir.

Islam adalah agama yang menjaga maruah, terutama isu yang melibatkan zina. Tidak boleh sewenang-wenangnya menuduh zina seseorang berzina melalui media-media picisan walau dengan dalil yang banyak sekalipun. Kebencian terhadap seseorang bukan alasan untuk membuat tuduhan palsu ‘memburukkan’ Allah seolah-olah Allah sudah berpihak kepada mereka, walhal merekalah pihak yang memijak syariat Allah.

Tulisan Ahli Parlimen itu tidak boleh dipandang dari aspek politik. Tidak terpisah politik dan hukum. Ulamak kena perhatikan sama politikus seorang ini yang melampau sangat tulisannya; menilai dan menggambarkan Allah Yang Maha Suci mengikut perspektif nafsu serakahnya.

Islam tidak pernah menjadi sumpah mengaibkan diri sendiri dan mengaibkan orang lain (seperti yang dilakukan oleh Saiful Bukhari) kononnya telah menepati syariat. Islam tidak pernah membenarkan penayangan video lucah kepada umum walau atas apa alasan sekalipun. Islam tidak pernah memperakui orang fasik dan video lucah sebagai saksi mencari kebenaran.

Kebenaran terkandung dalam Al-Quran yang menetapkan hukum berhubung zina dan qazaf. Jika seseorang ‘beriman’ kepada video seks untuk menentukan kebenaran, maka bererti dia menolak Al-Quran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan