Kelebihan Solat Secara Berjemaah
Pengertian solat jemaah
Solat jemaah ialah solat beramai-ramai yang sekurang-kurang bilangannya selain daripada solat fardhu Jumaat ialah 2 orang.
Seorang menjadi imam dan seorang menjadi makmum. Semakin ramai bilangan jemaah maka semakin besar pula fadhilat pahalanya.
Solat jemaah adalah berlainan hukumnya menurut jenis solat yang dikerjakan, iaitu:
1. Fardhu ain pada solat Jumaat;
2. Fardhu kirayah pada solat fardhu lima waktu; dan
3. Sunat pada solat jenazah dan solat-solat sunat yang disunatkan berjemaah padanya, seperti solat dua hari raya, solat gerhana bulan dan matahari, solat minta hujan, solat terawih dan solat witir pada bulan Ramadhan.
Tuntutan Berjemaah Pada Solat Fardhu
Tuntutan berjemaah pada solat 5 waktu yang selain daripada solat fardhu Jumaat, pada pendapat yang masyhur dan paling sohih menurut Imam an-Nawawi adalah tuntutan fardhu kifayah yang diwajibkan bagi orang-orang lelaki yang berakal, baligh, bermukim, mempunyai pakaian menutup aurat dan tidak mempunyai apa-apa keuzuran syarie.
Jadi bererti apabila sesebuah kampung atau mukim mendirikan solat jemaah di tempat yang dikira menzahirkan syiar Islam seperti di masjid atau surau, maka gugurlah dosa atas orang-orang kampung atau mukim yang tidak hadir bersolat jemaah. Tetapi sekiranya tidak didirikan solat jemaah maka semua penduduk kampung atau mukim itu berdosa.
Dalil tentang amat kuatnya tuntutan berjemaah itu ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, bahawa:
Rasulullah S.A.W pernah mengancam untuk membakar rumah orang yang meninggalkan solat berjemaah.
Imam Muslim pula meriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah r.a:
"Ada seorang lelaki buta telah datang mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia tidak mempunyai orang yang boleh memimpinnya pergi ke masjid. Oleh itu dia mengharapkan Baginda memberi kelonggaran kepadanya untuk bersolat di rumahnya. Pada mulanya Baginda telah membenarkannya, tetapi kemudiannya Baginda menarik balik kebenaran tadi setelah Baginda mengetahui bahawa si buta tadi dapat mendengar seruan azan solat yang dikumandangkan di masjid."
Kelebihan Solat Berjemaah
Fadhilat solat berjemaah amat besar sekali berbanding dengan solat bersendirian. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda). (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sebenarnya fadhilat solat berjemaah adalah bertali arus, sambung menyambung, mengembang dan membesar. Orang yang bersolat jemaah bukan sahaja mendapat setakat 27 darjat, malah dia akan mendapat banyak fadhilat dan keuntungan sampingan lain lagi semasa dia berulang alik ke masjid dan semasa dia berada dalam masjid.
Selepas ini insya-Allah akan diterangkan fadhilat-fadhilat tersebut untuk menjadi dorongan kepada kita semua agar cintakan solat berjemaah.
Hazrat Abu Hurairah RA telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda,
“Seorang yang bersolah secara berjemaah akan digandakan sebanyak dua puluh lima kali pahala lebih daripada orang yang bersolah bersendirian di rumah atau di kedai. Ini adalah kerana apabila seseorang itu mengambil wuduk dengan sempurna lalu berjalan menuju ke masjid semata-mata untuk bersolah maka setiap langkah yang dilangkahinya akan ditingkatkan satu darjat dan digugurkan satu dosa. Setelah bersolah, jika dia terus duduk di dalam masjid (dengan keadaan berwuduk) maka para malaikat akan memohon rahmat dan keampunan untuknya. Selama mana dia terus duduk menunggu untuk menunaikan solah yang seterusnya maka dia akan terus menerus mendapat pahala solah selama masa dia menunggu solah tersebut.”
(Hadith riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah)
p/s: Mudah2an aku dan pembaca - pembaca budiman dapat melaksanakan solat berjemaah dimasjid amiin.....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan