Ujian Futur dan Cara Merawatnya
Erti Futur
Futur adalah perkataan dari bahasa Arab asalnya ia bermakna terputus, berhenti, malas dan lambat, setelah sebelumnya konsisten dan rajin. Dalam konteks amal dakwah, ia adalah satu penyakit yang menimpa aktivis dakwah dalam bentuk rasa malas, menunda-nunda, berlambat-lambat dan yang paling buruk ialah berhenti dari melakukan amal dakwah. Sedangkan sebelumnya ia adalah seorang yang aktif dan beriltizam.
Fenomena ini adalah satu perkara yang biasa berlaku dan dihadapi oleh ramai mereka yang bertangungjawab dalam mentarbiyah para aktivis dakwah. Hakikat ini adalah kerana futur merupakan sifat semula jadi manusia. Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadits yang bermaksud;
“Sesungguhnya bagi setiap amalan adalah masa-masa rajin dan tiap-tiap masa rajin ada futur. Namun barangsiapa yang futurnya menjurus kepada sunnahku, maka sesungguhnya ia telah memperoleh petunjuk. Barangsiapa pula yang futurnya menjurus kepada selain sunnahku, maka ia telah tersesat.” (Riwayat Al-Bazzar)
Bahaya Futur
Walau pun futur adalah sesuutu yang lumrah berlaku dalam diri manusia tetapi ia mestilah diurus, sebagaimana yang diajarkan oleh hadits di atas dengan memalingkan perasaan itu kepada sesuatu yang sejajar dengan sunnah. Jika tidak ia akan mengkibatkan kesan buruk.
Antara kesan buruk itu ialah;
1. Pengabaian kepada amanah.
Futur menyebabkan seorang aktivis dakwah bermalas dalam menunaikan tugas dakwahnya. Ini kadangkala sehingga menyebabkan tugas berkenaan lewat disempurnakan atau terbengkalai sehingga mengganggu keseluruhan projek yang hendak dilaksanakan. Apa jua pengabaian kepada kewajiban adalah pelanggaran amanah yang akan dipertanggungjawabkan oleh Allah taala.
2. Gugur dari jalan dakwah.
Sekiranya futur tidak ditangani atau dibiarkan tanpa dirawat, ia akan menjadi satu tabiat. Lama-lama, perasaan ini menjadi sebati dan aktivis berkenaan menjadi semakin jauh dari amal dakwah. Akhirnya, ia terus tidak lagi terbabit dalam amal dakwah. Apabila seorang itu gugur dari jalan dakwah, maka ia telah hilang banyak kebaikan dari usaha dakwah. Lebih buruk lagi, ia telah mengabaikan kewajiban dakwah yang ditaklifkan ke atasnya sebagai seorang Muslim.
3. Mengakhiri kehidupan dalam keadaan yang futur.
Apabila seseorang itu berlama-lama dalam keadaan futur sehingga menjadi kebiasaannya, maka ia menanggung risiko besar untuk mati dalam keadaan sedemikian kerana dia tidak tahu akan masa kematiannya. Adalah ditakuti, jika Allah taala mengambil nyawanya sedangkan dia dalam keadaan futur, sedangkan Allah taala menghisab amal manusia berdasarkan akhir hayatnya. Maka sebab itulah, Rasulullah s.a.w mengajar umatnya agar sentiasa berdoa dengan doa;
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepadaMu dari kesusahan dan kesedihan, aku berlindung kepadaMu dari penyakit lemah dan malas...” (Riwayat Abu Daud)
Di dalam sebuah hadits, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;
“Sesungguhnya seorang hamba itu ada yang melakukan amalan ahli neraka padahal ia termasuk ahli syurga, dan ada pula yang mengamalkan amalan ahli syurga padahal ia termasuk ahli neraka. Sesungguhnya amal itu tergantung pada kesudahannya.” (Riwayat Al-Bukhari)
Kenapa Futur Berlaku?
Sebahagian dari langkah untuk menangani futur ialah memahami sebab ia berlaku. Dengan itu, kita dapat berusaha mencegah, menjangkakan atau mendiagnosnya, setelah itu merawatnya dengan preskripsi yang betul. Futur berlaku disebabkan oleh faktor-faktor berikut;
1. Melakukan amalan agama secara berlebihan, melampau atau memaksa diri.
Ramai aktivis dakwah begitu bersemangat pada mulanya untuk melakukan pelbagai perkara sehingga tidak memerhatikan aturan alam, anjuran Islam dan keupayaan diri. Akhirnya apabila naluri semulajadi futur muncul, ia menjadi lemah, jenuh dan bosan sebagaimana yang dinyatakan oleh hadits di atas. Maka sebab itulah Rasulullah s.a.w menganjurkan dalam sabdanya yang bermaksud;
“Jangan kamu memberat-beratkan diri. Nanti akan diberatkan ke atasmu.” (Riwayat Abu Daud)
“Tidaklah seseorang memberatkan diri dalam bergama, melainkan ia akan dikalahkan olehnya.” (Riwayat Al-Bukhari)
Oleh itu, pembimbing tarbiyah mestilah mendidik aktivis dakwah untuk mengikuti anjuran Rasulullah s.a.w dalam hadits yang bermaksud;
“Lakukanlah amal sesuai dengan kemampuanmu kerana sesungguhnya Allah tidak merasa bosan sehingg akamu sendiri merasa bosan. Sesungguhnya amalan yang paling disukai oleh Allah ialah yanag dilakukan secara rutin walau pun sedikit.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
2. Suka berlebih-lebih dalam perkara yang mubah.
Satu contoh ialah berlebihan dalam pemakanan. Walau pun makan adalah satu keharusan tetapi apabila seseorang itu berlebihan dalamnya, ia akan memberi kesan kepada tubuh dan rohaninya. Badannya menjadi gemuk dan berat untuk aktif yang menatijahkan rasa malas.
Contoh lain ialah tabiat melunsur internet atau berchat. Apabila seseorang berlebihan dalamnya, ia akan merasa ketagihan sehingga banyak masa yang digunakan untuk melunsur dan berchat. Akibatnya masa untuk dakwah menjadi kurang dan ia sering merasa konflik antara menggunakan masa untuk amal dakwah dengan tabiat melunsur dan berchat.
Untuk menjauhi futur, perlulah aktivis dakwah ditarbiyah agar berpada dalam perkara yang mubah.
3. Suka bersendiri dan berjauhan dari berjamaah.
Apabila seorang aktivis suka bersendiri, maka dia telah hilang satu benteng pertahanan dari syaitan kerana Rasulullah s.a.w bersabda bahawa syaitan itu lebih dekat kepada seorang dari kepada dua orang dan lebih dekat kepada dua orang dari kepada tiga orang. Syaitan ibarat serigala yang sentiasa mengintai kambing yang terasing dari kumpulannya. Pastinya syaitan akan sentiasa berbisik agar seseorang itu meninggalkan amal dakwah.
Oleh itu, aktivis dakwah mestilah dididik untuk melazimi teman-teman aktivis seorganisasi bagi mengelakkan futur. Pembimbing tarbiyah pula mestilah berusaha untuk sentiasa membina kemesraan aktivis dakwah dengan organisasinya dan memastikan kemesraan yang berterusan sesama aktivis.
4. Kurang mengingati mati dan Akhirat.
Antara faktor pendorong kuat dalam amal dakwah ialah hasrat mendapat pahala, rasa rindu dengan syurga, takut akan dosa dan siksa neraka. Kesemua ini berkaitan dengan mengingati akhirat. Oleh itu, apabila mengingati akhirat berkurangan, ia akan diganti dengan ingatan kepada benda-benda lain. Natijahnya faktor pendorong menjadi lemah dan futur menguasai diri.
Maka sebab itulah penting bagi aktivis dakwah untuk ditarbiyah agar mempunyai rutin ibadah tertentu yang akan terus mengingatkannya akan akhirat, bukan hanya bercakap mengenai fikrah atau menumpu pada kemahiran semata-mata.
5. Lengah dengan syubhat dan dosa.
Manusia akan pasti melakukan silap dan dosa tetapi ia tidak boleh mempunyai sikap toleransi dengan dosa atau bertoleransi setelah melakukannya kerana dosa akan membina titik hitam. Jika titik itu tidak dibiarkan ia akan melemahkan semangat dan mengakibatkan futur.
6. Membataskan aktiviti pada aspek tertentu sahaja.
Antara punca rasa jemu ialah tiada kepelbagaian. Oleh itu, pembimbing tarbiyah hendaklah membimbing para aktivis dakwah untuk mempelbagaikan segala tidakannya. Ia mesti mempelbagaikan ibadah mereka agar apabila mereka jemu pada satu ibadah, mereka masih melazimi satu ibadah yang lain. Ia mesti mempelbagaikan corak amal dakwah mereka agar mereka tidak mudah jemu dan bosan. Dengan itu, kemungkinan futur menjadi rendah.
7. Melupakan sunnah alam.
Futur berlaku juga apabila seseorang itu dalam melakukan amal dakwahnya tanpa mengikut aturan alam seperti mahu satu perubahan yang segera dan cepat, tidak realistik dengan harapannya, sehingga apabila usahanya selalu gagal, ia menjadi putus asa.
Termasuk dalam memelihara sunnah alam ialah menunaikan hak badan, keluarga dan hak-hak lain. Sedangkan Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;
“Sesungguhnya Tuhanmu mempunyai hak atasmu, dirimu mempunyai hak atasmu, keluargamu jug amempunyai hak atasmu. Oleh itu, berikan setiap yang punya hak, akan haknya.” (Riwayat Al-Bukhari)
Selain pembimbing tarbiyah sentiasa memerhatikan aspek ini dalam diri para aktivis, dia hendaklah memastikan agar tidak menjadi punca para aktivis mengabaikan hak-hak yang lain dengan memberi tugas-tugas atau tuntutan yang berlebihan.
8. Tidak ada persiapan menghadapi cabaran di jalan dakwah.
Jalan dakwah sentiasa dipenuhi oleh ujian. Seseorang yang tidak bersedia atau mempunyai persiapan akan pasti ditewaskan oleh ujian ini. Maka sebab itulah penting bagi aktivis dakwah untuk melalui program tarbiyah yang sistematik sebagai salah satu mekanisme persiapan di jalan dakwah.
Pembimbing tarbiyah tidak boleh hanya seronok melihat kesibukan aktivis dakwah dengan
pelbagai projek sehingga tidak ada masa untuk tarbiyah.
9. Lebih banyak bercampur dengan teman-teman.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bemaksud;
“Seseorang itu mengikut agama temannya kerana itu hendaklah kamu melihat orang yang kamu jadikan teman.” (Riwayat Abu Daud)
Maka sebab itu penting bagi pembimbing tarbiyah untuk membina kemesraan dengan para aktivis dan kemesraan sesama mereka. Dengan kemesraan itu, mereka saling mengasihi dan menjadi teman yang terbaik antara satu sama lain. Dengan itu juga, mereka tidak condong kepada golongan-golongan lain untuk dijadikan teman. Ini adalah cara yang lebih baik dari cuba control atau halang seseorang aktivis dari berkawan dengan yang lain.
10. Bekerja untuk dakwah tanpa bersistem.
Apabila seseorang bekerja tanpa ikut sistem dan perancangan yang baik, ia akan memenatkan diri sendiri dan kurang mendapat hasil yang baik. Ini pastinya akan menjejas semangat dan komitmennya.
Menjadi tanggungjawab pembimbing tarbiyah untuk menyepadukan pembinaan kemahiran yang betul sebagai sebahagian dari program tarbiyah bag imengelakkan faktor ini. Di samping itu, pembimbing tarbiyah sendiri mestilah menjadi contoh yang baik.
Merawat Futur
Setelah memahami punca-punca futur, maka merawatnya boleh dilakukan melalui perkara-perkara berikut;
1. Jauhi maksiat yang kecil, apatah lagi yang besar.
2. Mewujudkan rutin amalan dan ibadah, waktu siang dan malam.
3. Jauhilah segala sikap berlebihan, samada dalam menikmatai yang mubah atau dalam beribadah.
4. Membina kemesraan dengan organisasi dan rakan-rakan aktivis.
5. Mendidik aktivis untuk memahami aturan alam dan meraikannya dalam amal dakwah.
6. Menyemai budaya hidup yang teratur, sistematik dan terancang.
7. Berikan tempoh rehat (break) bagai para aktivis, sebelum timbul rasa lemah.
8. Benarkan sedikit perkara mubah bagi aktivis seperti bergurau, berehat, beriadah dll.
9. Berikan kisah-kisah para sahabat dan orang-orang soleh dan perjuangan mereka untuk diambil iktibar dan memperbaharui semangat.
10. Memberi peingatan yang menimbulkan ingatan terhadap mati dan akhirat.
11. Menggalakkan aktivis untuk melazimi majlis ilmu di luar program tarbiyah yang biasa kerana ia akan membantu proses pembinaan kefahaman yang betul dan menambah keberkatan.
Artikel ini ditulis berdasarkan buku Afat `Ala Tariq oleh Dr. Sayyid Muhammad Nuh dan terjemahannya bertajuk Terapi Mental Aktivis Harakah, terbitan Pustaka Mantiq, Indonesia, 1995.
tarbiah perwaris
Tiada ulasan:
Catat Ulasan