Kisah Benar : Mayat Seorang Pendakwah Tidak Reput
Karguzari (laporan) ini seperti yang diceritakan oleh Hj.Musa. Jenazah da'ie Allah ini adalah salah satu daripada jenazah-jenazah yang telah dipindahkan setelah mendapat kebenaran daripada tuan mufti atas permintaan pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam usaha pembinaan landasan keretapi laju Utara-Kuala Lumpur.
( gambar hiasan )
Hj.Musa menceritakan;
❝ Jika kita membaca Alquran dan Hadis-hadis nabi saw, kita akan berjumpa tentang berita-berita atau targhib tentang kemuliaan orang-orang beriman yang berjihad di jalan Allah swt dengan diri dan harta mereka yang mana mereka terbunuh atau syahid di Jalan Allah swt. Mereka ini dijanjikan syurga yang penuh kenikmatan oleh Allah swt, di Padang Mahsyar nanti mereka akan bangun di depan Allah swt dalam keadaan sebagaimana mereka syahid di dunia, ada yang terpotong telinga, hidung, tangan, kaki dan ada yang luka terburai keluar perutnya dan pelbagai keadaan. Mereka ini akan bangun di depan Allah dalam keadaan luka mereka baharu sahaja berlaku, darah masih segar merah lagi. Ada juga yang kita dengar ada orang menggali tanah untuk membangunkan kawasan, yang mana mereka tidak tahu dibawahnya ada kubur Sahabat nabi saw yang mati syahid terbunuh, bila sahaja mereka lihat mayat tersebut yang mana darah merah masih segar keluar walaupun sudah lebih seribu tahun berlalu, Allahuakbar.
Inilah kisah yang ingin aku paparkan untuk renungan kita bersama. Nama orang dan tempat berlaku sengaja aku rahsiakan, tetapi ini adalah kisah benar yang berlaku pada bulan Jun, 2010 yang lepas.
Sekarang pihak Keretapi tanah Melayu sedang membina landasan keretapi laju dari Utara ke Kuala Lumpur yang dijangka siap pada tahun 2012 nanti, yang mana apabila ia beroperasi kelak, masa yang diambil untuk perjalanan sehala dari Alor setar ke Kuala Lumpur hanya 3 jam sahaja. Dalam membina landasan keretapi baru ini banyaklah tanah, rumah, kedai kepunyaan rakyat diambil dan dibayar pampasan yang berpatutan oleh kerajaan yang dipeesetujui bersama. Sistem landasan keretapi mana-mana negara pun agak pelik kerana apabila landasan yang dibina ini melalui sungai atau tasik, maka akan dibinakan jambatan, bila ia merentas banjaran atau gunung ia tidak akan melencong tetapi sebaliknya akan mengorek bukit atau gunung menjadi terowong. Pendek kata, apa sahaja yang ia jumpa dihadapannya, ia tidak akan melencong sebaliknya benda dihadapan itulah yang kena berubah. (macam orang dakwah juga, apa sahaja halangan datang.. jangan elak diri tapi terus maju macam k/api). Perkara yang sama juga berlaku apabila landasan baru ini merentasi satu kawasan surau dan tanah perkuburan. Kubur ini akan dipindahkan ke tempat yang baru. Untuk mengubah kubur ini mesti mendapat persetujuan Tuan Mufti dan dibawah pengawasan pihak Polis. Tarikh pemindahan kubur ini telah ditetapkan. Mufti mengarahkan untuk setiap kubur hanya seorang atau dua orang waris sahaja dibenarkan untuk mengangkat atau melihat jenazah yang akan dipindahkan. Seluruh kawasan di kelilingi dengan pembatas dan dikawal oleh anggota polis. Hanya orang berkenaan sahaja dibenarkan memasuki kawasan tanah perkuburan tersebut. Penggalian disaksikan oleh Tuan mufti dan beberapa pegawai agama lain serta Pegawai Polis.
Tersebut kisah seorang wanita yang mana kubur suaminya juga termasuk senarai yang dipindahkan. Suaminya meninggal dunia 3 tahun lepas akibat sakit barah hati. Dia tidak mempunyai waris yang terdekat dan dia telah memohon kepada mufti supaya warisnya diganti dengan sahabat baik suaminya, tetapi tidak dibenarkan oleh mufti. Wanita ini merayu lagi katanya sahabat suaminya ini memang baik dengan allahyarham semasa dia sihat atau sakit dan bila meninggal dunia, dialah juga yang mengurus jenazah suaminya. Mendengar rayuan ini, mufti membenarkannya. Kedua-dua mereka, allahyarham dan sahabatnya merupakan kawan baik aku juga.
Beginilah ceritanya, setelah kubur dikorek, alangkah terkejutnya sahabat aku ini bila melihat kain kafan yang menutup allahyarham masih elok, tidak reput walaupun sudah 3 tahun berlalu. Bila tiba masa untuk mengangkat jenazahnya, tuan mufti mengarahkan supaya sehelai kain baru dibalut lagi dan melarang supaya jangan dibuka wajahnya (ikut syariat). Setelah siap dibalut dan bila sahaja sahabat aku dan beberapa orang lagi mengangkat jenazahnya, alangkah terkejutnya dia, dipegangnya tangan, masih lagi rasa tangan tidak reput, dipegangnya punggung, masih rasa ketulan punggung dan tidak reput. Badannya juga masih badan biasa, sama saperti jenazah yang baru dikebumikan semalam sahaja. Sahabat aku masa itu merasa bagai nak jatuh kerana terkejut. Wanita ini apabila melihat keadaan suaminya yang sedemikian terus menangis dan menangis sehingga jatuh terduduk. Selepas selesai kerja pemindahan, tuan mufti bertanya kepada sahabat aku, siapakah arwah tersebut dan tambahnya lagi ini adalah tanda dia adalah ahli syurga. Dahulu semasa pengkebumian jenazahnya pun semua orang yang hadir mengatakan kuburnya mengeluarkan wangian yang harum. Selepas peristiwa ini, sahabatku berkata selama 2 hari dia tidak dapat tidur malam kerana teringat peristiwa tersebut.
Berbalik kepada kisah wanita ini, sahabat aku bertanya mengapa ia menangis, katanya: “Kakak menangis sebab menyesal dan rasa berdosa sebab dahulu semasa arwah masih hidup dan sihat, kakak selalu marah dan menghalang dia daripada keluar ikut dakwah tabligh, tapi dia keluar juga walaupun kakak marah.”
Allahyarham dahulu semasa hayatnya bekerja dalam satu jabatan kerajaan. Allahyarham di jabatan atau pejabatnya memanglah seorang yang dikenali di semua peringkat, dari ketua atasan sehinggalah pencuci lantai pejabat semua mengenalinya. Dia peramah, suka ketawa dan senyum dan menyapa kepada semua orang. Tetapi masa itu allahyarham masih tidak menumpukan kepada amal-amal agama. Sikapnya mula berubah apabila dia telah mula mengikuti dakwah tabligh 3 hari yang pertama kali. Dia telah mula mendekati dirinya pada Allah dan bertaubat nasuha. Semua perangai lamanya telah dibuang terus dalam hidupnya. Kehidupannya kini mula tenang dan dia telah belajar dan beramal dengan penuh tekun setiap perintah Allah swt mengikut sunnah nabi saw. Dia yakin, inilah satu usaha kenabian yang dapat merubah kehidupan seseorang kepada satu kehidupan beragama yang diredhai oleh Allah swt. Kemudian dia mengambil cuti tanpa gaji dan ikut keluar lagi 40 hari walau pun dalam keadaan isterinya marah dan tidak berapa suka dia keluar khuruj berdakwah. Selepas beberapa tahun berikutnya, dipohon pula cuti tanpa gaji selama 4 bulan dan diluluskan cutinya untuk keluar 4 bulan di India, Pakistan dan Bangladesh.
Setelah pulang dari khuruj 4 bulan, allahyarham telah menerima surat pemberhentian kerja oleh jabatannya dengan alasan yang tidak munasabah. Tetapi allahyarham redha dan pasrah dengan takdir Ilahi, dia tidak mengambil apa-apa tindakan undang-undang untuk membela diri. Allahyarham mencari rezeki, memelihara anak dan isterinya dengan memulakan perniagaan kecil-kecilan, berniaga air minuman dan jual kueh muih ditepi taman rumahnya. Usaha dakwah tidak ditinggalkanya, terus aktif membuat usaha di kampungnya setiap hari bersama sahabat baiknya tadi. Keadaan ini berlalu sehingga beberapa tahun, sehinggalah satu masa ketika allahyarham dan sahabat aku ini sedang minum teh tarik disebuah warung, ia disapa oleh seorang lelaki Cina. “Hai awak sudah jadi ustaz kah sekarang?” Dengan penuh kegembiraaan, allahyarham menyambut lelaki cina ini yang merupakan kawan baiknya dahulu. Mereka saling bertanya khabar dan setelah memberitahu hal yang sebenar bagaimana dia telah dipecat, kawan Cina berkata dia akan mengambil kes ini dan akan membawa ke mahkamah tanpa mengambil apa-apa bayaran upah kepada allahyarham. Kawannya ini dahulu bekerja sepejabat dengannya, tetapi sudah berhenti dan menjadi peguam. Masa itu jugalah kawan cina ini menghulurkan kepadanya duit sebanyak RM2000. Diringkaskan cerita, kesnya yang dibawa ke mahkamah telah dimenangi oleh allahyarham.Beliau telah mendapat bayaran balik beratus ribu ringgit oleh kerajaan dan kerja/ jawatannya pula disambungkan semula. Dengan wang tersebut, allahyarham telah mendaftar untuk mengerjakan fardhu haji bersama isterinya. Selang beberapa lama, Tabung Haji telah mengeluarkan surat yang mereka berdua akan berangkat ke Mekah pada tahun itu juga.
Kita merancang, Allah juga yang menentukan semuanya dan ketetapan Allah pasti akan berlaku sebagaimana kehendakNya. Sebelum berangkat ke Tanah Suci Mekah, allayarham telah diserang penyakit barah hati dan meninggal dunia. Semoga Allah mencucuri rahmatnya kepada allahyarham dan meletakkan dia bersama para syuhada dan solihin, amiin.
Kita yang hidup ini, masih belum tahu nasib kita bagaimana. Adakah akhir kalam kita dalam keadaan husnul khotimah? Oleh itu, marilah kita terus berusaha untuk memperbaiki diri dan menguatkan iman dan amal kita mengikut perintah Allah swt dengan cara ditunjuki oleh Nabi saw. ❞
Karguzari bersumber daripada Hj.Musa di caponenkolakedah.blogspot.com. Semoga kita dapat mengambil iktibar. Wallahu a'lam.
Karguzari yang masih tersemat dalam ingatan, adalah berkenaan salah seorang jemaah 4 bulan tempatan yang meninggal dunia di moharlah, matinya dalam keadaan posisi tidur sunnah, tasbih ditangan dan setelah allahyarham berqiamullail. Akan berkongsi karguzari ini di kemudian hari, Insya'Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan