Perhimpunan BERSIH 2.0 Akan Aman Jika Polis Dan PERKASA Tak Kacau


Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu tetap memberi jaminan bahawa himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini akan berjalan dalam keadaan aman jika pihak polis memberikan sepenuh kerjasama.
Sehubungan itu, beliau sekali lagi menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menjaga keselamatan peserta himpunan dan memastikan tiada sebarang kekecohan.
"Saya merayu sekali lagi kepada Polis Diraja Malaysia, ketua polis negara supaya menjaga keamanan dan keselamatan rakyat serta tidak melakukan tindakan keras kepada rakyat yang menuntut demokrasi dan pilihan raya adil dan bebas," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Mohamad yakin polis mampu memantau mana-mana pihak yang berniat melakukan kekacauan dan rakyat akan berasa gembira sekiranya memorandum tersebut pada diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong dalam keadaan aman.

"“Kalau kita sampai ke Istana Negara dengan selesa dan baik, semuanya akan berjalan dengan lancar…kita juga akan bersurai dengan baik.


“Keadaan akan jadi tidak elok apabila polis bertindak sembur gas pemedih mata dan air asid, itu yang sebabkan peserta berlari, peniaga terpaksa tutup kedai, peniaga air kena buang air sebab dimasuki air asid.

“Kalau perkara ini tidak berlaku naka saya percaya semua akan gembira, rakyat akan gembira dan peniaga juga akan gembira,” katanya.

Jangan peduli "gendang" Perkasa

Sementara itu, naib presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, penganjur Bersih 2.0 tidak perlu tunduk kepada amaran polis kerana matlamatnya jelas untuk menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.

Beliau berkata, pihak penganjur harus mencontohi Mesir yang menyediakan buku panduan ringkas kepada peserta demonstrasi mereka.

"Revolusi di Mesir mereka ada buku panduan. Kalau pergi demonstrasi macammana tak nak berlaku huru hara.

"Kita pergi demo memang nak secara aman tpi kalau FRU datang sembur kita, orang jadi panik, mata tak nampak, tak boleh bernafas macammana nak buat?

"Dalam tips ini sebut kena bawak air lemon, atau cuka epal untuk lindungi kita. Ini satu cadangan yang baik.

"Mata kena pakai cermin mata yang boleh lindungi mata, pakai baju banyak lapis supaya orang tak nampak kita nak pergi Bersih tapi nampak kita macam nak pergi shopping," katanya sewaktu bercakap dalam satu forum di Dewan Perhimpunan Cina Selangor-Kuala Lumpur (KLSCAH) malam semalam.

Beliau juga berkata, tindakan Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa) yang juga mahu mengadakan perhimpunan membantah Bersih pada hari yang sama tidak harus dihiraukan.

"Perkasa kata mereka nak pergi saya rasa adalah dalam 30 orang.

"Kalau kita berhimpun 1,000 hingga 2,000 orang, Perkasa jadi sangat kecil dan kita tak perasan pun ada Perkasa di situ.

"jadi jangan takut. Bila gendang bunyi kuat, biasanya isinya kosong. kalau Perkasa bunyi kuat, mesti tak ramai datang," katanya disambut ketawa hadirin.

Sementara itu,BERSIH akan mengadakan pelancaran Perhimpunan Bersih 2.0 di Dewan Utama, KLSCAH pada jam 8.30 malam ini.

Pemimpin Bersih, NGO dan masyarakat awam akan memberikan ceramah dan taklimat berhubung perkembangan dan tuntutan Bersih.-Hrkhdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan