Wednesday, July 27, 2011
SHAH ALAM – Sistem biometrik yang akan diperkenalkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menjamin ketelusan dalam proses pembuangan undi malah ia mungkin akan dimanipulasi warga asing.
Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah berkata, kerajaan perlu menggunakan kaedah dakwat kekal bagi menentukan pilihan raya umum Malaysia, bersih, adil dan saksama walaupun penggunaan tersebut dikatakan jumud.
Malah, Wan Azizah juga kesal dengan pembatalan penggunaan dakwat kekal di saat akhir pada pilihan raya umum lalu (PRU-12) yang dikatakan sudah luput tarikh.
“Biometrik itu siapa tahu, ada warga Bangladesh digunakan untuk membuang undi. Kita tidak tahu. Biometrik itu tidak menjamin bahawa satu orang satu undi ataupun satu rakyat satu undi.
“Ini yang hendak kita tentang, sebab itulah kita bangun mengadakan perhimpunan Bersih 2.0. Allah sudah tentukan sekiranya rakyat bangun dengan keberanian, Insya-Allah kita akan menang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Logo “SELANGORKU” di Stadium Malawati Shah Alam yang dirasmikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada malam Ahad.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan bersetuju memberi peruntukan kepada SPR bagi melaksanakan sistem biometrik.
Menurutnya, pelaksanaan sistem tersebut bagi menjamin pilihan raya yang adil tanpa timbul lagi isu pengundi hantu sebagaimana didakwa oleh Pakatan Rakyat (PR).
Beliau berkata, langkah tersebut membuktikan kerajaan mahu memastikan sistem yang dilaksanakan dalam pilihan raya di negara ini merupakan yang terbaik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan