ceritaku Yang Ingin Dikongsikan Bersama, Ketika Aku Menziarahi Guruku

Talifon ku berdering kuat memecah kesunyian malam , lantasku capainya yang berdekatan denganku , skrin mempamirkan nama ustaz Asri sahabatku ketika menuntut di Ma`ahad Tahfiz Darul Quran Faisalabad , Pakistan dulu. Persahabatan kami tidak pernah putus walaupun beliau lebih awal pulang ke Malaysia dan aku melanjutkan pelajaranku dalam jurusan syariah. Sekarang beliau telah menjadi muhtamim ( pengetua ) di sebuah ma`ahad tahfiz dekat Jasin , Melaka.

“ awat dia talifon malam-malam ni “ kata hatiku sambil jariku menekan butang `call` pada talifonku.

“ assalamualaikum ! “ sahutku membuka bicara

“ waalaikumussalam…kia hal he ?( apa khabar ? ) “

“ baik….. hang apa kabaq ?” balas ku

“ aku ok je…..macam biasala masih hensem he he”

“ eh! kau free tak jumaat ni ? , aku ada hajat sikit ni” tanya dia padaku

“ emm….siang aku mengajar malam free la kot” jawabku teragak –agak kerana niatku hendak menyertai perhimpunan bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada hari sabtu 9 julai.

“ apa hajat hang ?” tanyaku dalam keadaan fikiranku berteka –teki tentang hajatnya.

“ bukan…. Tok guru kita Qori Yasin dah sampai Malaysia,aku nak ajak kau pergi sekali ziarah dia , inila hajat aku” jawabnya , sekaligus membongkar jawapan yang sedang berteka – teki dikotak fikiranku..

“ oo..lagu tu ka , ok insyallah” jawabku tanda setuju. Aku terpaksa menguburkan niatku menyertai Bersih 2.0 dengan harapan mendapat peluang yang kedua. Tidak patut bagiku,guruku yang datang dari beribu batu untuk berjumpa dengan muridnya dan aku tidak menziarahinya.

“ ok kalau kau setuju aku ambil kau dekat Permatang Pauh hari jumaat , lepas asar , program start kul 8.30pm mlm sabtu dan berakhir selepas zohor hari sabtu” katanya padaku sambil mengatur perjalanan.

“ insyallah” jawabku ringkas.

Setiap tahun guruku akan datang ke Malaysia untuk berjumpa dengan anak muridnya. Majority anak muridnya di Malaysia menjadi tenaga pengajar di ma`ahad tahfiz , madrasah dan sekolah agama. Dengan peluang yang ada beliau akan mengumpulkan semua anak muridnya dalam satu majlis untuk memberi nasihat , semangat serta berbincang bagaimana hendak mengatasi kelemahan dan masalah dalam mengendalikan madrasah dan bagaimana mengatasi kelemahan yang ada didalam diri seorang mudarris ( pengajar ) dan bagaimana cara mentarbiyah diri dan mentarbiyah anak-anak di bawah jagaannya. Setiap tahun majlis ini akan diadakan di Ma`ahad Tahfiz Alquran Lorong Alif (MATLA ) Jitra Kedah.

Lepas isya` malam sabtu


Tepat 9.10 pm , proton exora yang kami naiki meluncur masuk di perkarangan MATLA . sejurus kami keluar dari kenderaan , para petugas datang untuk menyambut dan terus membawa kami berjumpa guru. Telah menjadi tradisi acara tolak menolak akan berlaku , kerana tiada siapa yang berani mengetuai dalam perjumpaan ini kerana kehebatan yang ada dalam diri guruku. Akhirnya ,keputusan, siapa yang lebih tua akan memimpin kami masuk berjumpa guru. Mujurla umurku masih muda diantara sahabat-sahabatku. Setelah masuk kedalam bilik khas , aku melihat wajah guruku yang amat bersih , beliau melontarkan senyuman kepadaku , senyuman yang dapat meredakan gemuruh didalam hatiku , senyuman yang dapat menghentikan getaran dadaku. Aku terus memeluknya dan mencium pipinya sambil bertanya khabar. Tangan kanannya erat memegang tanganku , tangan kirinya menarik – narik lembut janggutku , beliau suka menarik janggutku setiap kali aku berjumpa dengannya, entah kenapa ? mungkin janggutku unik atau beliau mengisyaratkan kepadaku supaya memanjangkan lagi janggutku,mana tidaknya diantara sahabat-sahabatku yang datang bersamaku, akulah yang memiliki janggut yang paling pendek. Setelah berbual seketika, aku dan sahabatku meminta diri dan terus menyertai majlis yang telah bermula .

Majlis dimulakan dengan ceramah yang akan diberikan oleh anak guruku Qori Jamil sahib. Beliau akan memberi ceramah selama satu jam. Namun , oleh kerana aku dan sahabatku sampai lewat , maka tidak ada perkara yang dapat aku kongsikan melainkan pada akhir ceramahnya beliau berkata :

“ tuan-tuan hargailah pekerjaan yang Allah berikan kepada kamu ya`ni mengajar al quran kepada ummat manusia, tidak ada pekerjaan yang paling mulia selain mengajar al quran. Jika kamu tidak menghargainya maka aku takut Allah akan menariknya kembali dan akan memberi tanggungjawab mengajar alquran dan ilmu-ilmu agama kepada orang lain. Usaha penyebaran alquran dan ilmu-ilmu agama di Negara kamu telah mula berkembang , madrasah telah banyak dibangunkan , ini menunjukkan Allah memilih kamu dan Negara kamu sebagai punca penyebaran agamanya. Oleh itu hargailah nikmat yang Allah anugerahkan kepada kamu. Kami telah melihat sejarah perkembangan ilmu-ilmu agama mula bertapak di jazirah arab namun setelah beberapa dekat , ilmu agama telah kurang dihargai maka pusat perkembangan dan penyebaran ilmu agama telah berpindah ke Kufah dan Basrah. Dan selepas itu ia telah berpindah dikawasan Bukhora dan kawasan yang berdekatan dengannya. Dan setelah itu ia berpindah di Hindustan dan sekarang kami telah melihat perkembangan dan penyebaran ilmu agama di Negara kami telah mula berkurangan di sebabkan sekatan-sekatan yang dibuat oleh kerajaan atas desakan Negara luar. Orang –orang tidak dibenarkan masuk ke Negara kami untuk belajar agama dan madrasah dipaksa tutup. Dan kami melihat ilmu agama telah mula bejinak-jinak di Negara kamu , maka hargailah nikmat ini jangan sampai Allah menariknya kembali. Allah tidak berhajat kepada kita untuk mengembangkan Agamanya namun apabila Allah memberikan usaha ini kepada kita maka itu adalah satu kurniaan yang amat besar bagi kita. Oleh itu hargailah….”

Walaupun hanya sekadar ini yang dapat aku dengar namun ia amat bermakna bagi diriku,kerana ianya telah membuatkan aku tersedar dari keculasan dalam menghargai nikmat yang telah dianugerahkan Allah kepadaku selama ini. Aku mengharapkan semoga Allah memberi kekuatan kepadaku untuk melaksanakan amanah yang terpahat pada diriku dengan sebaik mungkin.
Jam tepat menunjukkan pukul 10.30 pm. Para peserta diberi masa 5 minit untuk menyegarkan diri setelah sejam lebih duduk mendengar ceramah. Slot seterusnya akan bermula pukul 10.35 pm. Sambil-sambil aku memicit lutut dan pinggang ku yang lenguh, sempat juga aku bertegur sapa dengan sahabat-sahabatku yang lama tidak berjumpa dan seperti biasalah kami akan bertanya khabar masing-masing.

Setelah 5 minit berlalu, guruku keluar dari biliknya dan terus menuju kearah kerusi sofa yang disediakan baginya. Tanpa membuang masa kami pun mencari tempat masing-masing. Aku mencari tempat yang berhampiran dinding , kerana pinggangku tidak mampu bertahan lama tanpa menyandar. Tanpa membuang masa guruku telah membuka bicaranya. Disinilah tempatnya yang ingin aku kongsikan segala amanat dan nasihat guruku kepada anda semua dan aku sedaya upaya meringkaskannya tanpa meninggalkan point-point yang penting….

Setelah memuji Allah dan selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad SAW beliau telah berkata :

“ Wahai anak-anakku yang dikasihi sekelian, sungguh pada saat ini hatiku amat gembira dan bahagia kerana dapat melihat wajah – wajah insan yang menyintai gurunya. Aku tahu kamu telah menempuh perjalanan yang jauh bukan kerana urusan perniagaan dan bukan kerana urusan peribadi, tetapi semata – mata ingin berjumpa dan menziarahiku. Inilah ikatan yang amat erat diantara guru dan muridnya yang tidak putus selamanya. Dan aku amat – amat menghargainya , semoga Allah memberkati kehidupan kamu semua”

“ Wahai anak-anak sekalian , sesungguhnya Allah telah memuliakan kamu melalui alquran kerana sabda Nabi SAW mafhumnya : “orang yang paling mulia dari umatku ialah mereka yang menghafal alquran”

Dan ingatlah sepertimana Allah telah memilih dada Nabi SAW sebagai tempat tersimpannya alquran maka begitu jugalah Allah telah memilih dada-dada kamu sebagai tempat tersimpannya alquran. Apakah ada nikmat yang lebih hebat daripada nikmat yang Allah telah anugerahkan kepada kamu?
Berapa banyak orang-orang islam dimuka bumi ini yang dapat menghafal alquran ?Allah tidak memberi nikmat ini kepada semua hambanya , nikmat ini hanya diberi oleh Allah kepada hambanya yang terpilih. Oleh itu wajib bagi kamu menghargainya dan mensyukurinya kerana jika kamu mengkufurinya maka tidak sukar bagi Allah untuk mencabut kembali nikmat yang telah diberikan kepada kamu dan diberikan kepada hambanya yang layak menerimanya. Sepertimana firman Allah mafhumnya : jika kamu bersyukur pasti aku tambah bagimu dan jika kamu mengkufurinya , sesungguhnya azab ku amatlah keras.


Nasihat bagi muhtamim ( pengetua sekolah )


“ Wahai anak – anak sekalian , diantara kamu ada yang menjadi muhtamim dan ada diantaranya menjadi mudarris ( guru ). Dengarlah wahai muhtamim , jawatan ini bukanlah untuk dibangga-banggakan bahkan ia adalah satu tanggungjawab yang amat berat dan amanah yang perlu kamu laksanakan dengan sebaik mungkin. Kamu jangan menyangka bahawa tugas kamu hanya mencari dana untuk membangunkan bangunan sekolah atau hanya menjaga kebajikan kakitangan dan murid-murid atau hanya menyediakan kemudahan yang diperlukan sekolah bahkan tugas kamu lebih dari itu. Jika kamu Berjaya membina sekolah yang berdiri megah lagi mewah dan mempunyai tenaga pengajar hebat dan mempunyai pelajar yang cemerlang dalam pelajaran maka kamu masih belum lagi layak menerima jawatan sebagai muhtamim ( pengetua) selagimana kamu tidak risau tentang didikan ruhani orang-orang dibawah jagaan kamu. Ingatlah perkataan “ muhtamim” adalah dari perkataan “ ham “ yang bermakna kerisauan. Kamu perlu risau dan berusaha keatas diri dan orang bawahan kamu supaya memperbaiki hubungan dengan Allah ,taat beribadah padanya dan menghiasi diri dengan akhlaq yang mulia,jika kamu tidak risau dan berusaha atas perkara ini maka kamu tidak layak di gelar sebagai muhtamim( pengetua)”

Nasihat bagi mudarris (guru)


“Wahai anak-anak sekalian, kebanyakan kamu adalah guru yang mengajar di sekolah atau di ma`ahad tahfiz atau di madrasah . dan ingatlah bahawasanya apabila kamu di ambil mengajar di mana-mana sekolah , maka sebenarnya kamu telah membuat perjanjian dengan pihak sekolah bahawa masa yang diperuntukkan untuk kamu akan digunakan untuk mendidik anak-anak dibawah jagaan kamu. Maka disini telah terbit amanah yang perlu kamu tunaikan. Jangan sekali-kali kamu mengkhianatinya,janganlah masa yang diberi digunakan untuk urusan peribadi atau urusan yang tidak bersangkut paut dengan pendidikan anak-anak jagaan kamu. Tepatilah masa , jangan terlewat hadiri kelas , jika kamu terlewat tanpa sebab maka kamu telah khianat , jika kamu tidur didalam kelas maka kamu telah khianat , jika kamu bercakap melalui talifon bimbit atau menghantar sms yang dianggap tidak perlu maka kamu telah khianat dan paling mengecewakan ada guru yang hadir didalam kelas tetapi bemain game didalam talifonnya”

“Wahai anak – anak sekalian , ingin aku ceritakan kepada kamu bagaimana guruku Qori Rahim Bakhs menjaga masa ketika beliau mengajar di madrasah Khairul Mudarris , Multan. Beliau mengajar selama 40 tahun. Dalam masa 40 tahun beliau tidak pernah mengambil cuti sakit apatahlagi ponteng tidak menghadiri kelas. dan dalam masa 40 tahun beliau tidak pernah terlewat hadiri kelas walaupun satu saat. Satu ketika anaknya akan melangsungkan perkahwinan , tapi malangnya waktu perkahwinan anaknya bertembung dengan waktu beliau hadiri kelasnya, maka beliau telah melantik seseorang untuk menguruskan perkahwinan anaknya dan beliau terus menghadiri kelasnya. Pun begitu setelah beliau meninggal dunia , beliau telah menulis dalam surat wasiatnya “ sesungguhnya selama aku mengajar di madrasah , aku berusaha menjaga amanah yang telah diberikan kepadaku dengan sebaik mungkin , namun aku adalah seorang manusia yang tidak sepi dari kekurangan dan kelemahan maka aku wasiatkan kembalikan wang rp 10,000 dari hartaku kepada madrasah , mudah-mudahan ianya dapat menampung kekurangan yang datang dariku tanpa disedari” nah! Lihatlah bagaimana orang-orang dahulu yang soleh menjaga amanah yang telah diberikan kepada mereka.”

“Wahai anak-anak sekalian ,sebagai seorang guru maka hendaklah kamu sentiasa menunaikan hak – hak sekolah dan hak-hak anak murid kamu. Tunaikan hak-hak mereka dengan sebaik mungkin. Janganlah kamu hanya mahukan hak-hak kamu sahaja yang harus ditunaikan oleh pihak sekolah. Ada guru-guru yang merungut gaji mereka terlalu sedikit , ada yang mengatakan pihak sekolah tidak menjaga kebajikan mereka, tetapi pernahkah mereka bertanya akan diri mereka ,adakah aku telah tunaikan hak sekolah sepenuhnya ? janganlah terlalu berkira dalam memperjuangkan agama Allah. Guru yang terbaik ialah guru yang bersungguh –sungguh mendidik dan mentarbiyah anak muridnya walaupun kadang – kadang terpaka mengorbankan hak peribadi dan dia sanggup meluangkan masanya untuk mendidik anak muridnya di luar waktu kerjanya, tanpa mengharapkan imbuhannya dan dia hanya mengharapkan ganjaran pahala yang dijanji Allah ta`ala”

Didalam kesibukan mendidik, janganlah kamu lupa akan diri kamu



“Wahai anak-anak yang ku kasihi , dalam kesibukan kamu mengajar alquran , janganlah kamu lupakan diri kamu. Setiap hari kamu mendengar sabaq baru ( hafalan yang baru ) dan kamu mendengar sabqi (hafalan lama ) dan mendengar manzil ( hafalan yang lebih lama ) dari murid kamu, tetapi adakah kamu dapat menjaga hafalan kamu sendiri ?adakah kamu dapat istiqomah membaca sekurang-kurangnya tiga juzuk sehari ?. ingatlah, dosa orang yang dilupakan alquran setelah menghafalnya amatlah besar. Oleh itu , bacalah dan ulanglah alquran kamu setiap hari 3 juzuk sekurang-kurangnya. Guruku ketika umurnya masih muda beliau mengkhatamkan 5 juzuk alquran dalam solat tahajjudnya dan ketika umur beliau telah lanjut dan beliau telah jatuh sakit, beliau mengkhatamkan 3 juzuk dalam solat tahajjudnya setiap malam. Alhamdulillah , dengan taufik dari Allah maka dapat aku khatamkan tiga juzuk setiap hari dalam solat sunnat rawatibku walaupun aku sibuk menguruskan sekolah.janganlah kamu lupa mengkhatamkan alquran 30 juzuk dalam solat taraweh, dan siapa yang istiqomah mengkhatamkan alquran didalam solat taraweh setiap tahun maka ingatan qurannya akan kuat dan tidak akan mudah lupa.

Wahai anak-anak ku banyakkanlah ibadah mu pada Allah, banyakkanlah zikir mu pada Allah. Jangan jadikan dirimu mati disisi Allah , sepertimana sabda Nabi mafhumnya “misal orang yang hidup dan yang mati disisi Allah ialah orang yang berzikir pada Allah itu hidup dan yang tidak berzikir itu mati. Kebanyakkan dari kita ( guru ) masih tergolong dalam golongan orang yang mati, walaupun ilmunya hebat , hafalan alqurannya kuat , namun jika ia masih lalai dari mengingati tuhannya dan culas dalam beribadah padanya maka dia tergolong dalam golongan orang yang mati. Jika kamu tidak mengingati Allah dan malas dalam ibadah bagaimanakah kamu mampu mendidik dan mentarbiyah anak murid kamu ? adakah orang yang ‘mati’ mampu mendidik dan mentarbiyah orang yang hidup ?.

“Wahai anak-anakku,Guruku antara orang yang kuat beribadah, mulutnya sentiasa membaca alquran , lidahnya sentiasa basah dengan berzikir ,beliaulah orang pertama didalam masjid setiap kali waktu solat , malamnya dihiasi dengan tahajjud , panjang munajatnya , doanya dibasahi dengan air mata….aku tidak mengangap bahawasanya hanya guruku sahaja yang kuat beribadah sehingga aku sentiasa menjadikan beliau sebagai contoh bagi kamu,tetapi oleh kerana beliau juga guru kamu walaupun secara tidak langsung, dan juga beliau adalah contoh yang paling dekat dengan kamu, beliau telah meninggalkan dunia ini selama 30 tahun dan ada diantara kamu yang telah dilahirkan didunia ini ketika beliau di saat-saat akhir kehidupanya. Boleh saja aku menceritakan kehebatan ibadah orang-orang terdahulu, ibadah para Nabi , ibadah para sahabat dan ibadah para solihin, tetapi kemungkinan syaitan akan membisikkan kepada kamu bahawa “itu mereka, siapa kita ? mereka hidup pada khairul qurun ( zaman yang baik ) , mereka hidup dalam suasana yang baik jika dibandingkan dengan zaman kita yang penuh cabaran, maka tiadalah susah bagi mereka melakukan ibadah”. kerana itulah aku menjadikan beliau ( guruku ) sebagai contoh bagi kamu, kerana zaman beliau hampir dengan zaman kamu , dan zamannya tidak jauh berbeza dengan zaman kamu , supaya tiada lagi alasan keculasan ibadah bagi kamu”

“Anak-anakku sekalian, bangun malam dan beribadah pada Allah adalah bekalan yang amat penting bagi seorang pendidik. Kerana bangun malam serta solat tahajjud dan membaca quran itu memberi kekuatan dalam perjuangan dakwah. Dan ianya memberi kesan yang mendalam dalam usaha mentarbiyah dan mendidik. Sepertimana Allah perintahkan Nabi saw didalam surah muzammil.Oleh itu mulakanlah dari sekarang, perbaikilah kelemahan yang ada, semoga Allah memberkati kehidupan kita semua….”

“Wallahua`lam,”

Kemudian sesi soal jawab pun bermula……..
Hanya sekadar inilah yang dapat aku kongsikan bersama. Semoga nasihat , kata semangat dan amanat yang diberikan oleh guruku ini memberi manfaat pada diriku dan kepada siapa saja yang membacanya, khususnya bagi para pendidik……

Wallahu`alam……..

Al-Binory Jumaat 15/7/2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan