Rasuah Scorpene Akan Di Bongkar Di London

Rabu, 7 September 2011diterbitkan

oleh PBO™ pada: 09:32

Peguam kedua Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang mengendalikan kes rasuah pembelian kapal selam Scorpene, Joseph Breham akan memaklumkan perkembangan siasatan kes itu pada satu majlis mengumpul dana guaman di London, hujung Oktober ini.

Pengarah Suaram Cynthia Gabriel berkata, Breham tidak bercadang ke Malaysia bagi mengelakkan dihalau Jabatan Imigresen negara ini seperti yang menimpa seorang lagi peguam Suaram, William Bourdon Julai lalu.


“Kita bimbang kehadirannya tak dialu-alukan di sini. Tetapi, kita perlukan liputan kes penting seperti ini untuk dilapor. Maka program di London hujung Oktober ini dibuat dengan harapan para pengamal media termasuk media antarabangsa akan memberi perhatian.


“Kita adakan di sana supaya rakyat Malaysia yang prihatin akan datang mendengar penerangan dan memberikan sokongan,” kata Cynthia kepada Keadilandaily.com.‘Ops Scorpene’ dilancarkan Suaram bagi meraih dana siasatan kes yang difailkan di Mahkamah Perancis pada Disember 2010.


Siasatan dibuat bagi mengenalpasti sama ada wujud imbuhan dalam bentuk komisen oleh firma pertahanan Perancis DCNS kepada pegawai atasan Malaysia dalam pembelian dua kapal selam kelas Scorpene pada 2002.


Beliau menambah, kes tersebut dijalankan oleh hakim penyiasat (investigative judge) yang akan dilantik dalam masa terdekat. Manakala dokumen urusniaga yang diklasifikasi sebagai sulit akan didedahkan sebaik perbicaraan bermula.


Suaram turut berharap, nama hakim yang mengadili kes itu akan diumumkan kerajaan Perancis sebelum majlis mengumpul dana di London bermula. “Ia akan menjadi sebahagian daripada perkembangan penting kes ini. Berbeza dengan Malaysia, hakim di Perancis lebih bebas dan bersifat menyiasat (investigative),” kata Cynthia.


Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada seseorang boleh disapina untuk hadir ke mahkamah Perancis, Chynthia berkata ia bergantung kepada keperluan mahkamah. “Kita lihat dahulu (perkembangan). Tetapi sebelum ini pun, Menteri Pertahanan (Datuk Seri Zahid Hamidi) pernah tawarkan diri untuk beri keterangan,” ujarnya.


Mengulas lanjut, Cynthia tidak dapat memastikan sama ada mereka yang telah disabitkan bersalah dalam kes rasuah tidak dibenarkan memasuki Eropah. “Tak mustahil, tetapi mesti dibuktikan bersalah terlebih dahulu dan ada laporan terhadap individu tersebut dibuat .


“Memang wujud konvensyen dalam Kesatuan Eropah yang akan mendakwa sesiapa sahaja yang melakukan rasuah untuk didakwa ke mahkamah negara Eropah. Apa pun kita kena lihat dulu perkembangan kes ini,” jelas Cynthia./kd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan