Hudud: Pemuda PAS seru Zainah bertaubat

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melalui Lajnah Pekerja dan Profesional Muda, Dewan Pemuda PAS kesal dengan kenyataan pemimpin Sisters in Islam (SIS), Zainah Anwar dalam isu hukuman hudud.
Pengerusinya, Dr Ghazali Hasbullah berkata, kenyataan Zainah dalam The Star Online pada 2 Oktober 2011 menunjukkan kekeliruan nyata beliau yang kurang memahami falsafah hukum dalam syariah Islam.
“Islam merupakan agama Allah yang diturunkan kepada seluruh manusia sehingga akhir zaman. Ia merupakan agama yang membawa rahmat, agama kasih sayang, agama yang halus dan lemah lembut serta agama yang membawa kejayaan untuk dunia dan akhirat,” kata Ghazali dalam satu kenyataan media.


Tambah beliau, kekeliruan dalam melihat hukum Islam dengan gambaran salah seperti membesar-besarkan tentang potong tangan, potong kaki, rejam sampai mati dan sebagainya samalah seperti memberi gambaran salah kepada bukan Islam bahawa apabila masuk sahaja Islam, sesorang itu akan dikhitankan.
“Apakah itu caranya kita melihat Islam dan memberi penjelasan tentang Islam? Kenyataan itu hanya menakut-nakutkan manusia yang belum Islam tentang Islam.
“Gambaran yang salah seperti hukuman sebat seratus rotan dan rejam sampai mati juga tidak harus menjadi bahan untuk menakut-nakutkan sedangkan hukuman rotan dan bunuh dengan cara yang lebih kejam juga terdapat dalam sistem perundangan penjajah. Kenapa rakyat Malaysia boleh terima?” soalnya. Ghazali menyarankan penjelasan tentang kebaikan hukum Islam secara akademik yang disokong data kerana Islam merupakan agama kesejahteraan.
“Perlu diingat, bukan semua pencuri mesti dipotong tangannya. Tempat simpanan, nilai yang rendah, orang yang miskin, bukan terpaksa, isteri yang mengambil barang suami dan banyak lagi faktor akan diambil kira sebelum hukuman dijalankan. Malah, jika si pemilik barangan tersebut memberi maaf sebelum dilaporkan kepada pihak pemerintah, hukuman itu juga tidak perlu dilaksanakan.” Justeru, katanya, semua kenyataan yang dikeluarkan oleh oleh Zainah itu akan terjawab dengan sendiri apabila kita memahami bahawa Islam itu adalah agama yang adil, agama pemelihara, agama kasih sayang dan agama fitrah yang mana segala hukumnya termasuk hukum jenayah (hudud) juga adalah untuk keadilan dan kesejahteraan masyarakat. Melihat hukum Islam dari sudut kekerasan perlaksanaan hukumannya adalah satu kekeliruan yang hanya akan menjauhkan manusia dari Islam.
Pemimpin SIS itu dalam kenyatan tersebut menulis (diterjemahkan), “Tidak mengapa untuk melaksanakan hukum hudud sebab ia tidak melibatkan bukan Muslim. Jadi tidak mengapalah untuk umat Islam dizalimi?”
Pemuda PAS menganggap kenyataan tersebut boleh menjejaskan akidah dan menyeru agar Zainah kembali bertaubat. Hakikatnya, sejarah telah membuktikan kadar jenayah yang sangat rendah di tempat syariat Allah itu dijalankan.
Oleh yang demikian, dalam keadaan jenayah di Malaysia tidak terkawal, Pemuda PAS menyokong penuh agar pelaksanaan hukuman hudud dapat dilaksanakan di Kelantan sebagai negeri pemula bagi mengembalikan keharmonian negara dan rakyatnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan