Jom Kenali MB Kedah...

KEDIAMAN


Rumah dua tingkat di tepi jalan itu, sekilas pandang tiada satu pun kelihatan istimewa. Tiada bezanya dengan rumah-rumah sebaris dengannya. Bawahnya batu, menempatkan ruang dapur dan tamu. Tingkat atasnya kayu, tempat sepasang suami isteri beradu dan berkumpulnya anak menantu jua cucu. Pekarangannya agak sempit, cukup-cukup memuatkan dua buah kereta. Di pagarnya tersidai dua karpet kecil dan sebatang mop lantai.


Sekelilingnya beberapa pokok sederhana besar ditanam, menghijaukan laman. Tiada kolam renang mahupun rekaan air terjun buatan yang melambangkan kemampuan penghuninya berbelanja besar, menghias kediaman.


Sesiapa yang lalu-lalang, baik pejalan kaki mahupun pengguna jalan raya, pasti terlepas pandang dek kerana tiadanya nilai estitika ataupun kemuncak kemewahan yang mampu menarik perhatian.


BANGUNKAN INSANIAH


Memadai diceritakan antara kejayaan Ustaz Azizan bersama kerajaan Pakatan Rakyat ini ialah berjaya membangunkan Kolej Universiti Insaniah dengan penambahan bangunan baru di Kuala Ketil dan peningkatan mata pelajaran yang ditawarkan.


Sebelum ini, selama 12 tahun di bawah kerajaan lama, hanya 7 subjek ditambah sedangkan di kala pemerintahannya selama dua tahun ini, sudah 42 subjek baru diperkenalkan.


CUKUP BERANG


"Paling pantang, ada orang minta projek daripadanya. Dia juga cukup berang jika sesuatu itu harganya amat mahal dan tidak munasabah. Dia begitu teliti dan cerewet tentang duit," kata seorang kakitangan kerajaan negeri tentang sikap MB Kedah itu terhadap perbelanjaan dan peruntukan kewangan.


Selain itu beliau turut mengarahkan semua Exco Kerajaan negeri, melalui potongan gaji, menyumbang dana ke Tabung Tunku Mahmud, bagi tujuan kebajikan untuk rakyat Kedah.


Ya, memang tidak disangkal, Ustaz Azizan begitu cermat bila masuk bab wang kerajaan. Sikapnya itu sudah tidak menjadi rahsia lagi bahkan sebelum beliau bergelar Menteri Besar lagi. Malah tidak pernah campur adukkan antara wang kerajaan negeri dengan wang milik parti.


Apatah lagi dalam hal ehwal lantikan kuasa atau jawatan, Ustaz Azizan, bapa 14 orang anak ini tidak pernah menggunakan kuasa yang ada untuk menawarkan pekerjaan kepada anak-anaknya di pejabat kerajaan negeri sungguhpun diketahui ada antaranya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, kata satu sumber rapat dengan MB Kedah itu.


Ketika mula-mula mengangkat sumpah sebagai pemimpin negeri Mac 2008 yang lalu, rumahnya tidak mempunyai pagar. Kosong dan lapang begitu sahaja.


Namun atas nasihat Unit Perancang Ekonomi (UPEN) demi faktor keselamatan, Ustaz Azizan bersetuju dengan cadangan mereka supaya membina pagar rumah dan pondok pengawal. Bagaimanapun, beliau tidak mahu menggunakan peruntukan kerajaan negeri sebaliknya membina menggunakan duit sendiri.


HARGA KEMEJA MB


Bagi membeli pakaian, beliau akan ke sebuah kedai cina di Simpang Empat, Kangkong dan sebuah kedai di Pulau Pinang bagi membeli baju-baju kemeja yang diminatinya dan kedua buah kedai ini, merupakan kedai pakaian kegemarannya sejak dulu lagi.


Dan lebih mengujakan, ada antara kemeja-kemeja yang dibelinya di sini, yang dipakai ketika majlis rasmi ataupun sewaktu bertugas rata-ratanya sekitar RM19.00 sahaja!


Tidak cukup dengan itu, jika ada urusan rasmi di Kuala Lumpur atau ke mana sahaja di negara ini, beliau tidak pernah menaiki kapal terbang sebaliknya menggunakan jalan darat semata. Ustaz Azizan 'tahan' berjam-jam dalam kenderaan untuk ke lokasi yang jauh.


Kata juruiring dan pengawal peribadinya, beliau tidak akan singgah di sepanjang perjalanannya seperti dari Alor Setar ke Kuala Lumpur sehinggalah tiba ke destinasi yang dituju. Malah masa bertolak dan pulang tidak tentu masa, adakalanya tengah malam atau menjelang subuh.


Selain mengurangkan kos, beliau berasa selesa dan bergerak ke sini sana bertemu sesiapa sahaja menggunakan kereta. Cuma sesekali dijemput Tuanku Sultan Kedah untuk menaiki pesawat peribadi Boeing 737, beliau tidak upaya menolaknya.


HUBUNGAN DENGAN ISTANA


Bercerita pula hubungannya dengan istana, ustaz Azizan sememangnya terkenal dengan sikap hormatnya kepada Sultan dan institusi raja-raja. Kerana itulah, setiap hari Rabu, di awal pagi sebelum mesyuarat exco kerajaan negeri, beliau akan mengadap Sultan Kedah, untuk melaporkan perkembangan dan perjalanan urusan kerajaan.


Lazimnya, para pemimpin negara atau negeri akan menginap di hotel mewah khususnya di Kuala Lumpur bagi urusan-urusan rasmi. Bukan seorang perbelanjaan yang ditanggung, malah melibatkan para pegawai, setiausaha, petugas, pemandu dan pegawal peribadi


Tidak seperti Ustaz Azizan, bagi mengelakkan pembaziran, beliau menyewa sebuah rumah tiga bilik di lokasi yang dirahsiakan di ibu kota untuk didiaminya bersama para petugas. Betapa cermatnya dan bayangkan apabila perbelanjaan menginap di hotel yang boleh mencecah RM80,000 sebulan dapat dijimatkan!


Menarik cerita MB Kedah ini ketika berada di rumah sewanya itu. Saya bertanya makanan kesukaan beliau dan kata pegawainya sekiranya lapar, lewat malam Ustaz Azizan meminta pegawainya membungkus Roti Arab kuah Dal atau seperti selalunya, hanya meminta mereka memasakkan mee segera untuknya!


SERI MENTALOON


Ya, beliau tidak mahu menetap di Seri Mentaloon yang gah laksana istana itu tetapi menjadikan bangunan luas itu untuk dimanfaatkan oleh rakyat bagi apa jua program pembangunan Insan ataupun majlis-majlis rasmi, tanpa dikenakan sebarang bayaran.


Sikap Ustaz Azizan terhadap rakyat, kawan dan lawan sudah menjadi buah mulut orang. Mereka amat kenal gerak gaya dan perangai Menteri Besar mereka yang cukup mesra dan suka berseloroh. Saya sendiri pernah, menyaksikan serombongan 10 artis serta 40 krew produksi sebuah drama yang menjalankan penggambaran di Kedah diraikan oleh Azizan di Seri Mentaloon dengan jamuan makan tengah hari. Biarpun rombongan itu terlewat satu jam sedangkan MB mempunyai acara di lokasi yang lain, Ustaz Azizan masih sabar menunggu dan melayan tetamu, membuat kebanyakannya malu tersipu. Bukti, pemimpin parti Islam ini sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja.


Selain itu, Ustaz Azizan sering mempamerkan keprihatinannya terhadap masalah dan kebajikan rakyat. Buktinya, sejurus selepas mengadap Sultan Kedah, beliau dengan lengkap berpakaian baju melayu bergegas ke tempat kejadian setelah dimaklumkan terdapat 14 buah kedai hangus terbakar di Sungai Limau sewaktu cuti Tahun Baru Cina tempoh hari.


Beliau tiba, ketika api sedang naik menjulang sambil memerhatikan bomba dan sukarelawan memadamkan kebakaran malah datang sekali lagi keesokan harinya bersama Tengku Bendahara Kedah, menyampaikan sumbangan derma kilat kepada mangsa.


Begitu juga dengan kejadian ribut kuat di Kuala Ketil yang melibatkan lebih 300 penduduk mengalami kerosakan kediaman, yang mana sehari selepas kejadian, Ustaz Azizan tiba awal dengan pasukan rombongannya menyampaikan sumbangan derma.


PERANGKAP WARTAWAN


Tetapi awas, bagi sesiapa yang tidak bersedia atau cuba 'menggoreng' fakta, akan menerima padah daripadanya yang cukup arif selok belok perangkap wartawan. Ada masa bidasan jawapan cukup pedih sehingga wartawan begitu berhati-hati mengelak serkap jarang.


"Sekarang ini Kedah tak ada air, macamana Dato' Seri? tanya seorang wartawan arus perdana yang dilihat cuba-cuba memprovokasi beliau.


"Kamu ni mandi tak pagi tadi?" tanya Ustaz Azizan pantas, kemudian dijawab 'ya' oleh wartawan itu, bagi mengelak dirinya dikatakan tidak mandi atau berbau busuk.


"Kalau begitu, macamana kamu kata tak ada air. Kamu mengaji Universti mana? Kan sekarang ni musim kemarau dan seluruh negara ada masalah kekurangan air. Ini urusan Allah SWT, jadi kita mohonlah doa, supaya hujan," katanya membuat wartawan itu terdiam seribu bahasa.


RAMADAN


Ada kisah menarik perhatian saya, ketika dititipkan semula pegawai khas MB tentang satu usaha kejadian sabotaj yang dilakukan pihak lawan sekitar Ramadan tahun lalu.


Waktu itu, di masjid-masjid telah teredar ribuan risalah palsu yang menyatakan bahawa Ustaz Azizan selaku MB Kedah akan memberi sumbangan wang saku untuk Hari Raya kepada rakyat Kedah.


Esok paginya lebih 300 orang memenuhi pekarangan pejabat MB bagi menuntut apa yang dijanjikan seperti yang dicanang risalah palsu itu. Ustaz Azizan yang baru tiba ke pejabat, hairan dan terpinga dengan kehadiran orang ramai itu, lantas memanggil para pegawainya menjelaskan apa yang berlaku.


Anda tahu keputusannya? Jika dilihat perwatakannya yang bengis dan tegas itu, ramai boleh mengagak tindakan selanjutnya. Namun yang berlaku adalah sebaliknya!


Ustaz Azizan berasa simpati pula dengan orang ramai yang tertipu dengan risalah itu. Lebih menghibakan beliau, ada bersusah payah datang dari jauh, hulu kampung, semata-mata berharap dan bergantung ihsan sumbangan yang dihebahkan palsu itu.


Lantas beliau mengarahkan para pegawainya mengagihkan wang sebanyak RM50.00 seorang kepada semua yang hadir dan wang yang dikeluarkan itu datangnya daripada poketnya sendiri!


Sumber : KedahLanie / -tranungkite-


p/s :Hangpa try cari pemimpin umno yang macam ni ada tak,JKKK pun hidup mewah...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan