Zaman kita ini semua orang tahu apa itu 'video conference' atau dalam bahasa Melayunya kita panggil Sidang Video. Kebanyakan syarikat korporat yang punyai rangkaian besar di serata negeri dan negara sudah biasa menggunakan teknologi sidang video ini dalam menjalankan aktiviti perbincangan serta mesyuarat mereka.
Antara kelebihan sidang video adalah ia amat menjimatkan kos dan masa. Semua pihak tak payah membuat perjalanan yang meletihkan dan tidak perlu lagi membuang duit untuk belanja perjalanan dan juga penginapan. Masa juga tidak terbuang begitu saja yang boleh digunakan untuk aktiviti lain yang lebih produktif.
Kalau dalam perniagaan kita dah mengguna pakai sidang video dan keputusan yang dibuat dalam sidang video adalah sah, bagaimana pula jika aktiviti munakahad kita menggunakan konsep yang sama. Bolehkah kaum keluarga dari pihak lelaki yang berada di Perlis diijab kabulkan dengan pasangannya yang berada di Johor?.
Adakah sah jika si ayah kepada pengantin perempuan mengijab kabulkan pengantin lelaki dengan anaknya dengan hanya melalui sidang video. Jika ini dapat dilakukan maka tak payahlah kaum kerabat lelaki menghabiskan masa serta wang bagi menyewa bas atau berkonvoi beramai-ramai menuju ke Johor semata-mata untuk diijab kabulkan. Kedua belah pihak akan saling berhadap-hadap ke layar video dengan disaksikan oleh kaum kerabat serta orang tua masing-masing untuk disatukan.
Bagi menjawab persoalan ini, Majlis Fatwa Kebangsaan telahpun bermuzakarah untuk menentukan samada sag atau tidak sidang video digunakan untuk akad nikah dan keputusannya adalah SAH. Ia harus dilakukan dengan mengikuti syarat-syarat yang ditetapkan di bawah:
1.Hendaklah majlis ini berlangsung ditahap al-yakin bukan al-zhan.
2.Tidak ada unsur penipuan (al-gharar) dan keraguan.
3.Cukup semua rukun dan syarat-syarat sah nikah menurut hukum syarak.
4.Digalakkan wali sendiri yang mengakad-nikahkan pasangan.
5.Terdapat halangan untuk melakukan akad nikah di tempat yang ditentukan kerana berjauhan seperti berada di luar negara dan sukar bagi kedua-dua belah pihak berada dalam satu majlis yang sama disebabkan sakit, banjir dan sebagainya.
6.Tertakluk kepada semua peraturan dan undang-undang (seperti Enakmen Keluarga Islam Negeri-negeri) yang sedang berkuatkuasa.
Nampaknya Majlis Fatwa begitu prihatin dengan perkembangan teknologi bagi diguna pakai dalam amalan kehidupan berkeluarga. Syabas kita ucapkan dan ia merupakan suatu perkembangan yang amat dialu-alukan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan