Jika Turki yang tiada sesen pun hasil minyak mampu memberi pendidikan
percuma kepada rakyatnya, tiada sebab Malaysia yang mencatat untung RM90 bilion
setahun dari sumber petroleum tidak berupaya melakukan kebajikan
sama.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Recep Tayyib
Erdogan memberi pendidikan percuma kepada rakyat dari peringkat rendah hingga
universiti walaupun baru tiga tahun memerintah Turki.
“Bila kita sebut
mansuh PTPTN, isu utama yang harus difokus ialah pendidikan percuma untuk semua
rakyat terutama golongan miskin. Bukan isu nak pindahkan wang Petronas bayar
PTPTN.
“Prinsip asasnya ialah pendidikan percuma dari peringkat rendah
hingga ke universiti,” katanya pada dialog bertajuk ‘Pemberdayaan Kebajikan dan
Ekonomi Rakyat’ anjuran Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor di Subang Jaya 31 Mac
lalu.
Beliau mengakui PTPTN adalah isu paling popular yang diaju
kepadanya termasuk di facebook dan twitter.
Walaupun PTPTN dimansuh,
Anwar berkata, Pakatan Rakyat memberi jaminan tidak akan membuang kakitangan di
perbadanan itu kerana mereka akan diserap ke Kementerian Pelajaran dan
Kementerian Pengajian Tinggi.
“Walaupun pegawai ramai, kita juga tetap
pastikan khidmat atau mutu kerja mereka bertambah baik untuk rakyat,”
katanya.
Mengenai pemberian 20 peratus royalti minyak kepada Sabah,
Sarawak, Terengganu dan Kelantan seperti yang termaktub dalam Buku Jingga, Anwar
berkata ia tidak akan menjejaskan negeri lain.
Ini kerana, katanya, 80
peratus hasil minyak itu mampu menampung perbelanjaan negara dengan memastikan
royalti diurus mengikut pengurusan yang baik.
“Keutamaan royalti 20
peratus difokus kepada golongan miskin. Apabila kita menyebut kemiskinan ia
merangkumi sama ada Melayu, Dayak, Iban, Kadazan, Cina dan India.
“Pada
masa sama, kita memperketat prosedur kewangan selain pengurusannya dijalankan
individu yang bertanggungjawab, amanah dan berintegriti,” katanya.
Sumber: Keadilandaily.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan