DEBAT PTPTN - RAFIZI HEBAT, KJ BERANI, NAJIB PENAKUT

Rabu, 23 Mei 2012

Oleh: WFAUZDIN NS

DEBAT di antara Sdr Rafizi, Pengarah Strategik KEADILAN Pusat dengan Sdr KJ, Ketua Pemuda Umno yang disiarkan secara langsung di Astro Awani malam tadi amat menghiburkan dan penuh ilmiah. Tabik spring buat kedua-dua tokoh muda berkenaan kerana mendahului `tokoh tua' yang sampai sekarang sibuk mencari telornya yang hilang entah ke mana.


Sdr Rafizi bermula dengan amat baik manakala permulaan dari KJ pula lebih banyak berpandukan kepada nota yang dibawa beserta dengan angka-angka dari cara `pengiraan Umno' terhadap beberapa projek. Semua itu telah dijawab oleh Sdr Rafizi bahawa `angka kiraan cara Umno' tidak terpakai kerana projek-projek Umno tidak boleh lari dari `komisyen', itu fakta. Jika tidak percaya, cuba tanya Ketua Audit Negara. Jika sangsi, lihat sahaja kisah stadium yang runtuh di Terengganu itu.

Apa pun, KJ boleh diberi pujian kerana masih bermaruah untuk tampil berdebat. Kalah menang tidak penting, tetapi maruah itu penting. Malangnya di dalam Umno, orang seperti KJ tiada tempat kerana orang yang berani seperti KJ dikhuatiri akan `makan tuan'. Sebab itu KJ sehingga sekarang masih tiada tempat di dalam kabinet. Mungkin Najib sudah belajar dari pengalaman Mahathir Kutty apabila mamak ini membawa DS Anwar masuk kabinet beliau. Kehebatan DS Anwar ketika itu tiada siapa boleh menyangkalnya, dan DS Anwar menaiki satu demi satu tangga di dalam kerajaan adalah kerana kekuatan dirinya sendiri. Beliau menang jawatan di dalam Umno di atas kekuatan dirinya sendiri dan bukan kerana pengaruh Mahathir Kutty.

Pengalaman ini lah yang dipelajari oleh Najib. Walaupun KJ tidak sehebat DS Anwar, namun di dalam Umno ketika ini tiada lain yang lebih hebat dari beliau di atas keberaniannya. Tidak pelik jika Najib amat bimbang untuk memberi tempat kepada KJ.

Berbalik kepada debat malam tadi. KJ mempersoalkan mengapa negeri-negeri di bawah PR tidak memberikan pendidikan percuma kepada pelajar-pelajar yang menuntut di Universiti atau Kolej di bawah Kerajaan Negeri? Dijawab oleh Sdr Rafizi, tidak mustahil ianya boleh dilakukan sekiranya Kerajaan Pusat boleh berlaku adil kepada Kerajaan Negeri di dalam pengagihan peruntukan. Sebenarnya, KJ tidak boleh membabitkan isu pendidikan di bawah Kerajaan Negeri kerana isu yang diperdebatkan sekarang adalah JANJI Pakatan Rakyat sekiranya memerintah Putrajaya. Mengapa mahu dibandingkan memerintah sebuah negeri yang amat terhad kewangannya dengan memerintah Kerajaan Pusat?

Walaupun telah dijawab oleh Sdr Rafizi, KJ di akhir penggulungannya masih bermain dengan persoalan yang sama. Mungkin KJ malam tadi kehabisan idea untuk mematikan hujah Sdr Rafizi. Sebab itu, di akhir penggulungannya beliau dengan lantang membacakan beberapa janji PR di Selangor yang masih belum dilaksanakan. Nasib baik Sdr Rafizi tidak mempunyai ruang untuk membalas hujah KJ tentang hal ini kerana KJ diberi ruang sebagai pendebat terakhir menggulung hujah. Seandainya Sdr Rafizi diberi ruang, saya yakin isu yang dibawa oleh KJ ini sudah pasti akan memalukan Umno semula. Mana kan tidak, rakyat Selangor tahu perbezaan pemerintahan PR walaupun baru sepenggal jauh lebih baik dari zaman Umno berpuluh tahun dahulu yang berakhir dengan pemerintahan Khir Toyo yang kini mahu dipenjarakan akibat rasuah.

Kita akui belum 100 % janji-janji Kerajaan PR di Selangor ditunaikan, tetapi bukan bermakna ianya pasti tidak ditunaikan. Tidak mencapai 100 % adalah betul, tetapi untuk mengatakan janji-janji tersebut tidak ditunaikan langsung apatah lagi di dalam tempoh sepenggal adalah hujah yang tidak cerdik. Sebagai contoh, kita berjanji dengan isteri kita ingin membeli sebuah rumah yang mahu dijual oleh kawan kita dan kita akan penuhi rumah itu nanti dengan berbagai-bagai perabut. Sudah tentu isteri kita akan teruja dengan janji-janji kita. Maka, apabila rumah itu telah kita beli dan duduki, kita dapati rumah itu mempunyai berbagai-bagai masalah dan kerosakan. Sudah tentu kita akan memperbaiki terlebih dahulu beberapa kerosakan seperti atap yang bocor, paip yang pecah atau pendawaian elektrik yang tidak sempurna. Di dalam tempoh baru sebulan kita menduduki rumah tersebut dan masih ada beberapa kerosakan yang lebih utama untuk kita perbaiki atau ganti, adakah wajar ketika itu isteri kita memberontak dan mendakwa kita tidak tunaikan janji untuk memenuhi ruang rumah dengan perabut-perabut?

Hakikatnya kesemua negeri di bawah PR ternyata jauh lebih baik dari zaman Umno/Bn. Kelemahan sudah tentu ada kerana sebagai manusia ia tetap mempunyai kelemahan, tetapi kelemahan bukan bererti penyelewengan. Kelemahan boleh diperbaiki dari semasa ke semasa, tetapi penyelewengan hanya perlu dibenteras dan diambil tindakan. Di zaman Umno/Bn, bukan sahaja kelemahan tetapi penyelewengan juga turut berlaku. Jika tidak percaya, cuba tanya Khir Toyo./wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan