Surah Al-Asr –Mengelakkan Diri Menjadi Rugi

 
Kebanyakan kita sudah tentu pernah menghadiri pelbagai seminar, kursus, ceramah atau bengkel. Sesungguhnya suatu hal yang menarik yang dapat diperhatikan pada setiap program tersebut ialah apabila sesi itu dikendalikan sama ada oleh penganjur, pengerusi, ataupun penceramah yang muslim maka sepertinya suatu kewajipan bahawa mereka akan memulakan sesi itu dengan bacaan Ummul Kitab dan mengakhiri sesi tersebut dengan Surah Al-Asr.

Secara umumnya, ramai yang tahu mengapa harus dimulakan dengan Ummul Kitab dan sekiranya ditanya, ramai yang akan menyatakan yang Al-Fatihah itu maksudnya buka, maka molek sekiranya sesuatu yang baik itu (majlis ilmu yang dihadiri) dimulakan dengan Al-Fatihah. Maka, sekiranya dilanjutkan soalan mengapa pula harus ditamatkan dengan Surah Al-Asr? Barangkali jawapan yang biasa didengari ialah surah itu mengingatkan kita terhadap kepentingan masa. Ada juga yang menyatakan yang kita perlu menyampaikan ilmu yang telah dipelajari dalam majlis itu.

Pernahkah anda terfikir untuk bertanya kepada penceramah tersebut, mengapa harus dibacakan Surah Al Asr? Tidakkah boleh ditutupkan majlis ilmu itu tadi dengan surah lazim yang lain?

Meneliti maksud surah Al-Asr yang bermaksud : “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Al-Asr : 1 – 3).

Sekiranya diperhatikan, terjemahan surah di atas memberi penekanan terhadap beberapa perkara iaitu :

1. Allah SWT bersumpah dengan masa
2. Allah SWT menyatakan sesungguhnya manusia itu berada dalam keadaan rugi. Sebagai perbandingan, Allah SWT meletakkan keadaan negatif (rugi) kepada manusia dengan bersumpahkan masa.
3. Allah SWT memberi pengecualian rugi kepada golongan yang berikut :
i. Orang yang beriman
ii. Orang yang beramal soleh
iii. Orang yang berpesan-pesan
iv. Orang yang sabar

Dalam konteks ini, dapat kita perhatikan bahawa ciri-ciri orang yang tidak rugi yang disenaraikan di atas sebenarnya berada dalam satu tertib yang mana dengan hanya mengikuti tertib tersebut dapat mengelakkan sesorang daripada menjadi rugi. Dan yang menariknya, penekanan rugi di sini bukan hanya merujuk kepada tauhid terhadap Allah semata-mata malah mencakupi apa sahaja perlakuan manusia. Ini bermaksud, bagi mereka yang tidak beriman kepada Allah juga harus memahami proses ini berlaku bagi mengelakkan mereka termasuk dalam kategori rugi.

Tertib golongan yang terkecuali daripada kerugian:

1. Orang yang beriman

Iman atau bahasa mudahnya bermaksud percaya. Seseorang itu dikatakan beriman apabila dia mempercayai apa yang disampaikan kepadanya. Dalam konteks perilaku manusia, adalah lebih mudah bagi seseorang melakukan sesuatu yang dipercayainya, contohnya mempercayai bahawa memakan ubat yang dibekalkan oleh doktor adalah usaha dalam menyembuhkan penyakit. Dalam hal mempercayai sesuatu ini biasanya manusia lebih mudah jatuh percaya apabila melihat bukti dengan matanya sendiri. Sebagai contoh, adalah sukar mempercayai keberkesanan ubat kurus yang dijual oleh seseorang yang gemuk orangnya, kecuali orang itu menjadi kurus terlebih dahulu. Maka sekiranya anda membeli ubat itu semata-mata ingin menjaga hati si penjual yang berbadan gemuk tadi, bukankah satu kerugian kepada anda?


2. Orang yang beramal soleh

Amal atau melakukan sesuatu bermaksud anda melakukan sesuatu sama ada atas keinginan sendiri atau dorongan sesuatu. Dalam hal ini, adalah satu kerugian buat anda sekiranya anda percayakan kepada sesuatu yang mendatangkan kebaikan tetapi anda tidak melaksanakannya. Sebagai contoh, anda tahu bahawa solat adalah wajib dan sesiapa yang meninggalkannya akan berdosa. Tetapi di sebalik kepercayaan anda kepada perkara fardhu itu, anda tidak pun mengamalkannya. Begitu juga dengan pelbagai perkara lain yang anda pelajari dalam hidup seperti penggunaan tali pinggang keledar. Anda percaya bahawa penggunaannya mampu menyelamatkan nyawa. Tetapi, jika anda tidak menggunakannya walaupun anda percaya kesan penggunaannya, maka anda akan menjadi orang yang rugi terutamanya apabila kemalangan berlaku dan anda mendapat musibah kerana tidak mengenakan tali pinggang keledar.


3. Orang yang berpesan-pesan

Berpesan-pesan di sini boleh difahami dalam bentuk menyampaikan perkara yang dipercayai dan diamalkan seperti di atas. Ini bermaksud proses komunikasi dan penyebaran maklumat terhadap kebaikan ini perlu dilakukan. Sekiranya tidak, kita akan menjadi orang yang rugi. Memetik contoh terdahulu, pemakaian tali pinggang keledar. Sebagai orang yang mempercayai dan menggunakan tali pinggang keledar, adalah penting untuk anda sentiasa mengingatkan atau berpesan kepada mereka yang menaiki kereta anda untuk turut sama menggunakan tali pinggang. Adalah rugi sekiranya hanya anda yang menggunakannya kerana andainya kemalangan berlaku, hanya anda seorang yang terselamat. Begitu juga dengan aspek ibadah, seandainya anda rajin ke masjid tetapi tidak mengajak orang lain turut sama ke masjid, maka anda akan menjadi orang yang rugi kerana anda juga boleh mendapat pahala kerana menggalakkan orang ke masjid dan menyeru orang lain berbuat kebaikan.


4. Orang yang sabar

Dalam tertib ini, sabar berada di bahagian terakhir proses kerana hanya selepas anda beriman, beramal dan menyebarkan sesuatu, barulah anda bersabar. Mengapa keadaan ini berlaku? Hal ini demikian kerana manusia tidak mudah menerima perubahan. Perubahan menuntut pengorbanan masa, wang dan usaha yang kuat. Atas dasar ini, kita diminta bersabar atas usaha yang dilaksanakan untuk melihat hasilnya. Bayangkan senario ini; anda percaya bahawa solat berjemaah itu bagus, anda mengamalkannya dengan ke masjid dan anda menyebarkan dengan mengajak anak-anak anda ke masjid. Anda telah pun melengkapkan ketiga-tiga tertib di atas. Namun anak anda menolak dan tidak mahu mengikut anda ke masjid. Anda menjadi berang dan marah. Ini boleh mengakibatkan anak-anak menjadi takut, kecewa dan sebagainya yang mengakibatkan mereka semakin menjauhi anda dan menyukarkan anda mendidik mereka. Bukankah ini satu kerugian? Sebaliknya apabila anak-anak menolak, anda menasihati dengan lembut, menunjukkan teladan yang baik maka ini lebih dekat dengan hati mereka dan mampu mempengaruhi mereka.

Benar, ia mungkin tidak semudah yang disangka namun disinilah cantiknya Islam yang menekankan konsep doa dan tawakkal setelah berusaha bersungguh-sungguh dalam usaha kita mengajak manusia ke arah kebaikan. Siapa tahu Allah SWT menggerakkan hati mereka setelah melihat ketulusan dan keikhlasan hati anda.

Sesungguhnya merupakan satu kerugian bagi seseorang yang melakukan sesuatu perkara sehingga selesai tanpa dia percaya bahawa apa yang dikerjakan itu memberi manfaat kepadanya. Adalah sia-sia kepada mereka yang percaya tentang kepentingan sesuatu tetapi tidak melaksanakannya. Juga rugi bagi seseorang andainya satu perkara yang baik, diyakininya, diamalkan tetapi tidak disampaikan kepada orang lain. Begitu juga buat mereka yang percaya, mengamalkannya, menyampaikan kepada orang lain namun tidak pula bersabar dengan keputusan atau maklum balas daripada orang tersebut.

Berbalik kepada pembacaan surah Al-Asr pada penghujung majlis ilmu, ia memberi isyarat kepada anda bahawa adalah penting kepada anda untuk mempercayai apa yang disampaikan, bertekad untuk mengamalkannya serta menyampaikan ilmu itu kepada sesiapa yang tidak berada di majlis yang sama. Kemudian anda perlu bersabar dengan respon yang bakal diterima kerana tidak semua orang suka menerima apa yang disampaikan oleh anda.

Begitulah proses peningkatan kebolehan manusia boleh berlaku. Setiap perkara yang dikerjakan harus mengikuti tertib di atas bagi membolehkan mereka menguasai sesuatu kemahiran dan ilmu. Ini bermaksud, apabila selesainya majlis ilmu tersebut, anda mula memikul satu tanggungjawab. Bukan lagi pulang dengan tidak perlu memikirkan apa-apa.

Setiap individu mempunyai kapasiti untuk berubah dan melakukan peningkatan. Walaubagaimanapun segala perubahan adalah dalam bentuk proses dan sememangnya sesuatu proses menuntut pengorbanan masa. Oleh itu Allah SWT telah bersumpah dengan masa kerana masa terlalu penting buat semua makhluk. Hanya mereka yang bijak mengurus dan mentadbir masa serta memahami proses peningkatan dari satu tahap ke tahap yang lain akan berjaya.

sumber dari www.islam.gov.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan