Muhyiddin tidak sabar nak jadi PM


 


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin nampak sudah tidak sabar lagi hendak menjadi Perdana Menteri apabila apabila menyuarakan keinginan supaya pilihan raya umum diadakan tahun ini juga.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, jika Barisan Nasional (BN) tidak dapat majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum akan datang, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa berundur dan Muhyiddin dengan sendirinya akan mengambilalih tempat Najib sebagai Perdana Menteri.

"Hampir semua pihak menjangkakan BN tidak akan dapat majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum akan datang.

"Jika keadaan itu berlaku, Najib yang kini dianggap liabiliti Umno mesti berundur kerana Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) sebelum ini dipaksa berundur bila BN tidak dapat majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum 2008 lalu.

"Bila Najib dipaksa berundur kelak apabila BN tidak dapat majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum akan datang, Muhyiddinlah yang akan nak jadi Perdana Menteri," katanya.

Najib pula, yang nampak hayat kuasanya sudah hampir benar ke penghujung, beria-ia mahu menggunakan sepenuhnya mandat lima tahun selepas memenangi pilihan raya tahun 2008, kata Mahfuz.

"Najib sudah tahu, amat sukar BN akan dapat majoriti dua pertiga dan sebab itulah beliau mahu meggunakan sepenuhnya tempoh kuasanya sebagai Perdana Menteri selagi boleh untuk mengambil manfaat dari kedudukannya itu.

"Mungkin Najib rasa dia patut ambil kesempatan sepenuhnya sebelum dipaksa berhenti selepas tidak dapat majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.



Halau Pak Lah



Mahfuz juga menjangkakan Muhyiddin akan melakukan apa yang telah beliau lakukan terhadap Abdullah dahulu sehingga memaksa Perdana Menteri kelima itu berhenti sebelum tahun 2010 seperti yang dimintanya.

"Orang melihat Muhyiddin sebagai watak utama yang memaksa Pak Lah berundur sebelum 2010 seperti yang dia minta sungguh-sungguh kepada rakan-rakannya dalam Umno dan BN.

"Kalau Muhyiddin boleh halau Pak Lah dari kedudukannya sebagai Perdana Menteri, tidak ada yang boleh menghalang beliau melakukan perkara yang sama kepada Najib dan Najib tentu tahu perkara itu," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz melihat, kebimbangan akan dihalau dari jawatannya itulah yang menyebabkan Najib kelihatan takut sungguh untuk menghadapi pilihan raya.

"Najib nampak benar begitu takut untuk membubarkan dewan dan mengadakan pilihan raya," katanya.

Muhyiddin dilaporkan berharap Najib akan memanggil pilihan raya umum ke-13 tahun ini juga walaupun ada banyak perayaan mulai bulan depan hingga awal 2013.

"Kalau boleh, biarlah pilihan raya umum diadakan tahun ini juga. Tak kisahlah bulan berapa sekalipun," ujar beliau.

Najib pula menyatakan kerajaannya berhasrat untuk menggunakan sepenuhnya mandat lima tahun selepas memenangi pilihan raya 2008 lalu.

"Bila kita dipilih rakyat, kita dipilih untuk tempoh lima tahun.

"Jadi dalam masa lima tahun itu amat penting bagi kita untuk memperlihatkan kemampuan kita untuk mentadbir negara kita dan membawa kemajuan kepada negara kita dan membela untung nasib rakyat," katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

"Kalau kita buat pilihan raya terlalu awal bererti kita memendekkan tempoh yang rakyat berikan kepada kita," katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan