Apakah Agenda Madey Yang Masih Belum Tercapai???

 




Apakah hajat TDM yang belum kesampaian itu?

Oleh: Aspan Alias

Dr Mahathir meminta supaya rakyat jangan percaya kepada janji-janji pembangkang khususnya terhadap Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang. Pandangan itu adalah pandangan beliau dan beliau berhak untuk memberikan pandangan terhadap sesiapa seperti juga saya mempunyai pandangan yang sama terhadap beliau (Dr Mahathir). Ini negara demokrasi dan sesiapa pun boleh dipercayai atau sebaliknya oleh sesiapa juga.
Dr Mahathir sememangnya tidak mahu langsung sesiapa untuk mempercayai Anwar, seteru politik terbesar beliau. Mahathir mahukan semua orang bersama-sama memusuhi musuh beliau. Tidak mungkin Dr Mahathir mempunyai pandangan yang baik terhadap Anwar. Kalau Dr Mahathir bercakap perkara baik tentang Anwar itu merupakan tanda-tanda yang jelas yang dunia ini akan kiamat tidak lama lagi.
Tetapi banyak pihak lain yang tidak percaya terhadap Dr Mahathir. Mereka tidak percaya terhadap Dr Mahathir pun bukannya tidak bersebab. Malahan salah satu daripada sebab kenapa UMNO secara deras ditinggalkan oleh orang Melayu adalah kerana Dr Mahathir. Orang Melayu tidak meninggalkan UMNO tanpa sebab. Tidak munasabah UMNO yang begitu lama berkuasa dengan tiba-tiba ditinggalkan rakyat begitu sahaja. ‘There must be a cause for a cause’.. kata seorang sahabat saya.
Hanya ramai pemimpin UMNO tidak mahu tahu kenapa mereka ditinggalkan oleh orang ramai termasuk ahli-ahlinya sendiri. Mereka (UMNO) masih percaya yang mereka itu masih dikagumi rakyat dan tidak hairan mereka seperti orang tuli tidak mendengar rintihan rakyat ramai. Sebaliknya mereka (UMNO) menyalahkan orang lain pula kerana parti itu sekarang mempunyai sokongan yang rapuh dari rakyat.
Keyakinan terhadap Pakatan Rakyat, itu merupakan manifestasi rakyat untuk melihat perubahan dan tidak ada sesiapa yang boleh mempengaruhi sesiapa untuk tidak menyakini pimpinan di sebelah Pakatan Rakyat itu. Pakatan Rakyat belum mendapat mandat lagi untuk mentadbir Putrajaya tetapi jika mereka (PR) mendapat mandat rakyat barulah kita tahu samada janji-janji yang termaktub di dalam manifesto mereka (PR) akan terlaksana atau tidak.
Tetapi ada bukti-bukti awal yang kita lihat yang PR mempunyai kredibiliti yang tinggi sebagai pemegang amanah jika kita jadikan kerajaan-kerajaan yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat sebagai ukurannya. Maka untuk mencari dan membina keyakinan terhadap Pakatan Rakyat jika mendapat kuasa untuk mentadbir Putrajaya tidaklah sesusah dahulu.
Oleh itu tidak ada hak sesiapa untuk menyeru supaya tidak mempercayai Pakatan Rakyat selagi belum diberikan kuasa mentadbir Putrajaya itu. Belum ada bukti lagi yang PR tidak mampu untuk menunaikan janji-janjinya kerana belum diberikan peluang untuk mentadbir Putrajaya.
Di sebaliknya BNlah yang telah menunjukkan bukti yang janji-janji mereka masih banyak belum tertunai sehingga hari ini walaupun telah memerintah negara sejak merdeka. BN telah gagal sama sekali untuk membina sebuah negara yang mana rakyatnya bersatu padu malahan UMNO menggunakan tektik memecah-belahkan rakyat dengan memainkan sentimen agama dan bangsa sebagai senjata untuk terus berkuasa. UMNO hanya boleh berkuasa jika rakyat berpecah-belah.
UMNO khususnya masih belum berjaya untuk meningkatkan penyertaan orang Melayu dalam bidang industri sekurang-kurangnya 30% dari kekayaan negara seperti yang terkandung di dalam DEB dan dasar ini pun sudah tamat sejak 22 tahun yang lalu. Keistimewaan untuk bumiputra dikuasai oleh segelintiran kroni-kroni pimpinan UMNO dan orang Melayu biasa tidak mendapat faedah dari DEB itu.
Apa yang sepatutnya dirasai oleh Bumiputra yang ramai itu semuanya dibolot oleh segelintiran yang rapat dengan mereka yang berkuasa. Rakyat telah lama bersabar dan telah pun memberikan banyak peluang untuk UMNO memperbaiki keadaan di atas nama kesinambungan kuasa dan berbagai-bagai lagi alasan. Tetapi UMNO mengambil kesabaran rakyat itu sebagai kelemahan dan boleh diperkotak-katikkan mengikut kehendak nafsu dan syahwat mereka sahaja.
‘Maintenance’ untuk mengekalkan UMNO dan kepimpinannya amat tinggi. Apabila parti itu kehilangan banyak sokongan maka pimpinannya terpaksa melakukan tindakan-tindakan yang sangat mahal harganya dan semua kos penyelenggaraan UMNO itu ditanggung oleh rakyat jelata. Program ‘walkabout’ Najib di seluruh negara melibatkan perbelanjaan beratus juta ringgit dan semua perbelanjaan itu adalah tanggungan rakyat belaka.
Tidak usah kita ulangi apakah dia yang saya katakan sebagai kos penyelenggaraan yang tinggi itu kerana isu itu disebut dan ditulis acap kali oleh banyak pihak. Tetapi UMNO banyak isu lain yang kita tidak memberikan tumpuan dan isu-isu itu memang selayaknya menjadi sebab untuk rakyat menolak parti itu dalam pilihanraya yang akan datang ini.
Kita tidak boleh terpengaruh dengan ajakan Dr Mahathir untuk tidak menyokong Pakatan Rakyat itu kerana Mahathir berkata-kata seperti itu hanyalah untuk menyelamatkan diri beliau sendiri. Mahathir mahukan kita bermusuh dengan semua musuh beliau. Apa yang ditakuti oleh Dr Mahathir jika Pakatan memerintah, ialah beliau (Mahathir) tidak boleh hidup dalam sebuah negara dan kerajaan yang bersistem. Beliau telah memerintah selama 22 tahun dengan sistem beliau sendiri dan tidak memberikan kepada sistem-sistem yang lazim kita lihat dalam mana-mana negara demokrasi tulen.
Jika kita pulihkan sistem yang betul dan lazim bagi sebuah negara demokrasi, maka Dr Mahathir akan dipintas oleh sistem itu dan sistem itu tidak akan membolehkan Dr Mahathir hidup dengan senang hati. Jika benar Dr Mahathir sebagai seorang yang telus dalam pentadbirannya beliau tidak perlu takut dengan sistem pentadbiran yang baik.
Dalam keadaan sekarang, Dr Mahathir tidak boleh berdiam diri dan beliau sudah tidak mampu untuk bertahan sebagai seorang negarawan seperti yang diperbesarkan oleh penyokong-penyokong tegar beliau. Beliau terpaksa terus berpolitik dan kita tidak nampak bagaimana beliau boleh berhenti berpolitik. Beliau tidak ada lagi masa untuk hidup sebagai seorang negarawan. Malahan inilah yang Dr Mahathir tidak akan mampu mencapainya tahap sebagai seorang negarawan sepanjang hayat beliau.
Setakat ini beliau (Mahathir) masih lagi seperti seorang pegawai penerangan untuk UMNO yang sudah luntur sokongan hari demi hari ini. Kita tidak pernah terlintas dalam pemikiran kita yang pada suatu hari kita akan terjumpa seorang pemimpin yang memerintah negara begitu lama akhirnya tidak dapat berhenti daripada bermain politik peribadi sepanjang hayatnya seperti Dr Mahathir ini.
Walaupun beliau sudah bersara dari jawatan PM beliau masih lagi berpolitik, seolah-olah ada agenda dan hajat beliau yang masih belum tercapai. Hanya beliau sahaja yang tahu, walaupun orang ramai boleh mengagak sebab-sebab beliau jadi begitu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan