Rakyat Libya Bantu Pejuang Syria Bertempur Askar Rejim Bashar



DAMSYIK - Sejumlah pejuang veteran dalam perang saudara di Libya pada tahun lalu kini tampil di barisan hadapan untuk membantu melatih dan menyusun pemberontak dalam situasi yang lebih meruncing berbanding ketika perang menentang Muammar Gaddafi, kata seorang pejuang berdarah Libya-Ireland kepada agensi berita Reuters.
Gaddafi mati dibelasah para pemberontak Libya pada 20 Oktober tahun lalu selepas berbulan-bulan menghadapi tentangan daripada penduduknya. Pejuang veteran Libya yang bertempur bersama kumpulan pemberontak di Syria itu, Hussam Najjar berasal dari Dublin dan memiliki bapa berdarah Libya manakala ibunya berbangsa Ireland.
Dia yang menggelarkan dirinya Sam, merupakan seorang penembak tepat terlatih.
Sam dahulunya merupakan anggota unit pemberontak yang menggempur kompleks Gaddafi di Tripoli setahun lalu. Unit tersebut diketuai oleh ketua militia dari pergunungan barat Libya, Mahdi Al-Harati.
Mahdi kini mengetuai sebuah unit pemberontak di Syria yang kebanyakannya disertai oleh warga tempatan selain beberapa pejuang asing termasuk 20 anggota kanan yang pernah menganggotai unit pemberontak di Libya pada tahun lalu.
Menurut Hussam, dia diminta oleh Mahdi untuk menyertai unit tersebut dari Dublin beberapa bulan lalu.
Pasukan pejuang Libya itu membantu pemberontak Syria itu termasuk beberapa pakar komunikasi, logistik, isu kemanusiaan dan senjata berat.
Menurut Hussam, mereka mengendalikan kem latihan dan mengajar kecergasan serta taktik di medan perang.
Sementara itu, satu klip video di YouTube menunjukkan seorang juruterbang tentera Syria ditahan beberapa anggota pemberontak.
Juruterbang itu menaiki sebuah jet tentera Syria yang jatuh ditembak di Deir el-Zour, Syria.
Konflik di Syria bermula pada Mac tahun lalu apabila para pemberontak menentang tentera Presiden Bashar Al-Assad.
Lebih 20,000 orang dianggarkan terbunuh dalam pertempuran antara kumpulan pemberontak dengan tentera Bashar.
Para pemberontak menuntut Bashar meletakkan jawatan ekoran gagal membawa pembaharuan demokrasi dalam pentadbirannya. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan