Polis mesti siasat kes serang masjid, juga tayang punggung rumah Ambiga

 

(Oleh Aliff Fikri)

KUALA LUMPUR 5 September: Pakatan Rakyat (Pakatan) menggesa pasukan polis agar lebih konsisten dan tidak berat sebelah menjalankan siasatan terhadap kes yang membabitkan pimpinan politik, kata Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar.
“Saya menggesa PDRM agar lebih komited dan tidak memilih ‘bulu’ dalam melakukan siasatan. Banyak kejadian jenayah yang berlaku tidak disiasat, contohnya serangan Perkasa terhadap Datuk Seri Anwar (Ibrahim) dan juga protes di depan rumah Pengerusi Bersih, Datuk S Ambiga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS, semalam.
Hadir sama, Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua; Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali; Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke dan Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok.
Gesaan itu berikutan tindakan pantas polis menahan seorang pelajar kolej semalam berhubung tindakannya menunjukkan punggung pada gambar pimpinan negara semasa sambutan ambang merdeka di Dataran Merdeka pada malam Jumaat lalu.
Sebaliknya, tiada sebarang tindakan dikenakan apabila sekumpulan Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) membuat senaman punggung di hadapan rumah Ambiga di Bukit Damansara Mei 15 Mei lepas.
Hujung minggu lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membentuk tiga pasukan khas untuk menyiasat tindakan ke atas individu yang membawa bendera Sang Saka Malaya, memijak gambar pemimpin dan menunjuk punggung di khalayak ramai berdasarkan Akta Hasutan, Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen 290, 504 dan 509 Kanun Keseksaan. - Keadilan Daily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan