Keajaiban Al-Qur'an Dari Sudut Sejarah Perkataan Haman Di Dalam Al-Qur'an

 

 



Nama Haman disebutkan sebanyak enam kali di dalam Al-Quran al-Kareem. Namanya juga dikaitkan dengan Firaun sebagai seorang yang berjawatan penting. Dia telah diarahkan oleh Firaun untuk membina sebuah bangunan yang tinggi bagi membolehkan beliau berjumpa dengan ‘Tuhan Musa’ kononnya.


Firman Allah SWT yang bermaksud:

وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَا هَامَانُ ابْنِ لِي صَرْحًا لَعَلِّي أَبْلُغُ الأسْبَابَ (٣٦)أَسْبَابَ السَّمَاوَاتِ فَأَطَّلِعَ إِلَى إِلَهِ مُوسَى وَإِنِّي لأظُنُّهُ كَاذِبًا وَكَذَلِكَ زُيِّنَ لِفِرْعَوْنَ سُوءُ عَمَلِهِ وَصُدَّ عَنِ السَّبِيلِ وَمَا كَيْدُ فِرْعَوْنَ إِلا فِي تَبَابٍ (٣٧)

("Dan berkatalah Firaun: "Hai Haman, buatkanlah bagiku sebuah bangunan yang tinggi supaya aku sampai ke pintu-pintu, (yaitu) pintu-pintu langit, supaya aku dapat melihat Tuhan Musa dan sesungguhnya aku memandangnya seorang pendusta". Demikianlah dijadikan Firaun memandang baik perbuatan yang buruk itu, dan dia dihalangi dari jalan (yang benar); dan tipu daya Firaun itu tidak lain hanyalah membawa kerugian") (al-Ghafir: 36-37)

Nama Haman tidak dinyatakan di dalam Taurat atau di mana-mana lembaran kitab suci agama lain apabila menceritakan tentang Nabi Allah Musa as kecuali hanya sebuah kitab yang menyatakannya iaitu Kitab ‘Old Testament’. Walau bagaimanapun, di dalam kitab tersebut dinyatakan bahawa Haman adalah merupakan seorang pembantu Raja Babilion, sedangkan kerajaan Babilion mula bertapak di Iraq hanya 1100 tahun selepas zaman Nabi Musa as.

Bagi mereka-mereka yang menganggap bahawa Al-Quran merupakan kitab yang direka dan dikarang sendiri oleh Nabi Muhammad SAW, dan kisah-kisah umat terdahulu telah disalin daripada kitab Taurat dan Injil. Pada sangkaan mereka, Muhammad SAW telah tersilap tentang Haman kerana mengatakan bahawa dia adalah seorang menteri kepada Firaun sedangkan yang sebenarnya dia adalah seorang penolong Raja Babilion.

Akhirnya ilmu arkeologi telah membuktikan bahawa Al-Quranlah yang lebih benar sekaligus menyangkal dakwaan mereka. Setelah para ahli arkeologi tersebut dapat membaca tulisan hieroglyph (tulisan Mesir purba), maka di situ tercatatlah nama Haman serta pekerjaannya. Tulisan tersebut yang berada di Muzium Hof, Vienna menyebutkan bahawa Haman adalah seorang ‘ketua kerja-kerja binaan batu’ dan seorang lelaki daripada ‘Kerajaan Baru’ (The name is listed as masculine, from the New Kingdom. The profession translated into German reads Vorsteher der Steinbruch Arbeiter: The Chief / Overseer of the workers in the stone quarries).

Maklumat ini tidak mungkin dapat diketahui pada zaman Rasulullah SAW, kerana tulisan hieroglyph telah lupus ditelan zaman dan kembali digunakan kali terakhir pada tahun 394Masihi. Kemudian ianya dilupakan sehingga tiada seorang pun yang mampu membaca dan memahaminya sehinggalah pada tiga ratus tahun kebelakangan ini. Ini berlaku setelah penemuan batu rosetta (Rosetta Stone) pada tahun 1799M. Batu yang berusia ribuan tahun semenjak dari tahun 196 Sebelum Masihi telah menyingkap banyak sejarah Kerajaan Mesir Purba dari segi agama, ekonomi, masyarakat, dan lain-lain. Maka dari situlah juga terungkap siapakah sebenarnya Haman serta pekerjaannya. Tepat sepertimana yang telah dinyatakan di dalam kitab suci kita Al-Quran al-Kareem.

Dari manakah datangnya segala pengetahuan ini kepada Nabi Muhammad? Sedangkan tulisan tersebut telah hilang ditelan zaman dan dilupakan. Nama Haman juga telah dilupakan oleh para ahli kitab dan hilang daripada catatan sejarah. Ianya disebutkan kembali setelah Al-Quran diturunkan 12 kurun sebelum para ahli arkeologi menjumpai Batu Rosetta dan mampu memahami dan membaca tulisan hieroglyph.

Setelah mampu membaca tulisan tersebut, maka tebuktilah bahawa Haman merupakan salah seorang menteri Firaun yang bertugas dalam kerja-kerja pembinaan. Justeru menafikan bahawa Al-Quran direka dan dikarang oleh Nabi Muhammad SAW sendiri. Malah sumbernya tidak lain tidak bukan adalah daripada Allah SWT, Tuhan yang maha Mengetahui segala sesuatu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan