MURSI, GAZA DAN AMERIKA SYARIKAT

Ketamadunan Mesir, lebih dari puluhan dekad lalu telah lama hancur sejak Muhammad Ali Pasha menjadi gabenornya di sana, iaitu ketika detik penguasaan Empayar Uthmaniyyah hampir jatuh. Semua sendi kehidupan masyarakat Arab Mesir ketika itu menuju keruntuhan apabila "kiblat politik" mereka beralih ke negara-negara Eropah untuk di"sekular"kan. Rifaat Ath-Thahthawi, Luthfi Al-Munfaluthi adalah antara tokoh-tokoh liberalisme yang terhasil dari projek pem"barat"an tersebut.

Jika bukan kerana rahmat Allah yang mengekalkan mercu keilmuan Al-Azhar As-Syarif, nescaya masyarakat Mesir hilang pedoman mencari solusi keterperukan mereka. Mercu tersebut membezakan kebangkitan "Arab Spring" dengan negara-negara Arab yang lain yang ditohori dengan semangat dan iman, bukannya dengan perasaan dan nafsu.

Apabila Muhammad Mursi (Presiden pasca-revolusi) ditaqdirkan mentadbir negara setelah begitu lama ralit ditindas "telunjuk Barat", yakni ketika era rejim Mubarak, maka tugas berat menanti Mursi untuk membangunkan semula negara Mesir dari sudut ekonomi, kemajuan sosial dan pendidikannya. Ia adalah hal yang sewajarnya disedari, negara Mesir tempang di tengah-tengah hiruk-pikuk dunia Arab selama 30 tahun lamanya sejak rejim Mubarak memerintah.

Sekalipun Mubarak tewas ditangan rakyatnya, kekuatan rejim masih lagi berbisa di tampuk lembaga pemerintahan negara, dan akan terus meributkan kestabilan pemerintahan Mursi jika ia tidak ditangani. Dalam keadaan negara yang masih menongkat bangunnya, sangat sukar membereskan Mesir dari cengkaman "fulul" (mantan rejim Mubarak) yang rakus mengintai peluang menamatkan pengaruh Mursi di dunia politik asia barat.

Pada 22 November 2012, Presiden Mursi telah mengumumkan sebuah keputusan yang mengejutkan rakyatnya dengan pengisytiharan konstitusi (sistem) yang memberikan kekebalan kepada seluruh keputusan-keputusan politiknya. Akibatnya beliau mendapat penentangan keras oleh musuh-musuhnya yang terdiri dari pelbagai aliran sekular yang mendakwa Mursi memonopoli proses menggubal draf piagam undang-undang negara. Sedangkan pengumuman Mursi itu bersifat sementara sahaja dan terhad kepada ‘isu-isu berhubung kedaulatan negara’.
Namun, para pendemonstran terus merusuh yang sebenarnya di balik gerakan tersebut terdapat kepentingan pihak-pihak sekuler, liberal, nasionalis dan "fulul", termasuklah juga campur tangan agenda Amerika dan Israel untuk menggoncang stabiliti politik Mesir. Hal ini disahkan dengan satu maklumat yang disampaikan oleh Badan Perisikan Mesir bahawa terdapat satu perjumpaan sulit antara Hamdin Sobahi, Tihani Gabali (Hakim Mahkamah Tinggi Perlembagaan), Ahmed Az-Zindi (Presiden Kelab Hakim Mesir) dan Ahmed Shafiq (seteru politik Mursi yang tewas di dalam calon presiden pilihan).

Pertemuan rahsia ini berlangsung di rumah Murtadha Mansour, seorang peguam dan orang kanan Mubarak yang merancang supaya hakim-hakim tersebut membuat tiga keputusan berikut :
  1. Membubarkan Dewan Senat (Syura).
  2. Membubarkan Panel Penggubal Perlembagaan negara.
  3. Membatalkan Undang-Undang yang diumumkan oleh Mursi, sekali gus beliau akan dipecat daripada jawatan presidennya atas hujah beliau tidak menghormati perlembagaan yang beliau angkat sumpah pada awal pelantikan dalam lafaz angkat sumpah.
Apabila laporan perisikan ini sampai ke pengetahuan Mursi, atas kebijakannya beliau memintas terlebih dahulu tindakan jahat dalang konflik tersebut dengan keputusan seperti di bawah ini :
  • Memutuskan semua kes mahkamah berkaitan pembunuhan penunjuk perasaan dibicarakan semula. Ini kerana sehingga ke hari ini semua kes yang dibicarakan menyaksikan tertuduh dibebaskan oleh mahkamah ekoran pendakwaan yang dikemukakan terlalu lemah dari sudut bukti.
Di sini ada sisi positif dalam konstitusi yang diumumkan oleh Mursi ini yang tidak boleh diabaikan, kerana tindakan Mursi sebenarnya bersesuaian dengan tuntutan rakyat untuk mengadili para kroni rejim sebelumnya yang telah dibebaskan oleh pengadilan dengan alasan tiada bukti-bukti pembabitan mereka. Khususnya kepada para pegawai tertinggi kerajaan yang memberikan perintah menembak rakyat yang berhimpun di Tahrir Square (Dataran Tahrin) di saat pemerintahan rejim Mubarak digulingkan. Kira-kira 850 penunjuk perasaan terbunuh semasa pemberontakan, manakala beratus-ratus lagi meninggal dunia sejak peristiwa itu.
  • Bahawa semua keputusan dan undang-undang yang dikeluarkan oleh Presiden adalah muktamad dan automatik terlaksana serta tidak boleh dibantah. Hal ini merangkumi kes pembubaran Dewan Rakyat, Dewan Senat dan Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan.
Keputusan yang kedua (2) inilah yang mencetuskan kebangkitan golongan sekular mengadakan demonstrasi di Dataran Tahrir, lantas mendakwa Mursi bertindak seperti diktator. Draf inilah yang mendorong El-Barada'ie, bekas ketua pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menuduh Presiden Mursi sebagai "Firaun Moden" dalam reaksi pertamanya ketika konstitusi Mursi diumumkan.

Langkah-langkah yang diambil oleh Mursi sebenarnya adalah bersifat sementara, bukan bertujuan untuk menumpukan kuasa, tetapi untuk menyerahkannya kepada parlimen yang dipilih secara demokratik, memelihara kesaksamaan badan kehakiman serta mengelakkannya daripada di"politik"kan.
  • Bahawa bagi Presiden Republik apabila terdapat anasir yang mengancam ketohoran Revolusi 25 Januari atau kehidupan rakyat atau kesatuan negara atau keselamatan tanah air atau merosakkan institusi negara dari meneruskan tanggungjawabnya, maka Presiden perlu mengambil langkah-langkah yang sepatutnya bagi berhadapan ancaman ini berdasarkan lunas undang-undang.

  • Melanjutkan tempoh bagi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan dari 6 bulan kepada 8 bulan (dilanjutkan selama 2 bulan) dan tidak boleh mana-mana pihak membubarkan Dewan Senat atau Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan. Ini bagi mengelakkan Mahkamah Tinggi Perlembagaan membubarkan dua institusi milik rakyat ini seperti yang dilakukan kepada Dewan Rakyat yang telah dibubarkan.
  • Presiden berhak melantik Peguam Negara daripada kalangan anggota badan kehakiman selama 4 tahun, yang dikira bermula dari tarikh perkhidmatannya dan meletakkan syarat umurnya tidak kurang 40 tahun dan ia berkuat kuasa kepada Peguam Negara yang baharu.

  • Mursi melantik Tala'at Ibrahim Muhammad Abdullah sebagai Peguam Negara yang baharu menggantikan Abdul Majid Mahmoud selama 4 tahun.
Khabar yang terbaharu, Tala'at Ibrahim berkata, "Pengadilan mahkamah terhadap mangsa revolusi akan ditubuhkan yang mana Mubarak, anak-anaknya dan ketua-ketua keselamatan akan dibicarakan semula jika terdapat bukti baru."
Sebelum ini Mubarak dan bekas Menteri Dalam Negaranya telah dihukum penjara seumur hidup atas pembunuhan penunjuk perasaan dalam kebangkitan "Arab Spring" tahun lepas, tetapi enam ketua keselamatan telah dibebaskan dalam kes yang sama, dan hal ini mencetuskan kemarahan di seluruh negara.
Bagaimanapun kehebatan Unit Perisikan Mesir ini yang memecahkan maklumat sulit untuk menjatuhkan Presiden Mursi ini wajar diberikan pujian kerana berhasil mengagalkan perancangan jahat dalang perancangan menjatuhkan Mursi. Dan ini bermakna, suatu konspirasi halus lagi licik telah berjalan untuk menjatuhkan Mursi supaya pihak-pihak yang berkiblat kepada Israel dan Barat terutamanya Amerika Syarikat dapat merampas kembali kuasa dengan bantuan institusi kehakiman dan tentera Mesir.

Jika Mursi jatuh ini bermakna Israel akan lebih mudah bergerak kerana Mesir adalah penghalang kepada segala tindakan Israel ke atas Gaza sekarang. Apabila Mursi melonggarkan pembukaan pintu sempadan Rafah sebenarnya ia mengemukakan masalah kepada usaha Tel Aviv menguasai Palestin. Kita tidak pasti sejauh manakah pihak tentera mengambil kesempatan daripada demonstrasi ini bagi mengeruhkan keadaan dan memporak-perandakan situasi supaya pihak tentera boleh mengisytiharkan darurat dan menguasai Mesir semula.

Persoalan kini yang timbul, adakah rakyat Mesir faham perancangan kudeta terhadap Mursi ini dianggotai bukan sahaja seteru di dalam negara tetapi juga seteru di luar negara mereka?

Mesir, dalam kondisi yang rencam ini memerlukan segala kebijaksanaan dan orang-orang yang bijaksana untuk menghindari pelbagai konspirasi yang dipintal untuk mengembalikannya ke ribaan Amerika dan sekutunya Israel. Inilah yang diinginkan oleh Amerika dan Israel untuk menguburkan kejayaan revolusi Mesir. Kerana negara-negara Barat 'tidak redha' membiarkan Mursi atau gerakan induknya, Ikhwanul Muslimin berkuasa di Mesir meskipun pemilihan presiden pasca-revolusi rakyat dilakukan dengan cara paling 'demokratik'.

Hal ini mengingatkan lagi kepada kemenangan Hamas di dalam pilihanraya pada tahun 2006, namun Amerika Syarikat dan sekutunya tidak mengakui dan memilih bonekanya, Mahmoud Abbas.

Hal ini juga mengingatkan apa yang pernah berlaku kepada FIS di Algeria pada tahun 1991, di mana Amerika Syarikat turut menjadi dalang untuk menggagalkan kemenangan parti Islam itu.

Dalam soal Gaza misalnya, Mursi secara terbuka menyatakan dukungan kepada rakyat Gaza dan gerakan Hamas. Ketika Israel membungkam Gaza dengan bedilan bom pada minggu lalu, Mursi mengecam Israel sebagai negara yang biadab dan menyatakan, "Cairo will not leave Gaza on its own. Egypt today is not the Egypt of yesterday, and Arabs today are not the Arabs of yesterday."

Israel semakin sakit jiwa apabila Mursi berjanji akan membuka perbatasan Gaza 24 jam. Mursi memang menjadi harapan besar rakyat Mesir agar dapat berperanan besar dalam perjuangan membebaskan Gaza. Ketika beliau baharu menjawat jawatan presiden, para pendukungnya menyatakan, "Tomorrow Mursy will liberate Gaza. Yes, we will either pray in Jerusalem or we will be martyred there."

Malah dalam kempen-kempen pidoto Mursi juga sebelum ini beliau sering berjanji untuk membebaskan Gaza. Tentunya keinginan dan cita-cita Ikhwanul Muslimin dengan presidennya, Muhammad Mursi itu memomokkan lena panjang "kuasa besar dunia", Amerika. Meskipun Hillary Clinton beberapa hari lalu datang ke Mesir untuk berunding bersama Mursi tentang keamanan Palestin dan Israel, tetapi sikap kedua-dua pemimpin itu jelas berbeza.
Hillary Clinton dalam konferensi medianya pada 20 November 2012 lalu, bersama PM Israel Netanyahu di Jerussalem menyatakan, "...President Obama asked me to come to Israel with a very clear message; America’s commitment to Israel’s security is rock solid and unwavering. That is why we believe it is essential to de-escalate the situation in Gaza. The rocket attacks from terrorist organizations inside Gaza on Israeli cities and towns must end and a broader calm restored. The goal must be a durable outcome that promotes regional stability and advances the security and legitimate aspirations of Israelis and Palestinians alike."

Perhatikan bicara Hillary, menurutnya Hamas yang memimpin pemerintahan Gaza saat ini masih didakwa sebagai parti dokongan rakyat yang tidak sah dan juga sebuah organisasi "teroris". Kerana itu Hillary tidak segan-segan menyatakan bahawa komitmen pemerintah Amerika untuk keamanan Israel adalah solid dan tidak berubah.

Di sinilah nampaknya kemungkinan besar adanya konspirasi Amerika mendukung tokoh-tokoh atau aktivis sekuler-liberal secara "diam-diam" cuba menjatuhkan Presiden Mursi.

Semoga Allah membantu Presiden Mursi, dan menggagalkan perancangan seteru politiknya.

http://www.tarbawi.my/index.php/en/inspirasi/isu-ummah/332-mursi-gaza-dan-amerika-syarikat

1 ulasan: