Macam-Macam : Wanita bersuami dua

 



BATU PAHAT – Perbuatan wanita lewat 30-an yang dipercayai menduakan suaminya dengan menikahi lelaki lain, terbongkar apabila dokumen pernikahannya dengan doktor ditemui pihak berkuasa.

Bertindak hasil aduan orang ramai dan siasatan selama beberapa hari, serbuan Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Batu Pahat dilakukan di sebuah vila semasa Operasi Ambang Tahun Baru, kira-kira jam 2 pagi semalam.

Timbalan Ketua Penguat Kuasa Jaij Daerah Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, setelah menerima aduan, pihaknya melakukan semakan dengan pihak berkuasa di Thailand dan mendapatkan salinan dokumen pernikahan wanita terbabit.

Katanya, semasa serbuan dilakukan, pada mulanya wanita berkenaan enggan mengaku bernikah secara senyap di selatan Thailand bersama seorang lelaki berusia 40-an, yang turut berada di rumah berkenaan.

Mereka bernikah di Thailand Julai lalu.

“Kami berjaya mendapatkan salinan dokumen pernikahan mereka, namun serbuan dilakukan untuk mendapatkan salinan asal surat nikah berkenaan dan bukti yang lebih kukuh kami peroleh iaitu gambar pernikahan mereka.

“Begitu licik wanita ini. Setelah hampir satu jam kami mencari, namun dokumen berkenaan gagal kami temui. Bagaimanapun setelah didesak beberapa kali, akhirnya dia mengaku telah bernikah dan dokumen berkenaan disorok dalam kotak kasut yang diletakkan di bonet kereta.

“Kami difahamkan doktor yang menjadi ‘suami kedua’ diberitahu yang wanita terbabit sudah bercerai dengan suami pertamanya,” katanya.

Saiful berkata, kes seumpama itu kali pertama berlaku di daerah ini dan rumit diselesaikan kerana perlu dilakukan dengan teliti kerana banyak kesalahan dilakukan.

Beliau berkata, buat masa ini, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 27(1)(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan siasatan terperinci akan dilakukan berhubung perceraian yang didakwa oleh wanita terbabit dengan suami pertamanya.

“Saya harap kes seperti ini dijadikan iktibar dan jika ada kemusykilan terhadap nikah atau kahwin, orang ramai boleh buat rujukan kepada kami.

“Kami akan terus cari punca sebenar dan bantu selesaikannya kerana tidak boleh wanita mempunyai dua suami dalam satu-satu masa.

“Jika wanita ingin berkahwin lain, dia perlu melalui proses perceraian dengan suami terdahulu, namun ia juga perlu melalui hukum ditetapkan syarak,” katanya.

SH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan