Selain mahu mempertahankan Putrajaya, Najib juga ghairah untuk merampas
Selangor daripada Pakatan Rakyat. Antara sebab kenapa Selangor menjadi
sasaran sudah tentulah kerana negeri itu merupakan negeri yang paling kaya dalam
Malaysia.
Keghairahan Najib mahu menawan Selangor bukan saja disandarkan
kepada kesediaannya menjadi Pengerusi UMNO Selangor tetapi juga melalui
kekerapannya turun ke negeri itu.
Walaupun berasal dari Pahang tetapi Najib dilihat lebih kerap turun dan
mencurahkan wang yang banyak untuk Selangor berbanding negeri kelahirannya
sendiri. Berjaya mempertahankan Putrajaya dan menawan Selangor sekaligus adalah
impian politik Najib dalam pilihanraya umum ini.
Tetapi sebagaimana kata
bekas Presiden MCA, Tun Ling Liong Sik, cabaran Najib untuk menawan Selangor
ialah imej kerajaan dan pimpinan negeri itu yang diketuai oleh Khalid Ibrahim
yang dilihat mempunyai imej lebih baik, bersih dan telus berbanding UMNO dan
BN.
Dalam masa yang sama imej UMNO Selangor tetap tidak menunjukkan
peningkatan kerana wajah-wajah pemimpin yang ada adalah wajah yang langsung
tidak meyakinkan rakyat seperti Noh Omar atau Zin Mohamed dan lain-lain Ketua
UMNO Bahagian. Wajah pemimpin muda dan pelapis yang membanggakan langsung tidak
ada dalam barisan kepimpinan UMNO Selangor sekarang ini.
Bercakap soal
kualiti kepimpinan di Selangor, bukan saja Ling Liong Sik tetapi sebahagian
besar penduduk Selangor sendiri tidak yakin UMNO mampu merampas kembali negeri
itu jika bersandarkan wajah pemimpin yang sedia ada. Bahkan ramai pula yang
tidak mahu memberikan UMNO kemenangan jika wajah-wajah yang ada ini dikekalkan.
Dalam soal pemilihan calon pilihanraya di Selangor, Najib sendiri
memahami keadaan itu. Meletakkan calon-calon dari kalangan pemimpin UMNO
semata-mata mungkin akan menyebabkan kekalahan diketahui lebih awal lagi. Mahu
tidak mahu, Najib terpaksa meletakkan calon yang dianggap "winnable" dan bukan
dari kalangan kepimpinan UMNO Bahagian bagi merealisasikan hasratnya menawan
negeri itu.
Bagi Najib mengetepikan sebahagian besar pemimpin UMNO dan
menggantikannya dengan calon "winnable" adalah jalan terbaik untuk mencapai
kemenangan serta lebih mudah untuk meyakinkan pengundi, terutama pengundi muda
dan atas pagar.
Lagi pula dalam setiap kali kunjungan Najib ke
Selangor, beliau sering menekankan faktor "winnable" dan ikrar daripada pemimpin
UMNO bahagian-bahagian bahawa mereka akan akur dengan sesiapa saja calon yang
dipilih oleh pucuk pimpinan juga sudah pun diperolehi.
Malahan Tun
Mahathir sendiri dalam perjumpaannya dengan jentera BN Selangor turut menekankan
betapa pentingnya mengutamakan parti melebihi kepentingan peribadi. Kata
Mahathir, kemenangan UMNO lebih penting dari kemenangan peribadi.
Saranan Najib dan Mahathir itu pada asasnya adalah bagi memudahkan
calon-calon yang bermasalah atau mereka yang memegang jawatan dalam UMNO tetapi
tidak diyakini boleh menang, untuk diketepikan. Dari segi politiknya, Najib
sudah ada kebebasan untuk memilih calon tanpa terikat dengan kehendak UMNO
Bahagian-bahagian.
Oleh itu, difahamkan lebih daripada 50 peratus calon
pilihan Najib untuk mewakili UMNO di Selangor dalam piliharaya akan datang ini
bukan terdiri daripada kepimpinan UNMNO Bahagian. Sebahagian mereka yang dipilih
ialah kalangan pemimpin NGO, tokoh motivasi, tokoh pengguna dan kalangan
profesional yang terdiri daripada arkitek, jurutera, akauntan dan pegawai bank.
Bagi kalangan profesional yang dipilih, mereka ini tidak memegang
jawatan yang penting dalam UMNO tetapi disenangi di kalangan penduduk tempatan
manakala bagi pemimpin NGO pula pemilihan mereka lebih kepada kekerapan muncul
di dada-dada media yang pada Najib menunjukkan kesungguhan mereka membantu
perjuangan politiknya.
Calon Menteri Besar pilihan Najib ialah Ezam Mohd
Nor yang kini merupakan seorang Senator dan penasihat Tibai, sebuah NGO yang
berperanan menghentam Anwar berkaitan isu-isu seks dan moral. Beliau difahamkan
akan diletakkan bertanding di DUN Sri Muda untuk berhadapan dengan Ketua
Penerangan PKR Selangor, Suhaimi Shafie.
FD Iskandar, Bendahari UMNO
Selangor dan Rozali Ismail, pemilik Puncak Niaga yang sebelum ini turut
disebut-sebut sebagai bakal Menteri Besar jika UMNO kembali berkuasa, didapati
tiada dalam senarai calon pilihanraya. Calon tunggal Menteri Besar hanyalah Ezam
Mohd Nor.
Turut dicadangkan untuk dipilih sebagai calon di Selangor
ialah beberapa tokoh NGO seperti Pengerusi Gerakan Anti Penyelewengan Selangor
atau GAPS, Hamidzun Khairuddin, tokoh pengguna Dr Maamor Othman, tokoh motivasi
Fadzillah Kamsah, Pengerusi Jati, Dr Hassan Ali, bekas Ahli Parlimen Kulim
Bandar Baru, Zulkifli Nordin dan beberapa lagi daripada kalangan profesional
yang sedang berkhidmat dengan sektor swasta.
Hamidzun difahamkan akan
diletakkan bertanding di Dun Sementa, Dr Maamor di Ampang dan Fadzillah Kamsah
dijangka diletakkan di DUN Bukit Antarabangsa untuk menentang Azmin Ali.
Bagi Dr Hassan Ali dan Zulkifli Nordin pula, kedua-dua mereka akan
melalui ranjau "kamikaze" dalam piihanraya kali ini kerana Najib lebih berminat
untuk meletakkan kedua-duanya bertanding di peringkat Parlimen dengan Hassan Ali
dijangka diletakkan di Gombak untuk berhadapan dengan Azmin Ali manakala
Zulkifli Nordin pula di Shah Alam untuk menentang Khalid Samad.
Daripada
sudut yang lain, Najib nampaknya benar-benar mahu membuatkan Azmin Ali begitu
sibuk dan menghadapi cabaran paing sengit kali ini. Jika Azmin bertanding di
Gombak, musuhnya ialah Hassan Ali manakala jika bertanding di DUN Bukit
Antarabangsa pula, cabarannya ialah Dr Fadzillah Kamsah.
Bersandarkan
kepada asas "winnable" juga, calon daripada kalangan pemegang jawatan dalam UMNO
hanya akan dipilih sekiranya mereka itu benar-benar boleh membawa kemenangan dan
bersih daripada sebarang masalah, selebihnya kouta itu akan dipilih daripada
kalangan AJK Bahagian atau pun golongan profesional yang diketahui mirip kepada
UMNO.
Bagi Noh Omar dan Zin Mohamed pula, walaupun mereka tidak begitu
disenangi oleh ramai penduduk Selangor tetapi berasaskan jawatan sebagai
Timbalan Pengerusi UMNO Selangor dan Penyelaras BN Selangor serta hubungan akrab
dengan Najib, kedua-duanya dijangka akan dikekalkan untuk bertanding di kerusi
Parlimen sedia ada iaitu di Tanjung Karang dan Sepang.
Persoalan yang
menarik untuk dilihat ialah sama ada tindakan Najib mengetepikan sebahagian
besar pemimpin UMNO ini akan menyebabkan berlakunya sabotaj ketika pilihanraya
atau sebaliknya. Jika berlaku sabotaj oleh mereka yang tidak terpilih itu,
harapan Najib untuk mencapai kemenangan pasti menjadi bertambah sukar.
Kiranya sabotaj dapat dielakkan dan pemimpin UMNO yang tidak
terpilih itu dapat memberikan kerjasama sepenuhnya, UMNO dan BN mungkin mampu
memberi cabaran sengit kepada Pakatan Rakyat.
Apakah UMNO Selangor sedia
menerima Ezam menjadi Menteri Besar? Mahukah mereka melihat kalangan yang pernah
rapat dengan Anwar dan kini berdiri atas pelbagai NGO dan hanya bermodalkan
isu-isu seks dan moral yang dikaitkan dengan Anwar tetapi tidak memegang apa-apa
jawatan dalam UMNO, mengambil alih pula kedudukan sebagai Yang Berhormat.
Apakah juga pemimpin UMNO Selangor sentiasa patuh dan berpegang kepada
ikrar yang mereka lafazkan kepada Najib bahawa mereka akan akur sesiapa saja
calon yang dipilih?
Tetapi mengenali kebanyakan yang bergelar pemimpin
dalam UMNO yang hanya mengutamakan kepentingan peribadi melebihi segala-galanya,
formula Najib di Selangor ini mungkin membawa kekalahan yang lebih parah
lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan