Pak Lah pun tak setuju PRU13 dikait perkauman



Harakahdaily,09 Mei 2013

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi (gambar)berpendapat, adalah tidak wajar untuk mengaitkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu sebagai isu perkauman.

Katanya, adalah tidak adil untuk menuduh dan menyalahkan kaum tertentu terhadap keputusan PRU13 lalu dan perkara itu tidak boleh dibiarkan berlaku.

"Kita tidak boleh membiarkan sebarang percubaan untuk menjadikan keputusan pilihan raya sebagai isu perkauman.

"Tindakan tuduh-menuduh dan menyalahkan mana-mana komuniti adalah tidak adil dan tidak memberi manfaat," katanya.

Kenyataan Abdullah itu sekaligus menyelar pandangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menyimpulkan bahawa kemerosotan BN pada PRU13 ini sebagai "Tsunami Cina".

Ia seolah-olah menyalahkan kaum Cina kerana bersolidariti mengundi DAP dan menolak BN.

Bukan Najib sahaja, seorang lagi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga berpendirian serupa iaitu berlakunya Tsunami Cina pada PRU13 ini.

Beliau menuduh, keadaan itu berlaku kerana faktor DAP yang membangkitkan kebencian orang Cina terhadap Melayu sekaligus menyaksikan Orang cina tidak mengundi Umno BN.

Sedangkan, apa yang berlaku adalah kebangkitan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum menolak Umno BN pada PRU13 lalu.

Pada PRU13 lalu, Pakatan Rakyat berjaya menambah tujuh lagi kerusi parlimen berbanding 2008 menjadikan 89 kerusi kesemuanya.

BN pula merosot tujuh kerusi menjadikan 133 kerusi berbanding 140 pada 2008.

Biarpun BN menang dengan majoriti mudah, undi popular BN hanya 46 peratus berbanding undi popular kepada Pakatan Rakyat yang mencecah 50.3 peratus.

Hakikat yang terpaksa diakui BN juga bahawa, keputusan PRU13 ini menyaksikan prestasi Najib adalah lebih teruk dari Pak Lah.

Perkara tersebut diakui sendiri oleh Mahathir yang kecewa dengan prestasi Najib

Tiada ulasan:

Catat Ulasan