Prestasi Najib Lebih Teruk Dari Paklah........Tun M


Mahathir sudah bercakap, jarumnya mula mencucuk

Aspan Alias,08 Mei 2013
Semalam Dr Mahathir bercakap kepada media dan menzahirkan perasaan tidak puas hati terhadap prestasi Najib yang beliau anggap lebih buruk dari yang dicapai oleh Abdullah Badawi. BN mendapat tujuh kerusi kurang dari apa yang dicapai oleh Abdullah Badawi yang merangkul hanya 140 kerusi dalam PRU yang lalu. Katanya Najib hanya mendapat 133 kerusi sahaja.

Komen seperti ini sudah dijangka akan datang dari Dr Mahathir, tetapi tidak pula disangka komen seperti ini datang terlalu awal, hanya dua hari selepas keputusan PRU kali ini diadakan. Beberapa bulan dahulu Dr Mahathir telah menyatakan yang jika Najib memperolehi kurang dari apa yang BN perolehi dalam PRU yang lepas Najib sepatutnya meletakkan jawatan. Mungkin kenyataan beliau semalam sekadar untuk mengingatkan Najib apa yang sepatutnya dia lakukan setelah mendapat keputusan yang lemah ini.

Saya menjangka apa yang akan berlaku di dalam UMNO sedikit masa lagi ialah berulangnya apa yang telah berlaku ke atas Abdullah Badawi. Tentulah Mahathir mahukan Najib meletakkan jawatan dan bersara untuk memberikan laluan kepada Muhyiddin. Ini sememangnya agenda Dr Mahathir dari awal. Mahathir mahu memainkan peranan menaik dan menurunkan pimpinan dan itu merupakan ‘forte’ beliau dalam politik ini.

Tetapi saya selalu memberikan pandangan, jika Najib itu lemah Muhyiddin akan lebih lemah lagi dari Najib. Mereka datang dari acuan yang sama. Saya ‘conclusive’ dengan pandangan saya, tidak akan ada seorang pun pemimpin dari barisan MKT UMNO hari ini layak untuk menggantikan kepimpinan jika Najib meletakkan jawatan. Mereka semua mempunyai mentaliti dan budaya yang sama. Segala-galanya sama dan ini terhasil dari pimpinan Dr Mahathir yang tidak pernah membaja benih kepimpinan dalam UMNO itu.

Pandangan Dr Mahathir yang mengatakan Najib itu telah gagal, lebih gagal dari Abdullah Badawi itu betul dan Mahathir mesti tahu yang sesiapa yang mengambil alih dari Najib itu akan lebih gagal lagi. Dengan acuan yang terbina oleh Dr Mahathir ini pimpinan UMNO akan bertambah lemah setelah pimpinan lemah diambil alih oleh kepimpinan yang lebih lemah lagi. Tidak mustahil jika Muhyiddin mengambil alih UMNO akan mendapat kekalahan yang lebih besar lagi.

Untuk memberikan sedikit kredit kepada Najib, seramai 88 orang calon UMNO telah menang dalam PRU kali ini berbanding dengan hanya 79 kerusi yang dimenangi oleh parti yang reput ini dalam PRU12 yang lalu, lebih sebelas kerusi.

Adalah satu kesilapan yang akan dilakukan oleh Najib ialah memindahkan kuasa kepada Muhyiddin. Betul, Najib mungkin terpaksa berkorban untuk UMNO dengan bersara. Tetapi jika Najib mahu di kenang oleh rakyat sebagai pemimpin dan negarawan setelah bersara, beliau patut wariskan kepimpinan UMNO itu kepada pemimpin yang bukan dari acuan yang sama.

Beliau sendiri akan menjadi bahan cemuhan ramai jika beliau mewariskan kepimpinan UMNO kepada pimpinan yang sudah pasti membawa UMNO itu rebah buat selama-lamanya.

Mewariskan kepimpinan UMNO dan negara kepada pimpinan yang lebih bertanggungjawab dan berkemahiran akan membuatkan beliau dikenang sebagai seorang pemimpin yang dihormati buat selama-lamanya.

Akhirnya, meninggalkan kepimpinan negara kepada orang yang bertanggungjawab itu adalah satu tindakan transformasi sebenar bagi Najib.

Kepada Dr Mahathir ramai sudah mula bertanya, "apa lagi yang dia mau?" -http://aspanaliasnet.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan