Terima kasih pengundi Cina sokong calon Melayu



Harakahdaily,08 Mei 2013
TEMERLOH: PAS merakam penghargaan kepada pengundi Cina yang turut mengundi calon-calon Melayu dari PAS dan PKR dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Menurut Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, beliau menolak dakwaan Umno bahawa pengundi Cina bersifat rasis kerana majoritinya mengundi DAP pada PRU13 lalu berbanding calon BN.

Sedangkan katanya, banyak kerusi yang ditandingi antara calon Melayu dengan Cina dalam kawasan campuran, dimenangi oleh calon Melayu.

Ianya membuktikan bahawa pengundi Cina sanggup menolak calon dari kaum mereka sendiri yang dirasakan tidak layak menjadi wakil mereka.

“Ini sekaligus membuktikan dakwaan  bahawa pengundi cina menolak melayu hanyalah fitnah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada yang sama, beliau juga menyelar Umno yang bermain api perkauman dengan keputusan pilihanraya ke 13, dengan mengapi-apikan isu Cina menentang Melayu.

Tindakan ini kata Tuan Ibrahim langsung tidak berpijak kepada fakta keputusan sebenar, bahkan lebih kepada membakar perasaan rakyat bagi menimbulkan kebencian antara kaum.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut mempersoalkan tindakan MCA yang menolak sebarang jawatan dalam kerajaan.

Kata Tuan Ibrahim, tindakan itu jelas menyumbang kepada jurang kebencian yang sengaja diapi-api oleh BN.

“Tindakan ini akan dilihat seolah-olah seluruh barisan kabinet dan kepimpinan di semua peringkat akan dikuasai oleh orang Melayu sahaja. Yang perlu ditanya ialah apa tujuan di sebalik tindakan ini?” soal beliau.

Tuan Ibrahim berkata sentimen perkauman sedang ditiup kuat oleh media perdana adalah bagi menutup pandangan rakyat terhadap isu-isu penyelewengan PRU13 serta kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mendapat mandat yang lebih besar sebagaimana yang diwar-warkan sebelum PRU13.

“Ia juga sebahagian usaha menutup isu pendatang asing yang turut mengundi, dan tidak mustahil tindakan perkauman ini akan disusuli dengan pelbagai tindakan bagi mengalih kemarahan rakyat terhadap kecacatan sistem pilihanraya negara ini,”

Tuan Ibrahim juga tidak menolak pandangan sesetengah pihak bahawa strategi ini mungkin adalah sebahagian dari usaha Najib bagi mengekalkan kedudukannya dari dicabar oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagaimana nasib yang menimpa Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana gagal mempertahankan sokongan kepada BN.

“Apakah isu perkauman ini akan menjadi penyelamat kedudukan Najib di dalam Umno setelah Tun Dr Mahathir menyatakan kekecewaannya secara terbuka terhadap prestasi terburuk BN di PRU13?” soal beliau lagi.

Di bawah diserta antara contoh kawasan campuran yang telah dimenangi oleh calon Melayu dari Pakatan Rakyat walaupun berdepan calon Cina dari BN.

Ia sekaligus menunjukkan ramai pengundi Cina yang menyokong calon Melayu dan menolak calon dari kaum mereka sendiri.

Kerusi Parlimen :-

Rafizi (PKR) menang lawan Gary Lim (BN) - Pandan.

Tan Sri Khalid (PKR) Menang lawan Tan Kok Eng (BN) - Bandar Tun Razak.

Imran Hamid (PKR) menang lawan Kong Cho Ha (BN) - Lumut.

Datuk Arif (DAP) menang lawan Hoh Khai Mun (BN) - Raub.

Kamarul Bahrin (PKR) menang lawan V.S Mogan (BN) Telok Kemang.

Khairil K. Johari menang lawan Teh Leong Meng (BN) Bukit Bendera.

Kerusi DUN:-

Datuk Anuar Abdullah (PAS) menang lawan Tan Ken Ten (BN) – Kota Lama, Kelantan.

Azan Ismail (PKR) menang lawan Datuk Toh Chin (BN) – Bandar, Terengganu.

Tengku Zulpuri (DAP) menang lawan Datuk Chuah Boon (BN) – Mentakab, Pahang,

Mohd Rashid (PKR) menang lawan Wong Mun (BN) - Pantai Jerjak, Penang.

Aminul Huda (PAS) menang lawan Teo Yew (BN)- Parit Yani, Johor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan