KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin mencadangkan Kementerian Belia dan Sukan mengundang penceramah ikon anak muda, Ustaz Azhar Idrus dalam usaha untuk menerapkan nilai-nilai Islam terhadap belia negara.
Menurut Hanipa, Azhar Idrus yang sangat dikenali di kalangan anak muda dan ia amat sesuai digunakan untuk menarik golongan belia bagi mendekatkan diri dengan Islam.
Katanya, dalam perkara ini kerajaan seharusnya menolak fahaman politik masing-masing demi belia yang kini rosak dengan gejala sosial.
"YB Menteri boleh panggil Azhar Idrus, dia ikon anak muda. Panggil dia untuk menarik anak muda. Dia ada tarikan sendiri ataupun menteri duduk di sebelah dia," celah Hanipa ketika menteri berkenaan menggulung bagi Kementerian Belia dan Sukan.
Menteri berkenaan, Khairy Jamaluddin menyambut baik cadangan Hanipa namun tidak mahu dilihat berpolitik apabila mengundang Ustaz Azhar Idrus.
"Cadangan YB Sepang baik, ada lagi ustaz-ustaz lain yang boleh. Saya tidak mahu dipolitikkan," jelas Khairy.
Sebelum itu, Khairy menyokong cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamd Abduh Nik Aziz yang meminta kerajaan mengislamkan dasar-dasar belia negara bagi mengelakkan masalah sosial terus menjadi serius.
Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan turut melahirkan kebimbangan terhadap insiden yang berlaku dalam perkampungan Sukma baru-baru ini.
Nasrudin juga mempersoalkan bagaimana begitu mudah arak dibawa masuk di dalam perkampungan Sukma dan meminta kementerian terbabit memberi gambaran jelas keadaan di perkampungan itu.
"Saya harap kejadian ini tidak lagi berlaku, arak dibawa masuk akhirnya berlaku pula jenayah. Minta pihak berkuasa ambil tindakan sewajarnya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan