Pas pecat ahli terlibat kegiatan Syiah












ALOR SETAR - Pas akan mengenakan hukuman tegas ke atas ahlinya termasuk memecat keahlian jika terbukti mereka terlibat dengan kegiatan Syiah.

Tindakan itu adalah untuk mencegah kegiatan yang dikatakan makin menular dalam kalangan pemimpin dan penyokong parti itu walaupun sehingga kini masih belum dapat dibuktikan.

Ahli Majlis Syura Ulamak Pas (Syura), Zaharuddin Mohammad berkata, antara syarat menjadi ahli Pas ialah mesti berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti.

“Jika ada bukti seorang itu adalah pengikut Syiah, kita pecat serta merta tidak kira apa jawatannya sekali pun dalam parti,” katanya ketika menjawab pertanyaan peserta Forum Post Mortem PRU13 Menuju PRU14 diadakan di Komplek Pas Kedah di sini, kelmarin.

Sebelum ini, seorang pemimpin kanan Pas didakwa terbabit dengan ajaran Syiah, yang turut menjadi faktor kekalahan PR di Kedah.

Menurut sumber dalaman, Syura sudah memanggil pemimpin berkenaan untuk membuat pengakuan sama ada terlibat atau sebaliknya dengan Syiah.

Beliau berkata, beberapa hari lalu pemimpin itu sudah menandatangani surat pengakuan bahawa tidak terbabit dengan sebarang aktiviti Syiah seperti yang diuar-uarkan.

Kerajaan negeri sebelum ini memohon kerjasama golongan ulama dan masyarakat setempat dalam menangani isu penyebaran ajaran Syiah yang berlaku di negeri ini.

Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, Mohd Rawi Abd Hamid berkata, semua pihak perlu memainkan peranan kerana ia merupakan ancaman terbesar akidah yang harus dikekang.

Menurutnya, golongan ulama lebih arif untuk mengenal pasti individu terlibat dan maklumat itu boleh dijadikan panduan agar orang ramai lebih berhati-hati manakala pusat pengajian agama diminta menyalurkan maklumat mengenai penyebaran ajaran itu jika dikesan di kawasan mereka..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan