Blog Misteri Cuba Kaitkan Kehilangan MH370 Dengan Serangan Pemisah Uighurs


Sebentar tadi, Pengarang Mynewshub menerima sebuah sistem pesanan ringkas (SMS) daripada sebuah nombor yang tidak dikenali memberitahu kewujudan sebuah blog yang mendedahkan mengenai siapakah dua lelaki misteri yang menaiki pesawat MH370 menggunakan pasport pihak lain, Sabtu lalu.
Blog yang menamakan dirinya Glodef (Global Defence And Security Research Centre –Klik ) memuat naik entri pertama semalam. Kemungkinan besar ia baru dibuka.
Tidak diketahui sama ada ia blog yang dibuka dari dalam Malaysia atau luar kerana menggunakan domain blogspot sahaja.
Apa pun, blog itu mendakwa, dua lelaki misteri yang menaiki pesawat MH370menggunakan pasport lelaki Itali dan Austria merupakan masyarakat Uighurs dari wilayah Xinjiang yang berjuang untuk memisahkan diri pemerintahan China dan mereka memang dikenali memiliki rupa paras menyamai masyarakat Eropah.
“Mereka menempah tiket mereka menggunakan China Southern Airlines, mereka sudah pasti dapat melepasi pemeriksaan di lapangan terbang dengan mudah kerana memiliki rupa paras menyerupai lelaki pemegang pasport yang asal,” katanya.
Blog itu mendakwa, kehilangan MH370 mungkin berkaitan dengan serangan pemisah Uighurs yang menyerang stesen keretapi Kunming pada 2 Mac lalu yang menyaksikan 33 orang terbunuh manakala 140 lagi cedera.
Kehilangan penuh misteri MH370 menyebabkan ramai pakar penerbangan dunia melihat serangan pengganas sebagai salah satu aspek penting.
Pesawat MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 tengah malam awal Sabtu lepas dan sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.
Ia bagaimanapun hilang dan terputus komunikasi dengan menara kawalan udara di Subang pada pukul 2.40 pagi.
Menurut laporan awal, sepanjang penerbangan komunikasi menara kawalan dengan juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53 tahun berjalan lancar tanpa isyarat kecemasan ataupun masalah diberikan oleh pengendali pesawat kepada menara kawalan.
Perhubungan terputus selepas komunikasi menara kawalan di Subang menyerahkan komunikasi pesawat MH370 kepada menara kawalan udara di Ho Chi Minh City, Vietnam kerana pesawat itu sudah menghampiri ruang udara Vietnam dalam penerbangan ke Beijing, China.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan