Kapal Tentera Laut Turki Dihantar Bantu Pelarian Muslim Rohingya

n_82639_1
Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoğlu mengumumkan bahawa kerajaannya akan menghantar kapal tentera laut Turki ke perairan Thailand dan Malaysia dalam usaha menyampaikan bantuan kemanusian kepada para pelarian Muslim Rohingya.
Beliau berucap di Istana Çankaya, bertarikh 19 Mei, kerajaan Turki akan cuba sehabis baik untuk membantu para pelarian Muslim Rohingya yang terkandas di perairan rantau Asia Tenggara, bersama-sama International Organization for Migration (IOM), dengan bantuan kapal angkatan tentera laut Turki yang sudah pun bertolak ke perairan tersebut.
Dianggarkan 7 ke 8 ribu pelarian Rohingya dan Bangladesh dipercayai terkandas di sekitar Selat Melaka, dan tidak dibenarkan berlabuh di mana-mana kawasan berdekatan disebabkan ketegasan pihak berkuasa Thailand dan Malaysia.
Bot penumpang yang membawa 500 rakyat Myanmar yang teraniaya di tanah air mereka, yang majoritinya adalah Muslim, dibawa arus merentas laut sebelah barat Indonesia sejak 10 Mei lalu, dengan keadaan sebahagian dari mereka memerlukan rawatan perubatan.
Warga lelaki, perempuan dan kanak-kanak tiba dalam 2 bot yang berasingan, satu bot memuatkan 430 penumpang, manakala 70 penumpang satu lagi, kata Steve Hamilton, Timbalan Ketua Misi IOM di Jakarta.
Penduduk Muslim Rohingya telah menderita sejak beberapa dekad yang lalu disebabkan diskriminasi kerakyatan dan persempadanan yang berlaku di Myanmar.
Tindakan keganasan yang dilakukan oleh puak ekstremis minoriti Buddha dalam tempoh 3 tahun yang lalu, telah mengakibatkan berlakunya pelarian bot terbesar sejak Perang Vietnam, yang mencapai 100,000 pelarian (menurut Pengarah Projek Arakan, Chris Lewa). Projek tersebut telah memantau perkembangan Rohingya lebih sedekad lalu.
Dalam keadaan kekurangan makanan dan air bersih, Lewa menyatakan kebimbangan beliau dengan kesihatan para pelarian yang kian merosot. Dilaporkan banyak kematian disebabkan punca itu sejak beberapa bulan lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan