Islam dan Dakwah Tidak Dapat Dipisahkan

Oleh Mohamad Saidy Ismail

Cyberjaya University College of Medical Sciences



1.0 Pengertian Islam



Pengertian Islam dijelaskan oleh Allah s.w.t dalam firman-Nya dalam surah an-Nisa’, ayat 125)


“Dan siapakah yang lebih baik diinya dari orang yang menyerahkan

wajahnya (dirinya) kepada Allah, sedangkan dia berbuat ihsan dan

mengikuti din Ibrahim dengan hanya cenderung kepada Allah”.



Berpandukan kepada ayat ini (Abu `Urwah, 1988), maka Islam dapat diberi pengertian sebagai: “Penyerahan diri kepada Allah dengan penuh keikhlasan hati”. Bahkan inilah intipati dan keseluruhan makna Islam.


Islam dengan pengertian induk ini tidak hanya dikhususkan kepada manusia tetapi jua merangkumi segala kejadian di alam semerta seperti yang dijelaskan oleh al-Quran:



“Apakah selain dari din Allah yang mereka masih mencari-cari

sedangkan segala yang dilangit dan dibumi telah Islam (menyerah

diri) kepada-Nya dengan kerelaan hati dan terpaksa. Dan kepada-

Nya mereka akan dikembalikan”. (Ali-`Imran, 83)



Firman Allah lagi:



“Dan kepada Allah sujud segala yang dilangit dan dibumi

dengan kerelaan hati dan terpaksa, dan juga baying-bayang

mereka pada setiap pagi dan petang.” (Ar-Ra`d, 15)



Dari kedua-dua ayat di atas maka dapatlah disimpulkan bahawa pengertian Islam itu tersimpul pula dalam penyerahan diri kepada Allah. Penyerahan yang setepat-tepatnya di antara hubungan manusia dengan Penciptanya ialah sujud kepada Allah dengan penuh kepatuhan dan ketundukan. Oleh itu, jelas sekali di antara ketiga-tiga; ad-din, Islam dan sujud mempunyai kaitan dan jalinan makna yang erat dan tabi i.


Penyerahan diri ini tidak hanya terbatas kepada gerak laku anggota zahir sahaja tetapi juga merangkumi `amalan batin. Ini bererti penyerahan ini merangkumi jasmani dan ruhani, `aqal dan perasaan atau jiwa dan hati kepada Allah. Penyerahan ini tidak terbatas kepada sudut-sudut tertentu sahaja tetapi merangkumi segala ruang lingkup kehidupan manusia.


Ringkasnya penyerahan diri kepada Allah di sini merangkumi penyerahan diri kepada Allah dalam bidang `aqidah, `ibadah, akhlak dan akhirnya syari’at.



2.0 Islam dan Dasar Hidup Islam



Bagi menjelaskan peranan dan tujuan hidup manusia dalam konteks penyerahan diri di atas, Islam telah menggariskan beberapa dasar hidup yang dapat difahami seperti berikut:


2.1. Pencipta. Allah adalah Pencipta, Penguasa dan Pemilik `alam ini. Allah telah mencipta manusia dan menyediakanya tempat tinggal sementara di muka bumi. Allah telah mengurniakan `aqal kepada manusia untuk berfikir dan kemampuan untuk membezakan yang haq dan yang batil. Manusia diberikan kebebasan untuk berikhtiar dan memilih malahan kuasa untuk menggunakan sumber menurut cara yang disukainya.


2.2. Khalifah. Manusia telah ditugaskan untuk menjadi khalifah Allah (pentadbir dan pemakmur) di muka bumi. Oleh itu ia dituntut untuk beriman dan patuh kepada segala perintah dan peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh-Nya. Dengan `aqal, daya ikhtiar dan kemampuan memilih manusia bebas sama ada untuk beriman atau kufur kepada Allah. Tetapi Allah mengingatkan manusia bahawa tempat manusia di bumi ini tidak kekal. Bumi ini hanya tempat persediaan sahaja!


2.3. Para Ambiya’ Untuk membolehkan manusia melaksanakan tugasnya, maka Allah mengutuskan kepada manusia para rasul dan nabi-nabi beserta syari`at dan kitab-kitab sebagai panduan dan bimbingan hidup mereka. Rasulullah (s.a.w) adalah rasul yang terakhir, membawa syari`at dan kitab terakhir bagi panduan seluruh manusia hingga akhir zaman.


2.4. Dakwah. Manusia diperintahkan beriman kepada Rasulullah s.a.w. Ia dituntut untuk menyebarkan risalah Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w . Manusia yang beriman ditugaskan untuk menyeru manusia-manusia yang telah terseleweng untuk kembali kepada jalan yang benar. Manusia juga dituntut agar membina diri dan membangunkan seluruh masyarakatnya menurut ajaran yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.


2.5. Kematian. Apabila tiba masanya manusia akan mati. Selepas itu, tiba masanya, seluruh `ala mini akan dibinasakan oleh Allah. Sebaik sahaja manausia dibangkitkan semula, manusia akan dikumpulkan untuk dihisab. Pada hari itu tahulah manusia tempat kediamannya yang sebenar di Akhirat.


Jelaslah, Islam telah meletakkan garis panduan yang tersusun rapid dan menetapkan hubungan yang jelas di antara manusia dan Penciptanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan