Dalam sebuah negara Islam, non Muslim diberikan hak beribadat dan mengamalkan agama mereka. Lantaran itu, sebarang perkara yang berkaitan dengan peribadatan mereka, hendaklah kerajaan islam berikan kepada mereka.
Ulama sepakat menyatakan bahawa mereka boleh melakukan apa sahaja syiar agama mereka dalam tempat ibadat mereka. Adapun di luar tempat ibadat, ulama berselisih dalam hal ini. Sebilangan ulama membenarkan mereka menzahirkan syiar mereka di luar tempat ibadat. Ulama yang membenarkan itu adalah Al-Kasani dengan katanya:
فِي الْقُرَى أَوْ فِي مَوْضِعٍ لَيْسَ مِنْ أَمْصَارِ الْمُسْلِمِينَ فَلَا يُمْنَعُونَ مِنْ إحْدَاثِ الْكَنَائِسِ وَالْبِيَعِ ، كَمَا لَا يُمْنَعُونَ مِنْ إظْهَارِ بَيْعِ الْخُمُورِ وَالْخَنَازِيرِ
Maksudnya:
“Dalam negeri atau tempat yang bukan tempat orang islam, tidak ditegah mewujudkan gereja dan Biya’ (gereja Yahudi), sepertimana tidak ditegah menjual arak dan babi” (Badai As-Sanai: 15/240).
Timbul persoalan, berkenaan dengan pembinaan rumah ibadat bagi non Muslim itu, dilakukan pembinaan tersebut dibantu oleh orang islam. perkara ini menjadi perdebatan ulama, sejak dahulu sehingga kini.
PERBINCANGAN
Perdebatan itu adalah seperti berikut;
MEMBOLEHKAN
Dr Yusuf Al-Qaradhawi memandang, harus bagi orang islam bersama-sama orang bukan islam membina rumah ibadat mereka.
Dalam lamanweb islamonline, dinyatakan;
هناك اختلاف في أقوال الفقهاء حول مشاركة المسلم في بناء إحدى دور العبادة لغير المسلمين, مثل: معبد للهندوس أو كنيسة للنصارى، ونحن نرى السماح للنصارى بإقامة كنيسة في قطر، وهو من حقِ ولي الأمر؛ بناءً على فقه السياسة الشرعية التي تقوم على رعاية مقاصد الشرع, ومصالح الخلق, وتوازن بين المصالح بعضها وبعض, والمفاسد بعضها وبعض, والمصالح والمفاسد إذا تعارضتا
Maksudnya;
"di sana ada perbedaan pendapat Fuqaha' sekitar isu orang-orang islam bersama-sama membina salah satu ruang ibadat bagi orang bukan islam, seperti tempat ibadat hindu atau geraja bagi nasrani [kristian]. Kami [Qaradhawi] memandang ia sebagai harus bagi nasrani untuk membina gereja di Qatar, dan ia adalah hak bagi pemerintah. Semua ini terasaskan kepada fiqh Siyasah Syariiyyah yang ia tertakluk kepada pengakuan terhadap Maqasid Syariah dan maslahah makhluk, menimbang antara maslahah setengah dengan setengah yang lain, dan mafsadah setengah dengan setengah yang lain, maslahah dan mafsadah apabila bertembung"
Fatwa Qaradhawi ini, merujuk kepada pandangan yang dikemukakan oleh Imam Abu hanifah, waima pendapat itu disanggahi oleh ulama-ulama lain, seperti sahibain [Abu Yusuf dan Muhammad], As-Syafie, Hambali dan Maliki .
Dalam kitab Bahr Ar-raeq menyatakan;
ولو استأجر ـ أي الذمي ـ المسلم ليبني له بيعة أو كنيسة جاز ويطيب له الأجر
Maksudnya;
"Sekiranya memberi upah – oleh zimmi – kepada orang islam untuk membina gereja, maka ia adalah harus dan upah itu adalah baik baginya" [8/23]
Dalam Hasyiah Ibni 'Abidin;
ولو آجر نفسه ليعمل في الكنيسة ويعمرها لا بأس به لأنه لا معصية في عين العمل
Maksudnya;
"Sekiranya mengupahkan dirinya supaya bekerja [membina] gereja, maka itu tidak mengapa. Ini kerana, tiada maksiat pada kerja itu" [6/931]
TIDAK MEMBOLEHKAN
Ben baz, seorang ulama dari Saudi Arabia menyatakan larangan tersebut. Ini dikukuhkan lagi dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Lajnah daimah [Saudi Arabia].
Kata mereka;
وأجمع العلماء - رحمهم الله تعالى - على أن بناء المعابد الكفرية ومنها : الكنائس في جزيرة العرب أشد إثماً وأعظم جرماً ، للأحاديث الصحيحة الصريحة بخصوص النهي عن اجتماع دينين في جزيرة العرب ، منها قول النبي : "لا يجتمع دينان في جزيرة العرب" . رواه الإمام مالك وغيره وأصله في الصحيحين "
Maksudnya;
"Ulama sepakat atas bahawa membina tempat ibadat orang kafir, seperti gereja di semenanjung arab adalah dosa yang dahsyat dan jenayah yang hebat. Ia berasaskan kepada hadis-hadis saheh yang secara nyata yang menegah secara khusus berkenaan berhimpun dua agama dalam semenanjung arab. Antaranya adalah sabda nabi SAW, "tidak boleh berhimpun dua agama dalam semenanjung arab" [hadis riwayat malik dan lainnya. Asalnya dalam dua buah kita sahih]" [no : 21413 pada 1/4/1421]
Dalam fatwa ini, membina itu juga sudah salah, makanya orang islam membantu membina, maka terlebih salah.
Fatwa ini, sealiran dengan fatwa mazhab As-Syafie, Hanbali, Maliki dan dua orang ulama aliran hanafi [sahibain : Imam Abu Yusuf dan Muhammad]
Dalam hasyiah Al-Qalyubi menyatakan;
ولا يجوز بذل مال فيه لغير ضرورة ومثله أيضا استئجار كافر مسلما لبناء نحو كنيسة
Maksudnya;
"tidak harus menghabiskan harta padanya, [kerana] ia tiada keperluan. Seumpamanya juga, memberi upah oleh kafir terhadap orang islam bagi membina seumpama gereja"
Dalam Hasyiah As-Syibrumulaisi;
لا يصح استئجار ذمي مسلماً لبناء كنيسة لحرمة بنائها
Maksudnya;
"tidak sah memberi upah oleh Zimmi terhadap orang islam bagi pembinaan gereja, kerana pengharaman membinanya"
Al-Imam As-Subki menyatakan;
بناء الكنيسة حرام بالإجماع وكذا ترميمها وكذلك قال الفقهاء لو وصى ببناء كنيسة ؛ فالوصية باطلة ، لأن بناء الكنيسة معصية ، وكذا ترميمها ، ولا فرق بين أن يكون الموصي مسلماً أو كافراً ، وكذا لو وقف على كنيسة كان الوقف باطلاً مسلماً كان الواقف أو كافراً، فبناؤها وإعادتها وترميمها معصية مسلماً كان الفاعل لذلك أو كافراً ، هذا شرع النّبي
Maksudnya;
"Bina Gereja adalah haram secara ijmak. Begitujuga, membaikinya. Fuqaha' menyatakan bahawa, wasiat membina gereja adalah batal, kerana membina gereja adalah maksiat, begitujuga membaikinya. Tidak kira, sama ada pemberi wasiat itu muslim atau kafir. Begitujuga, waqaf membina gereja adalah batal, sama ada pewaqaf itu muslim atau kafir. Membina dan mengulangi dan membaiki gereja adalah maksiat, sama ada yang melakukan itu Muslim atau kafir. Ini adalah syarak nabi SAW"
Dan banyak lagi perkataan ulama-ulama yang mengatakan haram tindakan membina dan membaiki gereja yang dilakukan oleh orang islam.
DALIL-DALIL
PIHAK YANG KATA BOLEH
Dalil-dalil mereka yang membenarkan itu adalah seperti berikut;
Pertama:
Firman Allah;
لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Maksudnya;
"Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil."
[Al-Mumtahanah : 8]
Dalam ayat ini, Allah SWT tidak melarang orang Islam dari berbuat baik terhadap orang bukan Islam. malahan, dari ayat lain pula, Allah SWT menyuruh melakukan Bantu membantu atas asas berbuat baik ini.
Firman Allah;
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى
Maksudnya;
"Bantu membantulah kamu atas berbuat baik dan ketaqwaan".
[Al-Maidah : 2]
Kedua:
Islam menjaga rumah-rumah ibadat non Muslim dan meraikan syiar agama mereka. Malahan, Al-Quran menyatakan bahawa dibenarkan perang bagi menjaga kebebasan beribadat ini.
Firman Allah;
أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا وَإِنَّ اللَّهَ عَلَى نَصْرِهِمْ لَقَدِير * الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ بِغَيْرِ حَقٍّ إِلَّا أَنْ يَقُولُوا رَبُّنَا اللَّهُ وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا وَلَيَنْصُرَنَّ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ
Maksudnya;
"Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, karena sesungguhnya mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya Allah, benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu * (yaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali karena mereka berkata: "Tuhan kami hanyalah Allah." Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebagian manusia dengan sebagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid- masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa"
[Al-Haj : 39-40]
Ketiga;
Nabi SAW menyuruh kita menjaga hak non Muslim, dan tidak boleh menzalimi mereka. malahan Nabi SAW sendiri mengakui bahawa Nabi SAW berbelah pihak kepada non Muslim, jika mereka dizalimi oleh orang islam.
Sabda Nabi SAW;
أَلَا مَنْ ظَلَمَ مُعَاهِدًا أَوْ انْتَقَصَهُ أَوْ كَلَّفَهُ فَوْقَ طَاقَتِهِ أَوْ أَخَذَ مِنْهُ شَيْئًا بِغَيْرِ طِيبِ نَفْسٍ فَأَنَا حَجِيجُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya;
"ketahuilah, barangsiapa yang melakukan kezaliman kepada non Muslim [yang ada perjanjian] atau mengkurangkan [haknya] atau memberi tekanan kepadanya yang luar dari kemampuannya atau mengambil sesuatu darinya tanpa cara baik, maka aku berhujjah dari pihaknya pada hari akhirat kelak"
[Abu daud : 2654]
Keempat:
Umar bin Al-Khattab telah memberi keamanan kepada Ahli Iliya', menunjukkan kebebasan beragama dan penghormatan terhadap rumah ibadat dan peribadatan mereka.
Amir Mukminin itu telah memberikan non Muslim keamanan pada diri non Muslim, gereja-gereja mereka, salib-salib mereka. Malahan Umar melarang dari membinasakan mereka, gereja dan salib-salib mereka" [At-tabari : 3/609]
Pada zaman Khalid bin Al-Walid, sabah itu itu pernan berkata kepada Ahl 'Anat yang beragama kristian dengan katanya;
ولهم أن يضربوا نواقيسهم في أي ساعة شاءوا من ليل أو نهار، إلا في أوقات الصلاة، وأن يخرجوا الصلبان في أيام عيدهم
Maksudnya;
"Bagi mempunyai hak untuk memukul loceng-loceng mereka pada mana-mana waktu yang mereka mahu, amalam atau siang, kecuali pada waktu-waktu solat [orang Islam]. Mereka boleh mengeluarkan salib-salib pada hari-hari perayaan mereka" [Al-Kharaj Abu Yusuf : 146]
PIHAK YANG KATA TAK BOLEH
Adapun hujjah dari pihak yang mengatakan tidak boleh orang islam membantu non Muslim membina geraja adalah seperti berikut;
Pertama;
Firman Allah;
وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya;
"Jangan kamu Bantu membantu atas dosa dan permusuhan"
[Al-Maidah : 2]
Ayat ini, Allah SWT menyatakan tidak boleh Bantu membantu dalam melakukan dosa. Peribadatan selain Allah merupakan maksiat, justeru membantu non Muslim membina gereja adalah maksiat. Makanya, ia adalah haram dan terlarang.
Dijawab, bahawa membantu membina gereja tidak dikira sebagai maksiat. Ini kerana, tidak dikatakan sebagai kerajaan Islam melakukan maksiat, jika kerajaan memberikan kebenaran kepada non Muslim itu membina rumah ibadat mereka, seperti yang telah dilakukan oleh para sahabat [merujuk kepada Umar bin Al-Khattab dan Khalid bin Al-Walid].
Kedua;
Firman Allah;
أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُمْ مِنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَنْ بِهِ اللَّهُ وَلَوْلَا كَلِمَةُ الْفَصْلِ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ وَإِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Maksudnya;
"Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah? Sekiranya tak ada ketetapan yang menentukan (dari Allah) tentulah mereka telah dibinasakan. Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan memperoleh azab yang amat pedih"
[As-Syura : 21]
Membantu membina gereja adalah tindakan yang menggambarkan perkongsian dengan sembahan selain Allah SWT. Sudah pasti, ia boleh membawa kepada kekufuran [atau murtad].
Firman Allah SWT;
لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ
Maksudnya;
"bagi kamu, agama kamu. Bagiku, agamaku"
[Al-Kafirun : 6]
Dijawab, bahawa membantu membina gereja itu, bukan bermaksud perkongsian agama, tetapi ia adalah memberi bantuan kepadanya atas asas kemanusiaan. Ia sama seperti fatwa Dr Yusuf Al-Qaradhawi memfatwakan keizinan mengucap tahniah dengan kehadiran perayaan agama lain dengan alasan kemanusiaan. Pun begitu, Qaradhawi melarang ucapan itu sekiranya dengan keredhaan hati terhadap agama tersebut. [Al-Fatawa Al-Maasarah : 3/672]
Maka begitujuga dalam membantu non Muslim membina gereja. sekiranya ia sekadar untuk membantu non Muslim atas asas kemanusiaan dan menjaga hubungan baik dengan mereka, tanpa perasaan hati redha terhadap agama mereka, maka ia tidaklah satu perkara yang salah dan dilarang oleh syarak.
SIKAP KITA KEPADA KHILAF
Melihat kepada ulasan di atas, tidak dinafikan bahawa perbincangan tentang isu ini merupakan perkara yang di khilafkan di kalangan ulama.
Khilaf yang berlaku selayaknya dihadapi dengan toleransi dan tidak perlu berlaku perbalahan dan berkeras mempertahankan pendapat masing-masing.
Walaubagaimanapun, dalam keadaan sebegini, sebolehnya, kita perlu mengelak diri dari melakukan perkara yang boleh jatuh kepada haram, lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan aqidah, walaupun ianya sesuatu yang khilaf.
Kaedah fiqh ada menyebut;
“Keluar daripada khilaf adalah digalakan” [Perbahasan kaedah-kaedah Fiqh, karangan Ust Abd latif Muda dan Ustz Rosmawati Ali : m/s 366]
Maksudnya, sekiranya pendapat A mengatakan haram dan pendapat B mengatakan harus, maka sebaik-baiknya kita memakai pendapat B. walaubagaimanapun, kemungkinan disebalik menggunakan pendapat B itu boleh merugikan dari beberapa sudut, maka gunakan kepandaian dan kecerdikan kita untuk meraikan keadaan tersebut.
Misalnya, dalam isu mengucapkan tahniah dengan kehadiran perayaan Hindu. Mengucapkannya adalah khilaf dikalangan ulama, maka lebih baik tidak mengucapkannya dari mengucapkannya, kerana dibimbangi jatuh kepada pendapat yang mengatakan haram.
Tetapi, didalam masa yang sama, dibimbangi berlaku jurang antara non muslim dan muslim dalam melaksanakan tugasan dakwah, maka berusahalah sedaya upaya atau kecerdikan kita dalam keadaan tersebut, seperti kita menjawab “terima kasih” atau “ok” atau sebagainya, ketika kawan kita dari non muslim itu mengucapkan kepada kita “happy depavalli”.
Disamping itu juga, jika kemaslahatan dakwah lebih mendapat keuntungan dengan menyebut “Happy Depavalli”, maka tidak ada salahnya kita mengambil pendapat ulama yang membenarkan ucapan tahniah dengan kehadiran perayaan mereka.
Maka demikianlah dalam isu yang dibahas dalam article ini.
PENUTUP
Tidak dinafikan, Isu ini adalah isu yang agak rumit. Terutama, perkara ini agak ganjil dibicarakan di kalangan rakyat Malaysia yang beragama Islam, yang kurang didedahkan unsure toleransi dan hormat-menghormati terhadap sesame manusia; antara muslim dan non Muslim.
Tidak dinafikan, disana ada fatwa yang agak melarang, seperti fatwa Ibnu Taimiyyah, As-Subki, dan sebagainya. Tetapi, ia tidak boleh dinafikan bahawa di sana terdapat fatwa-fatwa ulama yang agak toleransi, seperti Qaradhawi dan seangkatan dengannya. Mungkin kerana factor pergaulan dan pengkajian lapangan yang ditempuhi dan dihayati sendiri oleh individu-individu fuqaha' itu sendiri, penyebab fatwa mereka tidak sama antara satu dengan yang lain.
Dengan kehadiran article ini, ia bukan sesuatu yang pasti. Malahan ia terbuka kepada wacana dan kritikan yang bernas. Mudah-mudahan ia melahirkan kesimpulan yang baik, dalam memastikan islam terlaksana di Malaysia dengan berhikmah, iaitu Islam diterima non Muslim [walau mereka tidak memeluk islam pun, tetapi untuk melahirkan tanggapan mereka bahawa Islam agama yang baik dan agama yang indah, maka itu sudah boleh dibanggakan].
Sekian
Wallahu 'Alam
Al-Bakistani
Terima kasih atas perkongsian saudara. Sy memang sdg mencari sumber rujukan utk isu2 sebegini, tambah2 apabila dihebohkn oleh org2 yg tidak faham. Yg terbaru emel saya terima dari sahabat berkenaan dgn pembinaan "Calvary Convention Centre (CCC)" di bukit jalil. so, sya mintak izin utk share artikel ni ye utk penerangn kpd sahabat2 yg lain.. Syukran
BalasPadam-umar abd aziz