Kenapa Ulama' Benua Kecil India Tidak Menyetujui Usaha-Usaha Pendekatan Sunnah-Syiah
Ulama' Islam di benua kecil India (India, Pakistan dan Bangladesh sekarang) bukan sahaja tidak menyetujui usaha-usaha yang dilancarkan oleh ulama'-ulama' Al-Azhar melalui Dar at-Taqrib, malah dalam masa yang sama mereka telah mengeluarkan fatwa tentang kekufuran Syiah.
Kenapakah pandangan mereka begitu berbeza dengan pandangan ulama'-ulama' yang merestui usaha-usaha pendekatan tersebut yang kebanyakan mereka terdiri daripada ulama' Arab?
Mengikut Maulana Manzur Nu'mani didalam bukunya 'Irani Inqilab Khomeini Aur Syi'iyyat' ada beberapa faktor yang menyebabkan mereka berbeza pendapat dalam menentukan perkara ini dan kenapakah ulama' dibenua kecil India lebih peka terhadap isu ini berbanding dengan ulama'-ulama' dinegara Arab, antaranya:-
1. Perhubungan ulama'-ulama' Arab dengan golongan Syiah agak jauh berbanding dengan perhubungan diantara ulama-ulama' benua kecil India dengan mereka. Walaupun negara-negara Arab seperti Mesir pernah dikuasai oleh kerajaan Syiah tetapi pengaruhnya terhadap penduduk-penduduk dinegara-negara itu tidak begitu mendalam seperti pengaruhnya terhadap penduduk di India. Oleh kerana ajaran Syiah masih dihayati dengan sepenuhnya oleh penduduk-penduduk dibenua kecil India maka ulama'-ulama' Ahli Sunnah disana lebih mengetahui tentang Syiah daripada ulama'-ulama' dinegara-negara lain.
2. Banyak karya Syiah terdapat dalam bahasa Parsi dan Urdu selain dari bahasa Arab. Ulama'-ulama' Arab yang umumnya tidak mengerti bahasa Parsi dan Urdu, tidak mengetahui kesesatan-kesesatan yang terselit dicelah kitab-kitab mereka itu. Mereka hanya diperkenalkan dengan kitab-kitab Syiah yang ditulis untuk tujuan propaganda sahaja atas nama usaha-usaha pendekatan antara Ahli Sunnah dengan Syiah.
Maulana Muhammad Manzur Nu'mani mengatakan lagi, "Sebagaimana ulama'ulama' Arab diperingkat permulaannya teragak-agak untuk mengeluarkan fatwa terhadap kekufuran golongan Qadiani kerana pada zahirnya mereka mendakwa Islam dan tulisan-tulisan mereka yang kebanyakannya dalam bahasa Urdu tidak boleh diselami oleh ulama'ulama' dari dunia Arab, justeru itu ketika kami mengusulkan didalam Muktamar Ulama' Islam di Karachi pada tahun 1952 supaya Qadiani diputuskan sebagai terkeluar daripada Islam, pengerusinya Mufti Amin al-Husaini teragak-agak untuk menerima usul itu kerana beliau belum pasti tentang kesesatan golongan Qadiani dan kerana kurangnya maklumat beliau tentang ajaran Qadiani itu. Tetapi hari ini siapakah yang meragui tentang kufurnya Qadiani itu?
Ini semua adalah hasil kegigihan ulama'-ulama' pembela kebenaran yang ada dibenua kecil India pada waktu itu, sehingga Maulana Maududi sendiri dihukum penjara selama beberapa tahun kerana tentangannya secara terbuka terhadap Qadiani pada waktu itu. Secara kebetulan pula dalam kerajaan pada masa itu terdapat pemimpin-pemimpin yang berfahaman Qadiani.
Kita menaruh sangka baik terhadap ulama'-ulama' Al Azhar terutama apabila mengenangkan fatwa-fatwa yang dikeluarkan itu ialah pada zaman usaha-usaha pendekatan antara Sunnah dan Syiah dilancarkan.
Sumber : Syiah Rafidhah, Diantara Kecuaian Ulama' Dan Kebingungan Ummah m/s 49-51 Oleh Muhammad Asri Yusoff
Tiada ulasan:
Catat Ulasan