Perawi Hadis Syiah : Bagaimanakah Sikap Sebenar Ulama' Ahli Sunnah Terhadap Mereka



Diantara cara yang digunakan oleh golongan Syiah untuk memukau golongan ulama' Ahli Sunnah yang menaruh sangka baik terhadap mereka ialah dengan berhujahkan beberapa nama perawi hadis yang dikatakan Syiah.

Mereka mengatakan jika Syiah tidak Islam seperti yang didakwakan oleh sesetengah golongan, maka bagaimanakah tokoh-tokoh hadis dari kalangan Ahli Sunnah sendiri menerima hadis-hadis daripada golongan Syiah? Jika diperhatikan perawi-perawi Syiah didalam kitab-kitab hadis Ahli Sunnah maka kita akan dapati bilangan mereka terlalu ramai.

Ini menunjukkan Syiah adalah satu golongan yang dipercayai dan diterima oleh golongan Ahli Sunnah sendiri. Jika kita menolak Syiah bererti kita mesti juga menolak kitab-kitab tokoh hadis dari kalangan Ahli Sunnah seperti Bukhari, Muslim dan lain-lain. Dan jika mereka itu tidak boleh dipercayai maka dengan sendirinya kitab-kitab Ahli Sunnah itu tidak boleh dipercayai dan tidak boleh dipegang lagi.

Boleh jadi ulama'-ulama' Ahli Sunnah yang tidak mengetahui tentang sejarah perkembangan Syiah akan termakan racun yang dihulurkan oleh mereka!

Tetapi jika ulama' Ahli Sunnah itu sedar tentang apa yang dikatakan Syiah dizaman permulaan Islam dan perbezaannya dengan Syiah kemudiannya seperti yang telah kita kemukakan sebelum ini pada muka surat 21-22 buku ini, tentu mereka tidak termakan racun yang dihulurkan oleh Syiah.

Bahkan mereka akan memahami bahawa tujuan Imam-Imam Ahli Sunnah mengemukakan riwayat dari orang-orang yang dianggap sebagai Syiah itu ialah untuk menguatkan lagi apa yang dikemukakan oleh mereka didalam buku masing-masing, umpamanya Imam Bukhari hanya mengemukakan beberapa hadis sahaja dari gurunya Imam Ahmad, pada hal Imam Ahmad adalah seorang tokoh Ahli Sunnah yang sangat terkenal. Begitu juga dengan Imam Muslim, beliau hanya mengemukakan beberapa hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari gurunya, padahal Imam Bukhari diakui ketokohannya oleh semua golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Adalah salah sekali jika difahamkan daripada kenyataan diatas bahawa Imam Bukhari kurang percaya kepada riwayat-riwayat yang dikemukakan oleh gurunya iaitu Imam Ahmad. Begitu juga Imam Muslim tidak begitu percaya kepada riwayat gurunya Imam Bukhari, malah mereka lebih percaya kepada Syiah daripada tokoh-tokoh Ahli Sunnah.

Mereka bersikap demikian kerana bagi mereka tidak perlu dikemukakan riwayat-riwayat dari orang-orang yang sefahaman dan sudah diterima umum, kerana tentunya mereka sependapat dan mengeluarkan hadis-hadis yang serupa. Tetapi jika orang yang tidak sefahaman dengan seseorang mengeluarkan sesuatu hadis maka itu adalah satu bukti yang kuat untuk menunjukkan kebenaran hadis yang diriwayatkan itu.

Inilah rahsia kenapakah Imam-imam Ahli Sunnah Wal Jamaah menerima riwayat-riwayat dari orang-orang yang dianggap sebagai Syiah, Khawarij, Nasibi dan sebagainya dengan syarat-syarat tertentu. Diantaranya ialah riwayat-riwayat yang dikemukakan oleh golongan-golongan yang tersebut bukan menyokong fahaman mereka dan mereka pula ialah orang-orang yang tidak menyeru orang lain kepada fahamannya. Jika tidak, maka tentu sekali ulama'-ulama' Islam tidak menerima hadis-hadis yang diriwayatkan oleh ahli bid'ah seperti itu.

Ini adalah suatu yang disepakati oleh semua ulama' Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sumber : Syiah Rafidhah - Diantara Kecuaian Ulama' Dan Kebingungan Ummah Oleh Muhammad Asri Yusoff m/s 59-60

Tiada ulasan:

Catat Ulasan