Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 8 Mac: Umat Islam di negara ini perlu kembali kepada syariah Islam sepenuhnya dalam menjalani kehidupan agar kesejahteraan sosial, ekonomi dan politik dapat dinikmati dalam erti kata sebenar.
Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Ustazah Maznah Daud membuat saranan itu sempena sambutan 100 tahun Hari Wanita Sedunia 2011, hari ini.
Di samping itu, katanya perjuangan pembelaan hak wanita pula hendaklah selaras dengan apa yang digariskan oleh syarak iaitu untuk memartabatkan kedudukan wanita yang benar-benar sejahtera merangkumi kehidupan dunia dan akhirat.
“Keadaan ini akan hanya dapat dikembalikan apabila syariah Islam itu dilaksanakan sepenuhnya dan manusia menjalani kehidupan mengikut apa yang telah disusun oleh Allah SWT,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Beliau menambah, pembangunan potensi wanita mesti berasaskan kepada satu sistem nilai yang menyeluruh meliputi pengukuhkan jati diri yang juga merangkumi aspek aqidah dan pegangan hidup, akhlak, jasadiah dan insaniah.
Semua pihak, katanya perlu terus memberikan sokongan kepada kaum wanita untuk memajukan diri dalam bidang pendidikan agar wanita dapat sama-sama menyumbang dalam sektor pekerjaan.
Namun, tambahnya pada masa yang sama tidak mengambil kesempatan dan mengeksploitasi wanita dari sudut ekonomi dan kewangan.
Beliau turut menyatakan penilaian secara sepintas lalu dalam situasi Malaysia, menunjukkan bahawa kedudukan wanita di negara ini sudah jauh ke hadapan dari segi penglibatan mereka di dalam kerjaya dan pembangunan masyarakat serta negara.
Beliau berkatanya, ianya juga sekali gus menggambarkan polisi pendidikan negara dalam memberi peluang yang sama rata kepada kaum wanita untuk mendapat pendidikan, telah berjaya mendapat respon serta kesan yang positif daripada kalangan kaum wanita bagi membolehkan mereka meningkatkan keupayaan diri dan berdaya saing dalam kehidupan.
Katanya, jika kesaksamaan menjadi kayu ukur kejayaan yang diperjuangkan, dapat dilihat bahawa wanita di Malaysia telah berupaya menceburi dalam hampir kesemua bidang yang diceburi oleh kaum lelaki.
Namun demikian, ujarnya pada masa yang sama gejala sosial seperti penderaan, penindasan, keganasan, penipuan dan ketidakadilan terhadap wanita serta kanak-kanak terus berlaku dengan meluasnya.
“Tidak kurang juga mereka yang berpendidikan tinggi dan berjawatan tinggi yang turut terjebak di dalam gejala-gejala ini.
“Keadaan ini memberi gambaran bahawa kemajuan dan kejayaan material yang dicapai oleh kaum wanita masa kini yang tidak disertai dengan pembangunan spiritual tidak dapat menjamin dan tidak berupaya untuk melindungi diri mereka khususnya dan ahli masyarakat amnya dari segala bentuk ketidakadilan dan kekejaman,” katanya..
Menurutnya, walaupun wanita telah maju dari sudut pendidikan tetapi dalam banyak hal masih banyak indeks kesejahteraan wanita yang lemah.
Sekali gus, ujarnya ini menunjukkan bahawa perjuangan wanita yang hanya menekankan kesaksamaan gender di dalam semua bidang semata-mata berdasarkan pencapaian material, bagi meningkatkan martabat wanita dan mencapai keadilan tidak mencukupi untuk menjadi penyelesaiaan menyeluruh kepada isu yang dihadapi oleh wanita masa kini.
“Apa yang jelas, adalah kehidupan ummah pada masa kini dilihat makin jauh menyimpang dari landasan hidup syariah yang telah disusun oleh Allah SWT,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan