Posted on Tuesday, March 09 @ 03:18:04
Oleh DR LO' LO' MOHD GHAZALI
Kesibukan menguruskan kawasan parlimen dan juga menyantuni keluarga dekat dan jauh menyebabkan saya agak terlalai dengan kedatangan hari yang agak penting kepada kaum Hawa yakni Hari Wanita Sedunia yang jatuh pada 8 Mac setiap tahun. Banyak yang berlaku minggu ini. Keluarga terdekat yang perlukan pemeriksaan intensif Doktor Pakar Jantung, anak yang baru memulakan karier sebagai seorang Doktor Pelatih, anak menantu yang balik setelah merantau 6-7 tahun di negara orang, cucu yang semakin nakal dan menuntut perhatian, majlis perkahwinan anak saudara serta anak sahabat handai.
Kematian yang perlu diziarahi, orang sakit dan terlibat kemalangan yang perlu dilawati, mesyuarat2 dan perbincangan2 yang perlu dikuti, aduan2 rakyat yang perlu ditangani. Apatah lagi dengan ribut yang ditimbulkan beberapa rakan yang tiada daya tahan dalam perjuangan ditambah dengan goncangan serta kocakan dari pihak lawan yang menyerang kiri dan kanan.
Pagi2 saya telah menerima ucapan2 mendoakan kesejahteraan sempena Hari Wanita SeDunia hari ini 8 Mac. Saya percaya ramai wanita Malaysia yang tidak menyedari kerana sering diraikan pada 25 Ogos yang dikatakan sebenarnya adalah hari penubuhan wanita umno.
Itu bukanlah isunya disini, kerana saya kira ada banyak isu-isu yang perlu diambil perhatian dalam memperkatakan tentang wanita khususnya wanita Malaysia kini.
Kejadian pembuangan bayi, penderaan terhadap kanak-kanak sehingga maut, masalah ragut yang mencedera dan meragut nyawa, jenayah kekerasan rogol dan pemerkosaan terhadap wanita semakin menjadi2 dan menakutkan. Wanita sering menjadi mangsa, malah ahli keluarga sendiri boleh menjadi pemangsa.
Kejayaan dan penguasaan wanita dalam dunia pekerjaan juga kini dipersoalkan. Apakah hukum 'merit' tidak terpakai bila melibatkan kaum hawa? Wanita adalah gender yang rajin bekerja, sanggup berkorban dan sedia berkhidmat walaupun ada beberapa pengecualian.
Buktinya di Malaysia pusat2 Pengajian Tinggi terpaksa merendahkan markah kemasukan pelajar lelaki bagi menyeimbangkan peratus siswa dan siswi. Namun begitu dalam dunia pekerjaan wanita seringkali menghadapi dilema antara kepentingan karier dengan keutamaan keluarga.
Proses mengandung, melahirkan dan menyusukan anak sama mencabar dengan 'dateline' di pejabat. Malangnya proses fitrah ini dipersoalkan, sedangkan proses ini adalah merupakan sebahagian dari sumbangan wanita kepada negara iaitu melahirkan modal insan yang berkualiti.
Wanita muda sering terperangkap dengan proses biologi dan fitrah ini sehingga menjadi mangsa kepada kejahilan dan nafsu menggila yang tidak terkawal. Maka lahirlah sikecil yang tidak diperlukan dan dibenci.
Dibuang di tong2 sampah, dinyah dalam aliran sungai, ditinggalkan tepi surau dan to'kong. Dibakar, dipotong2 malah dicampak dari tingkat atas flat. Bayi tidak berdosa, yang berdosa adalah ibu dan jangan lupa bayi ini lahir dari benih seorang lelaki yang bernama bapa yang berdosa.
Kita sering lupa bahawa setiap bayi yang dicampak, bapanya ada diluar sana. Bapanya mungkin tahu mungkin tidak tahu atau memang tidak mahu ambil tahu. Disini peranan wanita sebagai ibu , sebagai guru penting untuk mengingatkan anak lelaki, pelajar lelaki bahawa setiap benih yang mereka tumpahkan dalam rahim wanita disitu ada kemungkinan akan tumbuh nyawa yang akan menuntut pembelaan.
Para bapa lagi amat penting dan sangat penting untuk menjadi tauladan kepada anak2 lelaki, mengingatkan mereka tentang kedudukan lelaki yang Allah martabatkan sebagai pelindung dan pemimpin kepada wanita dan zuriat mereka.
Kejadian pembuangan bayi yang berleluasa memerlukan pendekatan yang berbeza untuk ditangani. Sudah pasti sistem atau model (sibghah) yang dinukilkan melalui Kalimah Allah yang Maha Pencipta adalah yang terbaik.
Meskipun tanggung jawab membina keluarga adalah kewajipan yang perlu dikongsikan antara ibu dan ayah, namun realitinya wanita sendiri sebagai ibu menyanggupi peranan ini kerana naluri keibuan begitu tebal dan meruntun pengorbanan.
Kaum lelaki Allah beri peranan yang lebih besar dan lebih mencabar yakni memandu, menyara dan memastikan kesejahteraan keluarga dunia dan akhirat dibawah pengawasan dan pengurusannya. Perkongsian pintar ini akan menjana keluarga berkualiti yang merupakan unit2 kecil yang akan menghasilkan satu masyakat bertamaddun atau masyarakat madani.
Tunjang kepada pembentukan masyarakat madani adalah Taqwa atau takutkan Allah atau 'God Fearing'. Hanya dengan keyakinan ini rakyat Malaysia khususnya kaum wanita akan bangkit sebagai masyarakat yang bermaruah.
Masyarakat bermaruah akan memelihara alam sekitar walaupun sibuk membangun mengejar kemajuan fizikal. Masyarakat bermaruah akan menjernihkan kembali sungai2 kurniaan Ilahi yang dicemari sekian lama.
Masyarakat bermaruah menentang jenayah, keganasan dan kezaliman. Masyarakat bermaruah sudah muak dengan diskriminasi dan ketidak-adilan. Masyarakat bermaruah mengangkat martabat wanita sebagai ibu yang mendorong dan mendokong kemajuan seimbang antara fizikal dan kebangunan insan.
Masyarakat bermaruah jijik dan marah dengan rasuah yang merupakan musuh nombor 1 negara. Rasuah ibu segala penyelewengan, ketirisan dan kebocoran dalam sistem pemerintahan negara.
Rasuah menjadikan para suami dan ayah tidak rasa bersalah menghidangkan makanan dan minuman serta perbelanjaan keluarga yang subahat. Rasuah menjadikan pemimpin barang jual beli. "Beli 3 percuma 1" kata Ketua Penerangan PAS. Rasuah menjadikan pengikut barang gadaian.
Rasuah menghancurkan institusi keluarga dan membocorkan keselamatan negara. Wanita wajib menolak untuk disara dengan duit yang jelas tidak halal. Wanita mesti mempunyai kekuatan dan keberanian untuk menolak dan mencantas pemimpin berasuah walau banyak mana pun jasanya. Wanita mesti ada kesungguhan untuk menyatakan TIDAK kepada rasuah.
Namun rasuah di Malaysia ini seperti jualan arak di pasar2 raya. Ada kaunter bayaran barang tidak halal, ada restoran tidak halal. Ada cafe/kopitiam yang jelas tidak halal dan dijauhi oleh Muslim. Ada juga kaunter halal dan restoran halal atau hotel halal, tapi arak dijual beli disitu, dihidang dan dipamirkan.
Ada peminat dan peminumnya yang alpa atau sengaja melupakan hukum haramnya sebab lazat dan sudah biasa. Begitu juga rasuah, peringatan Allah dan RasulNya tentang hukum pemberi dan penerima rasuah ditinggalkan begitu sahaja di mimbar2 masjid. Diluar masjid urusan beri dan terima rasuah terus subur hingga menjunamkan indeks persepsi rasuah negara.
Wanita mungkin dilaungkan dengan gagasan2 hebat sempena Hari Wanita Sedunia hari ini, namun barangkali apa yang diperlukan hanyalah sedikit keinsafan yang lahir dari hati yang suci hasil dari peringatan yang ikhlas, memanjangkan risalah Rasulullah SAW: "Qu anfusakum wa ahliikum naaro". Peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka.
Salam kasih sayang dari wanita kepada wanita,
Kami Prihatin 'We Care'
Tiada ulasan:
Catat Ulasan