Pengalaman Bersama Ustaz PAS
Sekitar tahun 1994, pihak pengurusan pejabat tempat aku bekerja mengarahkan aku memerhatikan perjalanan Kursus Khas Untuk Nelayan,di satu tempat di Kuala Terengganu. Satu syarikat di pilih untuk mengendalikan kursus berkenaan. Bila aku sampai di Pusat Latihan berkenaan barulah aku tahu bahawa kursus berkenaan dikendalikan oleh syarikat milik seorang ustaz yang memang terkenal di Lembah Kelang sebagai seorang Penceramah Bebas. Pada ketika itu beliau menyandang Yang DiPertua PAS di satu daerah di Lembah Kelang. Kedatangan aku di sambut baik oleh ustaz beserta beberapa orang temannya yang juga sebagai fasalitator kursus berkenaan. Aku amat memahami kerana ramai teman-teman di pejabat aku adalah penyokong kuat Parti Pas selain itu sebahagian ahli keluarga aku di Kedah pun sememangnya orang kuat parti berkenaan.
Sepanjang perjalanan kursus berkenaan, peserta diterapkan dengan aktiviti kerohanian. Malah setiap peserta diwajibkan untuk solat 5 waktu. Setiap habis Solat Maghrib dan Suboh akan diisi dengan kuliah agama.Sesudah solat akan di isi dengan zikir munajat yang sememangnya terkenal waktu itu. Aku juga tidak ketinggalan diberi beberapa tugas mengendalikan beberapa program yang bersesuaian. Aku melaksanakanya dengan baik alhamdulillah. Sebagaimana biasa aku menjaga amalan infradi dan istimai’ aku di sepanjang masa berada di sana. Setiap petang aku akan berada di satu bangku di tepi padang menghabis zikir petang aku sambil biji tasbih aku sembunyikan di dalam baju. Bukannya apa kadang-kadang segan juga dengan ustaz tu dan teman-temannya. Selepas Suboh sebelum sarapan aku akan menyempurnakan Solat Israq dan pada waktu rehat jam 10.00 pagi aku akan Solat Dhuha. Selepas Solat Insya apabila habis aktiviti kursus aku akan habiskan bacaan quran aku. Besoknya pula jam 4.30 pagi aku dah bangun dan menghabiskan sedikit masa di dalam surau di Pusat Latihan berkenaan. Amalan itu sememangnya di ajar semejak keluar 3 hari pertama aku bersama Jemaah Tabligh sewaktu dibangku sekolah lagi
Sebahagian masa malamnya kekadang ustaz dan teman-temannya akan membawa aku minum di warong di sekitar Kuala Terengganu. Di dalam perjalanan ke warong, di dalam kereta biasanya akan dipasang kaset-kaset ceramah Ustaz Haji Abd.Hadi dan kekadang Tuan Guru Nik Aziz yang memangnya pun aku suka dengan ceramah mereka. Ketika berada di warong, macam biasa cerita yang sering keluar di dalam berbualan adalah berkaitan politik semasa. Aku lebih banyak mendiamkan diri sahaja. Cuma sesekali akan bercerita itu pun kakuzari (laporan ) pengalaman ketika keluar dan hal ehwal semasa Jemaah Tabligh. Bila aku bercerita, mereka semua ambil perhatian serta rasa hurmat terhadap aku. Tidak ada seorang pun yang bangkang malah semuanya menyetujui apabila aku bercerita termasuklah ustaz tersebut.
Rupanya tindak tanduk aku sepanjang perjalan kursus berkenaan diperhatikan oleh mereka. Setiap amalan yang aku buat rupanya mereka ambil perhatian lebih-lebih lagi bangun di awal pagi ke surau. Pernah ustaz bertanya kepada aku, “ macamana anta boleh istiqamah Solat Tahajud ? soalnya lembut sewaktu keluar dari surau. “Biasa je ustaz, kadang-kadang tertinggal juga. Bukannya kuat sangat ana ni”, jawab aku dengan sikit tawadhuk menghurmati dia sebagai ustaz.”Tapi ana ni lagi le lemah jarang sangat boleh buat Tahajud, kekadang suboh berjemaah pun terlepas semedang”, katanya lagi. Aku diam je tak jawab apa.apa.
Bila tamat kursus dan mahu pulang ke Kuala Lumpur, rupanya penerbangan aku dari Lapangan Terbang Kuala Terangganu ke KLIA sama dengan ustaz berkenaan. Kami bersama-sama dan confirmkan tiket pun sama dan tempat duduk kami pun sebelah menyebelah. Ketika di lapangan terbang sewaktu minum dengan beliau, beliau menceritakan kisah beliau macamana beliau boleh terlibat dengan Parti PAS. Ceritanya bagaimana beliau mula mendapat hidayat yang sebelum itu beliau seorang yang terlalu jauh dari agama sehingga beliau menagis terisak-isak menahan sebak. Aku pun turut sedih mendengar ceritanya. Katanya pada aku,”Anta alhamdulillah dapat hidayat awal, tidak seperti ana yang lewat dapat hidayat.” Sewaktu di dalan pesawat dia menyambung lagi ceritanya dan kemudian ia menggenggam tangan aku seraya berkata” Wallahi syeikh usaha Tabligh yang anta buat adalah usaha yang benar, anta teruskan. Ana ni jiwa kasar sedikit mungkin sebab tu ana duduk di dalam Jemaah PAS.” Bila aku dengar kalimat ini yang keluar dari bibirnya beserta pula bersumpah dengan nama Allah airmata aku tak tertahan lagi mencurah keluar dari klopak mata aku. Rasa hiba betul, seorang ustaz yang kuat dengan Jemaah PAS mengeluarkan kata-kata sedemikian.
Selang beberapa hari kemudian, beliau datang ke pejabat aku hanya semata-mata ingin bertemu dengan aku. Setelah berjumpa kami berpelukan dan kedatangannya berjumpa aku semata-mata ingin memastikan hadith yang pernah aku cerita semasa kat Kuala Terengganu tempoh hari. Selepas 12 tahun pertemuan aku dengan ustaz tersebut, sewaktu tinggal di Seremban teman marhalah aku yang nak keluar 40 hari ke Sabah, transit keluar 3 hari di satu masjid di Kuala Lumpur, katanya ustaz berkenaan sewaktu selesai memberi kuliah Maghrib di situ duduk dan makan bersama jemaah sambil menasihati jemaah untuk istiqamah dalam usaha Jemaah Tabligh.
Moral dari cerita ini.
Banyak ustaz-ustaz yang aktif di dalam Jemaah Islam sebenarnya suka dengan Jemaah Tabligh. Ada dikalangan mereka amat-amat menyokong usaha yang mulia ini. Sebagai contoh keluarga Syeikh Nuruddin Marbu Al Makki Al Banjari kebanyakannya adalah karkun kuat di Indonesia. Sewaktu Penulis berada di Jakarta penulis sempat bertemu dengan adek beliau Ustaz Suffian yang kini berada di Yaman.Selain itu pengasas Jemaah ABIM Ustaz Ghazali Bangi pun telah keluar beberapa kali 40 hari bersama Jemaah Tabligh. Bila salah seorang orang kuat ABIM Senawang bertanya,”sebab apa ustaz keluar Tabligh?” Katanya,” saya ingin betulkan amal di dalam Jemaah Tabligh”. Yang bertanya itu pun telah keluar beberapa kali 3 hari bersama-sama dengan penulis
Kalau ada ustaz-ustaz yang mengkritik, anggaplah mereka belum mendapat maklumat yang jelas tentang usaha ini. Mungkin juga sikap sesetengah kita yang tak pandai mengambil hati ditambah lagi dengan akhlak burok sesetengah karkun.
Wallahua’lam
sumber : al alorstari
Tiada ulasan:
Catat Ulasan