Kes Hina Nabi - Apa faedah berdemo?

Kisah orang kafir hina Nabi kita sudah bermula sejak Nabi Muhammad diutuskan menjadi Rasul lagi. Dalam Al-Quran sendiri ada menyatakan bagaimana orang musyrik menuduh Nabi sebagai orang gila dan sebagainya.

Dalam pada itu, apakah tindakan Nabi terhadap mereka yang menghinanya. Secara umumnya Nabi kita hanya meneruskan usaha dakwah dan memantapkan jemaahnya walau apapun yang dilakukan oleh orang kafir. Orang kafir menghalang dan memburukkan Nama Nabi Muhammad pada semua orang yang datang ke Mekah.

Mereka memberi amaran agar orang ramai jangan mendengar apa yang Nabi kata. Kononnya Nabi ada sihir dan siapa yang mendengarnya akan terpukau. Ada juga tuduhan kononnya Nabi tak siuman dan tak perlu mendengar segala kata-katanya.


Akibat promosi negatif besar-besaran orang musyrik terhadap Nabi, perkara sebaliknya berlaku. Orang rasa tertarik mahu mendengar ajaran Nabi. Orang juga teringin untuk mengetahui apa sebenarnya yang ditawarkan oleh nabi.

Jika ada tindakan yang membuatkan Nabi bangun membantah dengan kekerasan, adalah jika ada aduan daripada orang lain yang diambil haknya oleh orang jahat. Contohnya bila Nabi bergegas ke rumah Bapa Saudaranya yang celaka itu, mengarahkan Bapa Celaka tersebut mengembalikan hak seorang pemuda yang telah ditipu. Maknanya Nabi akan bangun memperjuangkan hak orang yang secara terang-terang ditindas.

Jika kita bertanya, apa agaknya tindakan Nabi jika ada orang dizamannya melakonkan pementasan yang menghinanya seperti mana yang terjadi dalam lakonan menghina Nabi yang sedang panas sekarang, tentu jawapannya berbagai.



  • Ada yang berpendapat mungkin ketika kita lemah, lebih baik bersabar dan meneruskan kerja membina kekuatan kita sehingga kita mampu menyerang musuh yang menghalang kerja-kerja dakwah.
  • Mungkin ada juga yang berpendapat, kita perlu bangun meluahkan ketidak puasan hati agar orang jahat mendapat mengajaran daripada apa yang telah mereka lakukan. Kita perlu mengajar mereka agar tidak lagi melakukan kerja kurang ajar seperti itu di masa hadapan.

Samada berdiam diri atau bertindak seperti berdemo yang sedang kita lakukan sekarang, matlamatnya hanya satu agar umat Islam tidak dipandang lemah dan boleh disakitkan hati sesuka hati. Namun saya yakin perkara seperti yang berlaku sekarang akan tetap berlaku dan terus berlaku.



Apa yang nampaknya tidak pernah lagi berlaku adalah keupayaan umat Islam membina kekuatan demi kekuatan yang mampu menggerunkan orang kafir. Sebab itulah penghinaan demi penghinaan terus berlaku semakin lama semakin kerap dan semakin menjijikkan.



Bagaimanakah kita mampu membina kembali kekuatan umat Islam dalam keadaan dunia yang cukup mencabar sekarang? jawapannya adalah semua umat Islam perlu kembali kepada perkara asas, mantapkan rasa perhambaan diri kita hanya pada Allah semata-mata. Dan kita boleh mula melakukannya sekarang juga bermula pada diri kita sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan