Kabinet: Pertahanan lawan Mahathir, Muhyidin dan Anwar



Harakahdaily,16 Mei 2013
KUALA LUMPUR: “Ini adalah barisan kabinet untuk (Datuk Seri) Najib menyediakan pertahanan terhadap serangan (Tun) Dr Mahathir, (Tan Sri) Muhyiddin dan (Datuk Seri) Anwar.”

Demikian kata sumber Umno ketika mengulas barisan kabinet baru yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak petang semalam.

Bagi beliau, barisan kabinet yang diumumkan Najib ini  bukannya dipilih untuk menjaga negara mahupun rakyat.

“Ia untuk menjaga kedudukannya sebagai Presiden Umno. Pertahanan rapi diletak terutamanya perlantikan Khairy (Jamaluddin) dan Abdul Rahman Dahlan sebagai anggota kabinet yang berani mengkritik (bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir apabila perlu,” kata sumber Umno kepada Harakahdaily.

Barisan kabinet ini juga kata beliau, dibuat untuk mengekang kemaraan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada mencabar Najib sebagai Presiden Umno.

“Najib tahu dan ingat bagaimana Tun Abdullah diturunkan dari takhta. Masa itu, Muhyiddin yang mulakan serangan dulu. Kini, Najib lebih berhati-hati. Muhyiddin sudah tentu dapat menghidu gerakgeri Najib kerana beliau hanya dikekalkan Menteri Pelajaran,” kata sumber Umno itu lagi.

Kata sumber Umno itu, beliau menjangkakan pelantikan P Waythamoothy, pemimpin Hindraf bakal mengundang bala kepada Najib.

“Perkasa India dengan Perkasa Melayu – sudah tentu akan berbalah – tunggulah ledakannya,” kata beliau.

Bagaimana pula Najib cuba menghalang Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim?

“Untuk mengambilalih Malaysia daripada BN, Pakatan Rakyat perlukan Sabah dan Sarawak. Dalam Kabinet terbaru ini Najib melantik 13 menteri dan lapan timbalan menteri daripada Borneo – satu anjakan yang amat besar jika dibandingkan dulu.

"Ini untuk menyekat Anwar untuk mendapatkan sokongan ahli-ahli parlimen di Sabah dan Sarawak dan mengekalkan dua negeri tersebut sebagai fixed deposit BN,” jawab sumber Umno itu.

Harakahdaily juga sempat bertanya apakah muslihat di sebalik tindakan MCA dan Gerakan yang enggan memasuki kabinet.

“Ego tak bertempat dan macam budak-budak kononnya ingin mengajar kaum Tionghua mengenai pilihan mereka. Kaum Tionghua sanggup undi parti PAS yang perjuangkan Islam dan tak mahu MCA dan Gerakan, apa lagi nilai yang ada pada mereka?

"Yang pasti kabinet Najib kali ini melambangkan kematian BN secara tidak rasminya. BN sekarang secara rasminya hanya Umno dan PBB. Yang lain dah berkubur. Umno menjadi PAS 30 tahun yang lalu – yang tidak boleh menang di kawasan bandar tanpa sokongan bukan Islam,” terang sumber Umno itu.

Harakahdaily sempat bertanya, “Apakah ini bermaksud persempadanan semula kali ini akan banyakkan kerusi di kawasan pendalaman?”

“Ya. Tapi saya rasa akan makan tuan. 5 tahun ini lama. Masa itu semua dah berinternet. Melainkan Umno nak kekal masyarakat tanpa internet.

"Dalam PRU13, Umno kena sedar, ia adalah pilihan raya masyarakat berinternet menolak mereka secara total bukannya tsunami orang Cina. Anak muda berinternet tolak BN secara total.

"Lukislah sempadan macam mana pun, tiada siapa yang boleh ramal, tsunami anak-muda berinternet ini akan tiba dan meresap di kampung-kampung dan kawasan Felda – 5 tahun ini lama, susah BN dan SPR nak kawal tsunami ini walaupun dengan persempadanan semula,” tegas beliau sebelum telefon terputus.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan