'Kolot' dan Ketua Menteri baru Melaka



Ahmad Tajdid,16 Mei 2013
RAMAI ahli politik yang dikenali dengan nama timang-timangan. Sebut saja Mat Bulat, Mike Tyson, Samy Tol, Mat Sembab, Six Million Dollar Man dan macam-macam lagi, kita sudah dapat mengasosiasikan gelaran itu dengan siapa dan tokoh politik mana.

Samalah juga dengan Ketua Menteri Melaka yang baru, Dato' Seri Ir Idris Haron. Rakan-rakan sekelasnya di Sekolah Menengah Sains Melaka (kini Sekolah Muzafar Shah) memanggilnya 'kolot'.

Menurut Kamus Dewan, 'kolot' bermaksud kuno, cara lama (tidak moden), ketinggalan zaman. Jika merujuk kepada kaum, kolot bermaksud "golongan orang yang berpegang kuat kepada adat resam kuno".

Dalam satu pertemuan santai dengan rakan-rakan sekelasnya di kantin Sekolah Muzafar Shah beberapa tahun lalu, Idris menceritakan kembali asal usul gelaran 'kolot' yang diterimanya.

Cerita Idris, beliau bukanlah dari kalangan keluarga berada. Ayahnya seorang anggota polis kategori lain-lain pangkat. Kesempitan hidup ekoran gaji kecil ayahnya menjadikan keluarga itu berjimat sedapat mungkin. Seringkali baju dan seluar milik ayahnya diwariskan kepada beliau. Sememangnya baju dan seluar yang diwarisi daripada ayahnya itu tidak 'trendy' jauh sekali padan dengan saiz badannya. Ekoran itulah Idris dipanggil 'kolot' oleh rakan-rakannya.

Pada pertemuan itu, Idris juga mendedahkan rahsia yang tersimpan lama. Hanya beliau dan dua tiga orang rakannya sahaja yang tahu bagaimana mereka telah masuk ke bilik penjumlahan mata' dan mengubah jumlah mata yang diperolehi rumah-rumah sukan yang bertanding. Tindakan Idris itu membolehkan rumah sukan yang diwakilinya menang pada temasya sukan sekolah tahun itu.

Harap-harap, Idris tidak berkonspirasi pula mengubah jumlah perolehan undi dalam siri pilihan raya yang disertainya sehingga membolehkan beliau dilantik Ketua Menteri sekarang.

Itu kisah lama Idris. Kisah yang berlaku pada zaman remajanya. Namun setelah lama berkecimpung dalam politik dan kini mengetuai kerajaan negeri, diharap 'kenakalan' itu ditinggalkan beliau. Sebagai generasi baru dalam arena politik negeri, diharap Idris dapat meninggalkan perangai kolot dan 'politik samseng' bekas Ketua Menteri sebelum beliau.

Imej Dato' Seri Mohd Ali Rustam yang gemarkan konfrontasi itu wajar dihindari Idris. Lihat sahajalah komen Ali Rustam yang mencerca pengundi Cina di kawasan Parlimen Bukit Katil setelah tewas di tangan pencabarnya, Shamsul Iskandar Mat Akin yang juga Ketua Angkatan Muda KeADILan.

Mohd Ali juga sering mengganggu program ceramah anjuran PAS dan Pakatan Rakyat. Bukan menjadi satu keganjilan untuk Mohd Ali mencacak khemah dan berceramah di hadapan 20 ke 30 orang pendengar asalkan ia boleh mengganggu ceramah PAS dan Pakatan Rakyat yang dihadiri ribuan pendengar di lokasi berhampiran (kadang-kadang hanya dipisahkan oleh jalan raya).
Bagaimanapun harapan untuk Idris meninggalkan politik kolot dan konfrontasi mentor politiknya itu sedikit tercalar apabila beliau melemparkan tuduhan tidak berasas kepada Adun PAS Bukit Baru, Dr Md Khalid Kassim.

Belum pun Dr Khalid mengangkat sumpah jawatan sebagai Adun, Idris menuduh Adun PAS itu cuba merampas pejabat Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Bukit Baru. Malah Idris dipetik akhbar Berita Harian bertarikh 11 Mei 2013 mendakwa "PAS sedang mengintai Dewan Tun Ali dan Masjid Saidina Ali" yang terletak dalam Dun Bukit Bharu. Dun Bukit Bharu adalah salah satu Dun di bawah kawasan Parlimen Bukit Katil.

Menafikan tuduhan Idris itu, Dr Khalid yang juga bekas Timbalan Pengarah Hospital Melaka berkata, tidak wujud arahan daripada PAS kawasan untuk merampas bangunan-bangunan yang dinyatakan Idris.

"Laporan itu juga menunjukkan bahawa saya langsung tidak mengetahui prosedur dan peraturan yang perlu dipatuhi sebagai wakil rakyat. Saya yakin laporan itu berniat jahat dan cuba memburukkan imej saya sebagai Adun. Saya dan PAS kawasan menafikan sekeras-kerasnya laporan akhbar berkenaan," kata Dr Khalid kepada Harakah.

Sehubungan itu, wakil tunggal PAS di Dun Melaka itu menggesa Idris dan Berita Harian memohon maaf dan menarik laporan fitnah itu dalam tempoh tujuh hari sebelum mengambil tindakan mahkamah.

Bagi membuka lembaran baru politik Melaka yang lebih harmoni, mesra dan konstruktif, elok rasanya buat Idris untuk memohon maaf dan tidak mengulangi kesilapan pemimpin terdahulu.

Sebagai anak jati Melaka, tentu Idris lebih dekat dengan budaya Melayu Melaka berbanding Mohd Ali yang berdarah campuran Pakistan-Melayu. Tunjukkanlah sikap Melayu sebenar yang kaya dengan budi dan bahasa. Tinggalkan politik kolot dan konfrontasi yang tidak memberi sebarang faedah kepada anak bangsa dan negeri.

Yang kurik itu kendi
Yang merah itu saga
Yang baik itu budi
Yang indah itu bahasa

Tiada ulasan:

Catat Ulasan