Wakil industri: Chef Wan harus lebih matang
- | 1:29PM Mac 23 2014
- Cemuhan demi cemuhan menimpa seorang selebriti masak-memasak Datuk Redzuan Ismail ekoran tindakannya memuat sekeping gambar di Internet untuk berjenaka mengenai kes kehilangan pesawat MH370.
Redzuan atau lebih dikenali dengan mama Chef Wan menerima kritikan selepas memuatkan gambar beliau yang beraksi memegang sekeping objek logam di satu kawasan di tepi laut.
Kritikan itu terus timbul selepas beliau membuat penjelasan di laman Istagram bahawa ia bertujuan untuk berjenaka dan juga untuk melihat reaksi media dan orang ramai.
Antaranya, Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) yang mahu Redzuan bersikap lebih matang, sensitif dan tidak mengambil kesempatan ke atas isu pesawat MH370 yang hilang.
Laporan Berita Harian memetik kenyataan Presiden Gafimm, Jurey Latiff Rosli sebagai berkata, Redzuan sepatutnya tidak mencetus kontroversi baru ketika “orang ramai sedang berduka” ekoran kes kehilangan pesawat berkenaan.
“Apabila terjadi keadaaan seperti ini, ia hanya akan mewujudkan perbalahan dan saling menuding jari antara satu sama lain," katanya seperti dipetik dalam laporan Berita Harian.
Sementara itu, ketua pegawai eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim turut menyatakan kekecewaan ke atas tindakan Chef Wan, yang juga Duta Ikon Pelancongan Masakan Malaysia itu.
"Beliau seharusnya lebih matang dan sensitif mengenai isu ini. Tidak seharusnya memberikan kenyataan yang akhirnya mencetuskan perbalahan dan kontroversi.
"Saat rakyat sedang bersedih dan menunggu khabar berita mengenai kehilangan pesawat MH370, tiada sesiapa harus mempersendakan tragedi ini lebih-lebih lagi selebriti yang ada reputasi dan nama besar seperti Datuk Chef Wan," katanya dalam laporan itu.
Dalam gambar asal, Redzuan memuatkan satu keterangan yang dibuat-buat – menyatakan bahawa objek di tangannya itu bukan pintu kapal terbang tetapi hanyalah sebahagian daripada struktur tandas rumah.
“Dua objek di Perth dan satu ini saya ingatkan adalah sebahagian pintu kapal terbang. Setelah diteliti, rupa-rupanya ia hanyalah sebahagian dari pintu jamban Cik Kiah di Pantai Morib yang sudah usang rupanya. Adoi frustnya (kecewa)," katanya seperti dimuatkan di laman Instagram.
Tidak dapat dipastikan buat masa ini sekiranya "Cik Kiah" itu merujuk kepada individu tertentu.
Dalam kenyataan seterusnya di Instagram dua hari lalu, Redzuan menjelaskan bahawa ia adalah satu jenaka bagi melihat reaksi rakyat Malaysia yang didakwanya suka melatah.
“Rupa-rupanya saya betul, memang orang Malaysia ini suka mencari sebab untuk memburukkan orang, walaupun ia dibuat supaya orang ketawa pada jenaka bodoh itu.
“Baik, apa pun saya terima akibat tindakan ini kerana saya buat dengan sengaja dan sememangnya saya berjaya (membuktikan jangkaan),” katanya.
-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan