Kak Wan: 'Langkah Kajang' kini terbukti
-
- | 9:54PM Mac 23 2014
- Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan kejayaannya mengekalkan kerusi DUN Kajang sebagai bukti keberkesanan strategi 'Langkah Kajang'.
Menurutnya, kemenangannya hari ini "lebih manis" kerana majoriti kemenangan disumbangkan oleh pengundi dari muda daripada saluran 5, 6 dan 7.
"Sudah tentu ia (Langkah Kajang) berkesan kerana kita lihat pengundi muda telah memberikan kita keyakinan yang menjadikan 'Langkah Kajang' berjaya.
"Saya bersyukur kerana kemenangan ini begitu manis sekali," kata Wan Azizah pada sidang media di pusat pengiraan undi, malam ini.
'Langkah Kajang' itu merujuk kepada strategi PKR untuk membolehkan pilihan raya tersebut diadakan dan seterusnya bagi menawan Putrajaya.
Wan Azizah juga berkata, jenteranya mendapati sokongan meningkat di kalangan pengundi muda Melayu, yang menurutnya menunjukkan trend positif.
Faktor itu juga menyumbang kepada kemenangan PKR di peti undi Sungai Sekamat dan Taman Delima yang sebelum ini dikuasai merupakan kubu kuat Umno, katanya.
Mengulas perkara sama, ketua pembangkang Datuk Sri Anwar pula berkata kemenangan itu menyaksikan golongan Melayu yang menyokong BN pada pilihan raya umum lalu telah kembali kepada Pakatan Rakyat.
"Kelazatan kemenangan ini juga mempertahankan sokongan kaum lain dan mendapat majoriti Melayu di kawasan ini.
"Majoriti Melayu sekarang memilih bersama Pakatan Rakyat," kata Anwar yang pada asalnya dinamakan PKR untuk bertanding di Kajang.
Wan Azizah yang mewakili PKR menangpilihan raya kecil Kajang dengan majoriti 5,379 undi.
PKR mendapat 16,741 undi manakala BN pula mendapat 11,362 undi.
Seramai 28,314 atau 72 peratus keluar mengundi pada pilihan raya hari ini.
-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan