YANG MASIH PANAS...

“Qawaid Maqasidiyyah” Imam Syatibi Dalam Hukum Perkaitan Antara Tiga “Maqasid Syariah”

Takrif Maqasid Syariah

Ulamak-ulamak terdahulu yang membincangkan tentang maqasid tidak pun mentakrifkan maksud maqasid. Bahkan, Syeikhul Maqasid, Imam as-Syatibi sendiri tidak pun memberikan takrifan khas mengenainya. Boleh jadi, sebab kenapa mereka tidak mentakrifkan maqasid adalah kerana perkara ini sudah pun makruf di kalangan mereka. Beberapa ulamak sekarang cuba mentakrifkan makna maqasid. Dr. Ahmad ar-Raisuniyy telah mentakrifkannya sebagai:
إن مقاصد الشريعة هي الغايات التي وضعت الشريعة لأجل تحقيقها لمصلحة العباد
“Maqasid Syariah ialah tujuan (sebenar) yang ingin dihasilkan bagi ketetapan hukum Syarak (dengan tujuan) untuk kemaslahatan manusia”[2].

Dan mempelajari maqasid Syariah merupakan perkara yang sangat penting, terutamanya kepada para fuqaha’, kerana ia merupakan syarat untuk berijtihad. Orang yang tidak memahami maqasid Syariah pula dibimbangi akan memahami Syariah bukan dengan kehendak Syariah.

Pembahagian Maqasid Syariah Kepada Tiga Bahagian

Tingkatan maqasid Syarak dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu “dhoruriyyat”, “hajiyyat” dan “tahsiniyat”[3]. Menurut Dr Yusof al-Alim[4], pembahagian maslahah kepada tiga bahagian ini sebenarnya adalah perkara ijtihadi dan muncul selepas zaman sahabat, tabien dan juga para imam mazhab. Dan dalil kepada pembahagian maslahah ini kepada tiga bahagian ini ialah istiqra’ (kaji selidik) para ulamak. Ini kerana, setelah mereka memerhatikan nas-nas syarak, samada nas juz’iy atau kulliy, nas am, mutlaq dan muqayyad, mereka dapati semua nas tersebut beredar dalam menjaga tiga perkara tadi[5]. Sekalipun pembahagian ini adalah perkara ijtihadi, namun ia adalah satu perkara yang qath’ie. Ini kerana ia merupakan asas agama, dan asas agama adalah satu perkara yang qath’ie yang tidak berubah. Berkata Imam Syatibi: “Kedudukan Syarak menjaga tiga asas, iaitu “dhoruriyy”, hajiyy dan tahsiniyy mestilah berdasarkan kepada dalil. Dan dalil itu, samada dalil zhonni atau dalil qathie. Dan kalaulah ia dalil yang zhonni, maka ia adalah batil, kerana ia merupakan satu asas daripada asas-asas Syariah, bahkan ia merupakan asas kepada asas-asasnya (Syariah). Dan asas-asas Syariah adalah satu perkara yang qathie…[6]

Takrif Dhoruriyyat

Imam Syatibi mentakrifkan “dhoruriyyat” dengan katanya[7]:
فأما الضرورية فمعناها أنها لا بد منها في قيام مصالح الدين والدنيا بحيث إذا فقدت لم تجر مصالح الدنيا على استقامة بل على فساد وتهارج وفوت حياة وفي الأخرى فوت النجاة والنعيم والرجوع بالخسران المبين

Ertinya: “Dhoruriyyat itu ialah satu perkara yang menjadi kemestian dalam kehidupan manusia samada dalam perkara keagamaan ataupun keduniaan, sekira-kira jika ia tiada nescaya tidak akan berjalan kemaslahatan dunia itu dengan baik, bahkan akan berada dalam kerosakan, kacau bilau dan hilangnya kehidupan. Dan di akhirat pula hilangnya kejayaan dan kenikmatan serta kembali dengan kerugian yang nyata dengan mendapat azab”.

Dhoruriyyat itu terhimpun dalan lima perkara, iaitu menjaga agama, nyawa, keturunan (termasuk maruah), akal dan juga harta. Dan menjaga kelima-lima perkara ini adalah satu perkara yang disepakati oleh seluruh umat Islam, sekalipun tiada nas yang khusus menyatakannya. Ini kerana kesemua nas Syarak menunjukkan demikian, dan ilmu tentangnya adalah ilmu yang “dhoruri” bagi umat Islam[8].

Contoh dhoruriyyat dalam hal menjaga agama ialah disyaratkan akidah, asas-asas ibadat seperti solat, puasa, haji dan sebagainya. Cara menjaganya pula ialah dengan suruhan berdakwah kepada akidah tersebut, memfardhukan jihad, dan mengenakan hukuman terhadap orang yang murtad. Dalam hal menjaga nyawa pula disyariatkan tanggung jawab menjaga diri, larangan menjatuhkan diri ke arah kebinasaan dan mengenakan hukuman qisas terhadap si pembunuh. Dalam hal menjaga keturunan dan maruah pula disyariatkan perkahwinan dan pengharaman zina serta hukuman terhadap pelakunya. Dalam hal menjaga akal pula, disyariatkan belajar dan pengharaman setiap yang memabukkan serta hukuman terhadap peminum arak. Dalam hal menjaga harta, disyariatkan jual beli dan sebagainya dan pengharaman memakan harta orang lain dengan cara yang batil, pengharaman mencuri serta hukuman terhadapnya.

Takrif Hajiyyat[9]

Hajiyyat pula satu perkara yang sangat diperlukan oleh manusia untuk tujuan kesenangan dan menghilangkan kesusahan mereka, yang mana bila ia tiada, maka akan timbullah kesusahan dan masyaqqah. Tetapi kesusahan yang hasil daripada ketiadaan hajiyyat ini tidaklah sampai kepada tahap kesusahan yang terhasil dengan hilangnya dhoruriyyat tadi. Hajiyyat ini ada dalam semua keadaan samada ibadat, adat, muamalat dan juga jinayat. Contoh bagi hajiyyat dalam ibadat ialah rukhsah-rukhsah yang diberikan untuk memudahkan kita semua, seperti keharusan qasar solat dan sebagainya. Contoh dalam bukan ibadat pula ialah seperti diharuskan jual salam, tempahan dan seumpamanya. Juga diharuskan perceraian untuk melepaskan daripada ikatan perkahwinan yang musnah.

Takrif Tahsiniyyat[10]

Tahsiniyyat pula ialah satu perkara yang menjadikan kehidupan manusia berada dalam keadaan adab yang cukup tinggi dan akhlak yang baik, iaitu dengan mengambil perkara-perkara yang baik-baik daripada kehidupan dan meninggalkan benda-benda yang kotor yang tidak diterima oleh akal yang baik. Ia terkumpul dalam kemuliaan akhlak. Contoh bagi tahsiniyyat dalam ibadat ialah bersuci, menghilangkan najis, menutup aurat dan sebagainya. Ia juga terdapat dalam semua keadaan, samalah seperti dhoruriyyat dan juga hajiyyat. Berdasarkan keterangan ini, jelaslah wujudnya tingkatan dalam hukum-hukum taklif dalam Syariah Islam, dan ia bukanlah dalam satu peringkat yang sama, samada suruhan ataupun larangan.

Pelengkap Kepada Maslahah-Maslahah Yang TigaSetiap daripada maqasid yang tiga ini iaitu “dhoruriyyat”, “hajiyyat” dan “tahsiniyyat”, ada pelengkapnya yang diistilahkan sebagai “mukammil”. Pelengkap-pelengkap ini disyariatkan untuk mencapai maqasid-maqasid tersebut dengan penuh kesempurnaan dan mengukuhkan penjagaan terhadapnya. Kalaulah pelengkap ini tiada, maka ia tidaklah membawa kepada hilangnya maqasid tersebut, sekalipun ia mungkin menjejaskan kesempurnaan maqasid tersebut. Maqasid-maqasid ini sering juga disebut sebagai “mukammal” (yang dilengkapkan) bila digandingkan dengan pelengkap yang disebut sebagai “mukammil”.

Sebagai contoh, dalam perkara “dhoruriyyat”, disyariatkan azan dan solat berjemaah sebagai “mukammil” kepada asal pensyariatan solat. Setelah perkahwinan disyariatkan untuk menjaga nyawa dan keturunan, disyariatkan juga “kafa’ah” (persamaan taraf) antara pasangan suami isteri, sebagai “mukammil” kepada pensyariatan perkahwinan tersebut, dengan tujuan untuk lebih mengekalkan kebahagiaan mereka berdua, samalah seperti pensyariatan melihat kepada bakal pasangan. Pengharaman zina pula ialah alat untuk menjaga keturunan (dan juga maruah), maka disyariatkan juga pengharaman perkara-perkara yang boleh membawa kepadanya, sebagai “mukammil” kepada pengharaman zina tersebut. Kerana inilah Islam mengharamkan berdua-duaan dengan pasangan yang bukan mahram, pergaulan bebas, melihat kepada perempuan dengan syahwat dan sebagainya. Begitulah juga, setelah Syariah mengharamkan arak dan dikenakan hukuman hudud kepada peminumnya sebagai alat untuk menjaga akal, disyariatkan juga pengharaman kepada meminum sedikit (yang tidak memabukkan) daripada arak sebagai “mukammil” kepada pengharaman tadi. Pengharaman ini adalah sebagai penutup kepada pintu untuk meminum arak dengan banyak dan memabukkan.

Dalam masalah “hajiyyat”, setelah disyariatkan keharusan “qasar” solat dalam musafir dengan tujuan “taisir” (memudahkan), disyariatkan juga keharusan “jamak” (himpun) antara dua solat sebagai “mukammil” kepada asal “hajiyyat” tadi. Setelah disyariatkan keharusan akad hutang dan gadaian untuk tujuan “taisir”, disyariatkan juga penyaksian dan catitan bertulis kepada akad tersebut sebagai “mukammil” kepada asal “hajiyyat” tadi. Contoh “mukammil” bagi “tahsiniyyat” pula ialah seperti adab-adab bersuci, sunat-sunat “toharah”, bersedekah dengan yang terbaik daripada harta, menyembelih binatang yang terbaik dalam korban dan aqiqah dan sebagainya.
Kesemua “mukammil” ini adalah diiktibar (diambil kira) pada pandangan Syarak, dengan syarat ia tidaklah membatalkan asal “mukammal” tadi. Sebagai contoh, berjihad memerangi kafir yang menceroboh negara adalah termasuk dalam “dhoruriyyat” dan pemimpin yang mengepalai jihad juga adalah “dhoruriyyat”. Sikap “adil” bagi pemimpin adalah “mukammil” (pelengkap) kepada “dhoruriyyat” tadi. Kerana inilah kita tidak boleh meninggalkan jihad dengan alasan pemimpin merupakan seorang yang fasiq.

Memakai pakaian yang elok dan membersihkan diri untuk solat adalah “mukammil” kepada asal solat, tetapi solat tidaklah boleh ditinggalkan dengan alasan tiada pakaian yang elok dan tubuh yang kotor. Kerana inilah Syeikhul Maqasid Imam as-Syatibi menyatakan dalam kitabnya “al-Muwafaqat”[11]:
والمكمل إذا عاد للأصل بالإبطال لم يعتبر
Ertinya: “Dan “mukammil” (pelengkap) itu, jika ia boleh membawa kepada terbatalnya (hukum) asal (“mukammal”), maka ia tidaklah lagi diiktibar (diambil kira)”. Kesimpulannya, boleh kalau kita katakkan bahawa “hajiyyat” adalah “mukammil” bagi “dhoruriyyat” dan “tahsiniyyat” pula adalah “mukammil” bagi “hajiyyat”. Kerana ini jelaslah bahawa “dhoruriyyat” adalah asal (“mukammal”) bagi setiap hukum Syariah.

Takrif “Qawaid Maqasidiyyah”

Dalam membincangkan Syariah Islam, kita biasa mendengar tentang Qawaid Fiqhiyyah dan juga Qawaid Usuliyyah. Namun, kita mungkin jarang mendengar tentang “Qawaid Maqasidiyyah”. Qawaid ialah kata jamak kepada qaedah. Dan maksud qaedah ialah[12]:
قضية كلية منطبقة على جميع جزئياتها

Ertinya: Satu perkara yang berbentuk menyeluruh dan praktikal kepada semua perinciannya. Dr Abdul Rahman al-Kailani[13], yang telah menulis satu buku khusus tentang “Qawaid al-Maqasidiyyah”, telah mentakrifkannya sebagai[14]:

ما يعبر به عن معنى عام مستفاد من أدلة الشريعة المختلفة، اتجهت إرادة الشارع إلى إقامته من خلال ما بني عليه من أحكام

Ertinya: “Apa yang menggambarkan tentang satu tujuan umum yang diambil daripada dalil-dalil syarie, yang menunjukkan Syarak ingin menegakkannya berdasarkan apa yang diasaskan di atasnya daripada hukum hakam”. Maksudnya ialah “Qawaid Maqasidiyyah” adalah satu kaedah umum yang merangkumi semua bab, semua individu, semua masa dan semua keadaan, dan bukannya untuk bab dan keadaan tertentu sahaja. Ia menjurus kepada tujuan am, iaitu menghasilkan maslahah dan bukannya tujuan juz’iy kepada bab tertentu sahaja. Ia juga menunjukkan bahawa hukum-hukum taklif adalah alat yang disyariahkan oleh Syarak dengan tujuan menghasilkan maqasid Syariah (maslahah). Dan kesemua “Qawaid Maqasid” ini adalah bersumberkan kepada dalil-dalil Syarak seperti al-Qur’an, Hadis dan lain-lain.

Terdapat banyak “Qawaid Maqasid” Imam Syatibi dalam pelbagai kategori yang telah dikumpulkan oleh Dr Abdul Rahman al-Kailani dalam bukunya “Qawaid al-Maqasid Inda al-Imam as-Syatibi. Namun, yang kita akan bincangkan hanyalah “Qawaid Maqasid” bagi hukum perkiatan antara maqasid yang tiga.

Hukum Perkaitan Antara Maqasid Yang Tiga

Perkaitan antara tiga maqasid ini, iaitu “dhoruriyyat”, “hajiyyat” dan tahsiniyyat” telah disimpulkan oleh Imam Syatibi dalam lima qaedah daripada “Qawa’id Maqasidiyyah”. Berikut adalah qaedah-qaedah tersebut:-
1. إن الضروري أصل لما سواه من الحاجي والتحسيني
2. إن إختلال الضروري يلزم منه إختلال الباقيين بإطلاق
3. إنه لا يلزم من إختلال الباقيين إختلال الضروري
4. قد يلزم من إختلال التحسيني بإطلاق أو الحاجي بإطلاق إختلال الضروري بوجه ما
5. إنه ينبغي المحافظة على الحاجي وعلى التحسيني للضروري

1- Sesungguhnya “dhoruriy” itu adalah asal (asas) bagi selainnya, iaitu “hajiyy” dan “tahsiniyy”.
2- Sesungguhnya kecacatan “dhoruriyy” pasti akan membawa kepada kecacatan “hajiyy” dan “tahsiniyy” secara menyeluruh.
3- Tidaklah lazim (mesti) dengan kecacatan “hajiyy” dan “tahsiniyy” itu, kecacatan pada “dhoruriyy”.
4- Kemungkinan lazim daripada kecacatan keseluruhan “hajiyy” atau keseluruhan “tahsiniyy” itu kecacatan pada sebahagian “dhoruriyy”.
5- Perlunya memelihara “hajiyy” dan “tahsiniyy” untuk memelihara “dhorruriyy”.

Qaedah 1: Dhoruriyy adalah asas bagi selainnya, iaitu hajiyy dan tahsiniyy.إن الضروري أصل لما سواه من الحاجي والتحسيني

Huraian Qaedah: Qaedah ini menunjukkan kedudukan “dhoruriyy” yang merupakan asas kepada “hajiyy” dan “tahsiniyy”. Kemaslahatan dunia dan agama diasaskan di atas menjaga lima perkara asas“dhoruriyy”., iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Maka jika tiada agama, nescaya tiadalah balasan yang diharapkan, jikalau tiada mukallaf, nescaya tiadalah orang yang beragama. Jikalau tiada akal, tiadalah taklif beragama, dan jika tiada keturunan, maka tiadalah kekal kewujudan dan jika tiada harta, maka tiadalah kekal kehidupan. Kerana inilah dhoruriyy adalah asas segalanya. Qaedah ini juga menunjukkan bahawa kedua-dua “hajiyy” dan “tahsiniyy” adalah pelengkap kepada “dhoruri”. Sebagai contoh, menutup aurat merupakan termasuk dalam ‘tahsiniyy” , namun ia adalah pelengkap kepada menjaga keturunan dan maruah yang merupakan antara perkara asas “dhoruriyy’.

Contoh Praktikal Kepada Qaedah[15]:

Pertama: Apa yang telah disebutkan oleh sebahagain para fuqaha bahawa harusnya berubat dengan najis (yang bukan arak) jika pesakit tidak menjumpai satu ubat yang suci yang setanding dengan najis tersebut. Ini kerana meninggalkan menggunakan najis adalah termasuk dalam maslahah tahsiniyyah, manakala memelihara nyawa dan kesihatan merupakan “dhoruri”, atau sekurang-kurangnya “hajiyy”. Maka ia mesti didahulukan berbanding maslahah tahsiniyyah.

Kedua: Apa yang telah menjadi kata sepakat di kalangan para fuqaha harusnya bagi doktor untuk melihat kepada aurat pesakit atau menyentuhnya jika dengan tujuan perubatan. Ini kerana menjaga nyawa yang merupakan “dhoruriyy” yang mesti didahulukan berbanding menjaga auarat yang merupakan “tahsiniyy”.

Ketiga: Dalam masalah kenegaraan, maka qaedah ini boleh menjawab persoalan minoriti muslim di sebahagian Negara Eropah terutamanya di Amerika Selatan yang mewajibkan menamakan anak dengan nama Kristian. Di mana, orang yang menamakan anak dengan nama Islamik tidak akan mendapat sijil kelahiran dan keistimewaan warganegara seperti belajar dan sebagainya. Maka dalam masalah ini dibenarkan menggunakan nama-nama yang bukan Islamik, kerana ia adalah termasuk dalam “tahsiniyyat”, sedangkan menolak kesusahan dan masyaqqah adalah termasuk dalam “hajiyyat”. Dan yang terbaiknya adalah memilih nama-nama yang boleh diterima juga oleh agama Islam, seperti Abraham, Joseph, David dan sebagainya.

Keempat: Qaedah ini juga dapat menyelesaikan masalah minoriti Islam di beberapa Negara barat yang tidak membenarkan perkuburan khusus untuk kaum muslimin. Menanamkan mayat di perkuburan Islam merupakan “tahsiniyyat”, manakala menjaga kehormatan mayat pula termasuk dalam “hajiyyat”. Maka menanam mayat muslim di perkuburan yang sama dengan kaum Kristian adalah lebih baik berbanding membakar mayat, atau membiarkan mayat terbiar dan tidak dihormati. Dan yang terlebih utama adalah diasingkan antara tempat mayat Islam dengan mayat kaum Kristian, sekalipun dalam perkuburan yang sama.

Mendahulukan dhoruriyy berbanding hajiyy dan tahsiniyy ini merupakan asas yang dimabil daripada dalil-dalil syarak. Sebagai contoh, ayat 173 surah al-Baqarah yang membenarkan memakan daging babi, bangkai dan darah demi menjaga kelangsungan nyawa.
Dan perlu diingatkan juga, sekalipun qaedah ini menyebut bahawa dhoruriyy adalah asas kepada segala-galanya, namun kedudukan lima aspek penjagaan terhadap dhoruriyy bukanlah berada dalam satu kedudukan. Penjagaan terhadap agama merupakan prioriti berbanding dengan dengan yang lain. Seterusnya penjagaan terhadap nyawa.

Mendahulukan kedua-dua perkara ini merupakan perkara yang disepakati oleh para ulamak. Namun, mereka khilaf dalam menentukan susunan terhadap tiga perkara lagi. Imam Ghazali[16] menyebut susunannya ialah, menjaga agama, kemudian nyawa, kemudian akal, kemudian keturunan dan yang terkahir ialah menjaga harta. Namun susunan Imam al-Amidi[17] pula ialah menjaga agama, kemudian nyawa, kemudian keturunan, kemudian akal dan yang terakhir ialah harta. Dan inilah pandangan jumhur ulamak. Penjagaan terhadap keturunan didahulukan berbanding penjagaan terhadap akal, kerana penjagaan terhadap akal merupakan cabangan kepada penjagaan terhadap nyawa dan keturunan.
Dan banyak hukum-hakam yang mana dalilnya adalah perbandingan antara susunan perbezaan lima perkara asas dhoruriyy ini. antara contohnya ialah[18]:

Pertama: Jika seseorang terpaksa memakan harta orang lain demi kelangsungan nyawanya, maka ia diharuskan memakannya. Ini kerana maslahah menjaga nyawa didahulukan daripada menjaga harta.

Kedua: Jika terpaksa meminum arak demi menjaga nyawa, maka harus meminumnya. Ini kerana menjaga nyawa didahulukan daripada menjaga akal. Tambahan lagi, kehilangan nyawa adalah satu perkara yang berkekalan, berbeza dengan kehilangan akal, maka ia bukanlah satu perkara yang kekal.

Ketiga: Kalaulah orang Islam dikepung oleh para musuh kuffar, dan mereka sudah tidak mampu melawan mereka, maka diharuskan membayar kepada musuh kuffar dengan harta sebagai cara untuk menyelamatkan nyawa kaum muslimin. Ini kerana penjagaan terhadap nyawa didahulukan daripada penjagaan terhadap harta.

Qaedah 2: Sesungguhnya kecacatan “dhoruriyy” pasti akan membawa kepada kecacatan “hajiyy” dan “tahsiniyy” secara menyeluruh.

إن إختلال الضروري يلزم منه إختلال الباقيين بإطلاق

Sesungguhnya hajiyy dan tahsiniyy itu merupakan pelengkap kepada dhoruriyy, samada sebagai satu sifat tambahan kepadanya atau pun satu juzuk yang kecil daripadanya. Maka sudah tentu, lazim daripada ketiadaannya, ketiadaan hajiyy dan tahsiniyy, kerana perkara asal bila sudah tiada, nescaya ketiadaan pelengkapnya adalah lebih utama. Sebagai contoh, bila Syariah menggugurkan kewajiban solat kepada perempuan yang kedatangan haid, maka sudah tentu gugurlah daripadanya tuntutan menutup aurat dalam solat, tuntutan menghadap kiblat, tuntutan takbir, tuntutan zikir-zikir sunat seperti zikir rukuk, sujud, dan sebagainya. Gugur jugalah tuntutan berwuduk dan adab-adabnya. Kerana inilah dikatakan bahawa “mukammil” akan gugur dengan gugurnya “mukammal” dan “wasilah” akan gugur dengan gugurnya tujuannya, melainkan ada dalil yang lain yang mengiktibarkannya.

Qaedah 3: Tidaklah lazim (mesti) dengan kecacatan “hajiyy” dan “tahsiniyy” itu, kecacatan pada “dhoruriyy”.

إنه لا يلزم من إختلال الباقيين إختلال الضروري

Sesungguhnya hajiyy dan tahsiniyy merupakan mukammil (pelengkap) kepada dhoruriyy. Maka sudah pun maklum bahawa tidak semestinya hilangnya sebahagian pelengkap kepada sesuatu perkara, hilangnya asas perkara tersebut. Contohnya, zikir-zikir dalam solat. Kalaulah solat dilakukan tanpa membaca zikir-zikir yang sunat, solat itu masih sah dan diiktibar. Begitulah halnya dengan bahawa Syariah mengambil kira bahawa wajibnya ternafi kejahilan dengan perkara jual beli, maka kecacatan pada perkara tersebut (kejahilan), tidaklah boleh menafikan keseluruhan akad jual beli. Kerana inilah dikira sah jual beli buah-buahan yang masih di dalam kulitnya seperti durian, manggis dan sebagainya, sekalipun kejahilan terhadap perkara yang diakadkan itu tidaklah ternafi sepenuhnya. Juga dikira sah (harus) mengambil wang daripada pengguna tandas persendirian, (sebagaimana adat yang ada sekarang) sekalipun tidak diketahui dengan jelas kadar air yang digunakannya.

Qaedah 4: Kemungkinan lazim daripada kecacatan keseluruhan “hajiyy” atau keseluruhan “tahsiniyy” itu kecacatan pada sebahagian “dhoruriyy”.

قد يلزم من إختلال التحسيني بإطلاق أو الحاجي بإطلاق إختلال الضروري بوجه ما

Hajiyy dan tahsiniyy merupakan mukammil kepada dhoruriyy. Maka jika berlaku kecacatan kepada keseluruhan hajiyy dan tahsiniyy, maka lazimlah daripadanya kecacatan kepada sebahagian dhoruriyy, kerana ketiadaan pelengkapnya. Kedua-duanya juga adalah mukammil yang mencantikkan dhoruriyy, samada menjadi muqaddimah kepadanya, berada bersama dengannya atau berada selepasnya. Maka dengan luputnya keseluruhan kedua-duanya, maka sudah tentu mencacatkan dhoruriyy sekalipun tidak menghilangkan asal dhoruriyy. Sebagai contoh, seorang yang bersolat dengan hanya melakukan rukun-rukun sahaja dan meninggalkan keseluruhan sunat, maka solatnya itu adalah lebih dekat kepada main-main. Maka ia telah sedikit sebanyak mencacatkan “dhoruriyy”. Dan setiap darjat daripada tiga maqasid ini boleh diumpamakan sebagai sunat dengan fardu bagi darjat yang lebih penting daripadanya. Keberanian membatalkan keseleruhan mukammil (hajiyy dan tahsiniyy) adalah tanda kesediaan untuk membatalkan mukammal (iaitu dhoruriyy), kerana inilah dikatakan ia boleh mencacatkan dhoruriyy. Tambahan lagi keseleruhan hajiyy dan tahsiniyy adalah seperti satu bahagian daripada bahagian-bahagian dhoruriyy.

Dan satu perkara yang menarik yang telah diberikan perhatian oleh Imam Syatibi yang berkaitan dengan qaedah yang kita bincangkan ini ialah apa yang disebutkan oleh Imam Syatibi mengenai kaitan antara hukum harus, sunat dan makruh dan kaitannya dengan maqasid Syariah. Di mana beliau melihat bahawa sekalipun perintah pada hukum tersebut bukanlah satu perkara mesti seperti wajib dan haram, namun kadang-kadang ia juga adalah dituntut dengan pasti dengan melihat kepada perkara tersebut secara keseluruhan. Ini kerana ia adalah alat dan pelengkap kepada “dhoruriyy”. Sebagai contoh, makan dan minum adalah perkara yang harus. Seseorang itu boleh memilih untuk makan dan minum atau meninggalkannya. Namun jika ditinggalkannya secara keseluruhan, seperti orang yang mogok lapar, sehingga boleh membawa kepada merosakkan penjagaan kepada nyawa, dan merosakkan diri sendiri, maka ia adalah diharamkan. Ini menguatkan lagi qaedah ini.

Qaedah 5: Perlunya memelihara Hajiyy dan Tahsiniyy untuk memelihara Dhoruriyy

إنه ينبغي المحافظة على الحاجي وعلى التحسيني للضروري

Penerangaan bagi qaeadah ini adalah jelas dengan penerangan-penerangan terhadap qaedah-qaedah yang lepas. Ini kerana, kalaulah dhoruriyy boleh cacat dengan sebab cacatnya mukammilnya (pelengkapnya), maka sudah tentu menjaga mukammil ini daripada kecacatan adalah perlu dengan tujuan untuk menjaga mukammalnya (dhoruriyy). Juga kerana hajiyy dan tahsiniyy adalah pelengkap dan perhiasan bagi dhoruriyy, yang mana tidak akan nampak kecantikan dhoruriyy itu melainkan dengannya, maka sudah tentulah, perlunya ia dijaga dan tidak diabaikan. Qawaid ini boleh menolak pendapat mereka yang hanya menitik beratkan dhoruriyy, tetapi mengabaikan hajiyy dan tahsiniyy. Sedangkan kecacatan pada hajiyy dan tahsiniyy sebenarnya juga member kesan kepada dhoruriyy.

Antara contoh kepada qaedah ini ialah perlunya kita mematuhi peraturan jalan raya, sekalipun ia nampak kecil kerana pengabaian kepada boleh merosakkan penjagaan terhadap menjaga nyawa dan juga harta. Juga kita perlu menjaga cara berpakaian dan mengelakkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan kerana mengabaikannya boleh merosakkan penjagaan terhadap maruah dan juga keturunan. Kita juga perlu mengelakkan daripada keterlaluan dalam bergurau senda kerana ia boleh merosakkan penjagaan terhadap agama. Juga perlu mengelakkan daripada menonton filem-filem lucah kerana ia boleh merosakkan penjagaan terhadap akal dan juga maruah dan keturunan.

Inilah lima Qawa’id Maqasidiyyah yang disebutkan oleh Imam as-Syatibi dalam kitabnya al-Muwafaqat berkaitan antara maqasid yang tiga, iaitu dhoruriyy, hajiyy adan tahsiniyy. Ia menunjukkan perkaitan yang rapat antara ketiga-tiga maqasid tersebut, sekalipun kedudukannya adalah berbeza. Dhoruriyy yang merupakan asas mempunyai kaitan yang begitu rapat dengan hajiyyat dan tahsiniyyat, sekalipun kedua-duanya adalah lebih rendah berbanding dhoruriyy. Penjagaan kepada dhoruriyy mestilah dilengkapkan dengan penjagaan terhadap hajiyy dan tahsiniyy. Peranan qawaid maqasid ini juga amat penting dalam menentukan kesahihan sesuatu hukum, terutamanya bila berlaku pertembungan antara dua maqasid. Kerana itu ia mesti dilihat oleh para fuqaha’ dalam mengeluarkan hukum. Selain itu, Qawaid Maqasid ini juga menunjukkan kehebatan Imam Syatibi yang menjelmakannya, kerana ia diasaskan kepada dalil-dalil syarak dan berbentuk menyeluruh yang boleh dipraktikkan dalam pelbagai situasi dan keadaan, demi mencapai maqasid asal Syariah iaitu mencapai maslahah dan menolak mafsadah.


--------------------------------------------------------------------------------

[1] Artikel ini adalah kertas kerja sisipan sempena Seminar Maqasid Syariah Dalam Pentadbiran Negara peringkat kebangsaan yang diadakan di salah sebuah hotel di Kota Bharu, anjuran Jabatan Syariah KIAS dengan kerjasama JHEAIK pada 13 julai 2009.

[2] Al-Raisuni, Dr. Ahmad, Nazariyyatul Maqasid Inda al-Imam as-Syatibi, The International Institute Of Islamic Thought,Virginia, Amerika Syarikat, edisi 4, hal 19.

[3] Syatibi, al-Muwafaqat,Dar al-Makrifah, Beirut, juz 2, hal 8.

[4] Beliau merupakan seorang sarjana dari Sudan dan merupakan Dekan Kuliah al-Qur’an di Khourtom, Sudan. Bukunya “Al-Maqasid Al-Ammah Li as-Syariah al-Islamiyyah” pada asalnya merupakan risalah phD beliau yang dikemukakan di Universiti Azhar sekitar tahun 1971.

[5] Dr. Yusof al-Alim, Al-Maqasid al-Ammah Li al-Syariah al-Islamiyyah, International Islamic Publishing House, Riyadh, Arab Saudi, edisi 2, hal: 155.

[6] As-Syatibi, al-Muwafaqat, juz 2, hal 49.

[7] As-Syatibi, al-Muwafaqat, juz 2, hal 8.

[8] As-Syatibi, al-Muwafaqat, juz 1, hal 38.

[9] As-Syatibi, al-Muwafaqat, juz 2, hal 10.

[10] As-Syatibi, al-Muwafaqat, juz 2, hal 11.

[11] As-Syatibi: al-Muwafaqat, juz 2, hal 15.
[12] Al-Jurjani, Ali bin Muhammad bin Ali, al-Ta’rifat, Dar al-Kitab al-Arabi, Beirut, edisi 1, 1405H, hal: 219.

[13] Beliau ialah seorang sarjana Jordan dan merupakan seorang pensyarah di Kuliah Syariah, Universiti Mu’tah, Jordan Dilahirkan pada 1970. Beliau memfokuskan kajian mengenai Maqasid dan Imam Syatibi di peringkat sarjana dan juga phD. Dan beliau merupakan guru saya dan saya rasa bangga dan bersyukur kerana banyak menimba ilmu dengan beliau, samada secara kuliah di Universiti dan juga pengajian masjid. Daripada beliaulah saya mengenali ilmu Maqasid ini.

[14] Al-Kailani, Dr Abdul Rahman, Qawaid al-Maqasid Inda al-Imam as-Syatibi, Dar al-Fikr, Damsyik, Suria, edisi 1, 2000, hal: 55.

[15] Lihat perbincangan contoh-contoh ini dengan panjang lebar dalam Qawaid al-Maqasid, Dr. Al-Kailani, hal 208-211.

[16] Beliau ialah Hujjathul Islam Abu Hamid al-Ghazali. Meninggal 505H. Antara bukunya yang membincangkan mengenai maqasid ialah Syifa’ al-Ghalil dan al-Mustasfa.

[17] Beliau ialah Saif al-Din al-Amidi. Meninggal 631H. Bukunya yang membincangkan tentang maqasid ialah al-Ihkam Fi Usul al-Ahkam.

[18] Lihat perbincangan contoh-contoh ini dalam Qawaid al-Maqasid, Dr. Al-Kailani, hal 212-213.



sumber:tasekpauh.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SAMPAIKAN WALAU SATU AYAT

Sila gunakan browser firefox untuk melayari blog ini dengan sempurna. terima kasih


Assalamualaikum.. bismillahirahmanirahim.

" Segala bahan didalam blog ini di ambil, di olah dan ditulis dari pelbagai sumber. Kepada yang ingin mengambil apa2 jua bahan dalam blog ini dengan niat untuk mengembangsebarkan ilmu, tidak perlu meminta izin atau menyertakan link blog ini. Sebarkan dan panjangkanlah kepada semua demi kebaikkan ummah. Semoga info yang ada dapat memberi manfaat walaupun sedikit cuma, dan semoga dengan usaha sekecil ini pastinya tidak akan terlepas dari pandangan Allah.. insyaAllah.. Jika ada kesilapan dari setiap posting, tolong berikan nasihat dan komen. Maaf andai terlancar bahasa tersasar kata-kata. Saya hanya insan biasa yang tidak sunyi dari kesilapan. wallahualam."

PERHATIAN!!! BLOG INI TIDAK MEWAKILI MANA-MANA PARTI , NGO DAN SEBAGAINYA. SEGALA TULISAN DI ISI MENGIKUT CITARASA HAMBA SENDIRI DAN HAMBA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB ATAS KESELAMATAN DAN KERUGIAN PEMBACA DISEBABKAN BLOG INI..... SEKIAN

PERHATIAN !!!!!!

Sebarang artikle yang termaktub di dalam blog ini tidak semestinya menunjukkan sikap pengendali blog ini. Ambillah yang berfaedah dan tinggalkanlah yang sia - sia........

MENGAPA AKU BERKATA SYIAH RAFIDAH KAFIR ?

Sesungguhnya Allah telah memilih sahabat-sahabat untuk ku, Dia menjadikan mereka sebagai sahabat-sahabatku, mertua-mertuaku dan menantu-menantuku. Nanti akan muncul satu golongan selepas aku akan memburuk-buruk dan memaki hamun mereka.Sekiranya kamu menemui mereka, janganlah kamu mengahwini mereka, janganlah kamu makan dan minum bersama mereka, janganlah kamu berjemaah bersama mereka dan jangan kamu menyembahyangkan jenazah mereka. [Ali al-Muttaqi, Kanz al-‘Ummal, jil 11, m.s : 540 ]

Sabda Rasulullah S.A.W:

Sabda Rasulullah S.A.W:“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka” (Riwayat Muslim).



Al - Hadis

DARIPADA Abu Said katanya:
Aku mendengar Rasulullah (s.a.w.) bersabda: siapa yang melihat (dan tahu) sebarang kemungkaran, maka hendaklah diubahkannya dengan tangannya (kuasanya), kalau tidak berkuasa, maka (ubahlah) dengan lidahnya, dan kalau tidak mampu juga, maka ubahlah dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman (HR Muslim).

KUTIPAN DANA BAGI PEMBANGUNAN SRIBU

KUTIPAN DANA BAGI PEMBANGUNAN SRIBU
Hadis nabi saw : apabila matinya anak adam maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga... yaitu sadhoqah jariah , ilmu yang memberi manfaat dengannya , doa anak yang soleh.

WAKTU SOLAT


Membangun Bersama Islam

Kisah Sahabat

About Me

Blog Archive


Banner Tukar Link
SPEEDCOUNTER.NET - Kostenloser Counter!

"tegakkanlah islam dalam dirimu,nescaya kamu akan melihat islam tertegak di tanah airmu" - Imam As-Syahid Hassan Al-Banna (Pengasas&Mursyidul Am Pertama Ikhwanul Muslimin)

berwaspada dari fitnah moden

berwaspada dari fitnah moden

Tok guru Nik Aziz

Tok guru Nik Aziz

Tok guru Haji saleh

Tok guru Haji saleh

Recent Comments

Footer 2

Photobucket

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Translate