YANG MASIH PANAS...

Apakah Hukum Merokok Atau Rokok Itu Sendiri

Fatwa Oleh : Profesor Dr. Yusof Al-Qardawi





1 - Pendahuluan

2- Sebab diharamkan

3- Mudarat harta

4- Mudarat penghambaan

5- Merokok diharamkan di sisi syarak





1. Pendahuluan



Segala pujian bagi Allah, selawat dan salam kepada pesuruhNya ( Nabi Muhammad S.A.W ),ahli keluarganya, sahabat-sahabat juga orang-orang yang mengikut jejak langkahnya.



Sesungguhnya telah muncul pokok ini yang dikenali dengan nama " والتتن " التمباك " والتبغ والدخان " di akhir kurun ke sepuluh hijrah. Oleh kerana pokok ini digunakan secara meluas di kalangan orang ramai, maka ianya telah memaksa alim ulama di zaman itu membahas dan mengkajinya untuk memberi penjelasan hukum dari segi syarak.



Memandangkan masalah ini adalah masalah baru, tidak ada hukum yang dikeluarkan oleh Fuqaha, Mujtahidin yang lalu serta ulama-ulama selepas mereka dari kalangan Ahli Takhrij dan Tarjih dalam mazhab berkenaan perkara ini. Mereka juga tidak mendapat gambaran yang jelas tentang hakikat dan implikasinya berdasarkan kajian ilmiah yang betul, maka berlakulah perbezaan pendapat yang ketara di kalangan ulama pada waktu itu. Ada di kalangan mereka yang memfatwakan haram, ada yang memfatwakan makruh, ada yang mengatakannya harus dan ada yang mengambil sikap berdiam diri tanpa membincangkannya. Fenomena ini juga berlaku kepada ke empat-empat mazhab ahli sunnah waljamaah.



Justeru itu kita tidak boleh menisbahkan kepada mana-mana mazhab, pendapat atau fatwa yang nengatakan merokok itu harus atau haram atau makruh.



Nyata kepada saya bahawasanya perbezaan pendapat di kalangan ulama mazhab-mazhab, ketika permulaan munculnya rokok, penggunaannya begitu meluas dan berlaku perbezaan di antara mereka dalam mengeluarkan hukum tentangnya, bukanlah perbezaan dari segi dalil-dalil, bahkan perbezaan berlaku dalam menentukan `ilat (مناط ) yang ada pada rokok.



Ada di kalangan mereka yang mendakwa terdapat beberapa manafaat atau faedah pada merokok. Ada juga ulamak yang mendakwa terdapat mudarat dan manafaat yang sama berat pada rokok. Terdapat juga ulamak yang tidak menyabitkan apa-apa faedah pada rokok tetapi menafikan terdapat mudarat pada rokok. Ini bermakna sekiranya mereka dapat memastikan ada mudarat pada perkara ini, pasti mereka mengharamkannya tanpa wujud perdebatan.



Di sini kami berpendapat untuk menyabitkan ada dan tidak ada implikasi buruk terhadap tubuh badan pada rokok dan benda-benda lain yang ada unsur ketagihan, ianya bukan bidang kuasa ahli feqah, bahkan ianya adalah bidang kuasa ahli perubatan dan penganalisis. Merekalah sepatutnya yang dirujuk dalam masalah ini kerana mereka adalah ahli sains dan banyak pengalaman. Firman Allah S.W.T yang bermaksud :” Tanyalah orang yang tahu tentang perkara itu”, “ Tidak boleh menceritakan kepada engkau seperti mana orang yang alim”.



Secara umumnya para doktor dan penganalisis sebulat suara menjelaskan implikasi buruk merokok ke atas tubuh badan secara umum, dan secara khususnya terhadap paru-paru dan organ pernafasan, seterusnya boleh membawa kepada kanser paru-paru. Inilah faktor yang meyebabkan masyarakat dunia sejak tahun-tahun kebelakangan ini menyeru agar berhati-hati terhadap aktiviti merokok.



Sepatutnya di zaman kita ini para ulamak sepakat membuat keputusan ini. Sesungguhnya keputusan ahli feqah dalam masalah ini diasaskan atas pandangan pakar perubatan. Bilamana pakar perubatan menjelaskan bahawa gejala ini (merokok) meninggalkan implikasi buruk kepada kesihatan manusia, sepatutnya ahli feqah menetapkan hukum haram kepada aktiviti merokok, kerana setiap perkara yang menyebabkan kesan buruk kepada kesihatan manusia mesti diharamkan di sisi syarak.





2. Sebab diharamkan:



Ada sesetengah orang mengatakan “ Bagaimanakah mereka boleh mengharamkan pokok ini tanpa nas ? “



Jawapannya :



Sesungguhnya tidak mesti penggubal undang-undang menaskan setiap satu perkara-perkara yang diharamkan, memadailah mereka menetapkan garis panduan atau kaedah-kaedah yang akan termasuk di bawahnya pecahan-pecahan dan unit-unit. Kaedah-kaedah ini boleh membataskannya. Adapun perkara-perkara yang khusus maka tidak mungkin membataskannya.



Memadai bagi penggubal undang-undang mengharamkan sesuatu yang jelek dan memudaratkan, supaya termasuk di bawahnya kebanyakan makanan dan minuman lain yang juga mempunyai unsur jelek dan memudaratkan. Kerana inilah ulamak sepakat mengharamkan pokok Hasyisyah ( pokok yang menyebabkan ketagih ) dan pokok lain yang mempunyai unsur ketagihan, walaupun tidak ada nas tertentu yang mengharamkannya secara khusus.



Imam Abu Muhammad Bin Hazam Azzahiri, kita sedia maklumi dia seorang yang berpegang dengan zahir nas, walaupun begitu beliau tetap mengharamkan sesuatu yang memudaratkan dengan memakannya, kerana berpegang dengan nas-nas yang umum. Beliau mengatakan : “Setiap sesuatu yang boleh memudaratkan maka ianya adalah haram, berdasarkan sabda nabi S.A.W yang bererti : “ Sesungguhnya Allah mewajibkan berlaku ihsan terhadap sesuatu, maka sesiapa memudaratkan dirinya sendiri atau orang lain maka dia telah tidak melakukan ihsan dan sesiapa yang tidak melakukan ihsan, maka dia telah menyalahi ketetapan, iaitu ketetapan Allah mesti melakukan ihsan terhadap segala sesuatu.”



Boleh juga menjadikan dalil untuk hukum ini, sabda Nabi S.A.W yang bererti : “ tidak boleh memudaratkan dan tidak boleh dimudaratkan” , begitu juga firman Allah yang bermaksud : “ Janganlah kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah sangat mengasihi kamu”.



Antara ungkapan feqah yang paling baik berhubung pengharaman memakan makanan yang boleh memudaratkan ialah ungkapan Iam Nawawi didalam kitab Raudah , beliau berkata ; "Setiap sesuatu yang memudaratkan apabila dimakan seperti kaca, batu, racun maka hukum memakannya adalah haram. Setiap sesuatu yang suci yang tidak menimbulkan mudarat memakannya maka hukum memakannya adalah halal kecuali sesuatu yang dianggap jelek seperti mani dan hingus, maka memakannya adalah haram mengikut pendapat yang betul. Harus meminum ubat yang mengandungi sedikit racun yang tidak membahayakan, jika diperlukan".





3. Mudarat Harta



Manusia tidak harus membelanjakan hartanya kepada perkara yang tidak berfaedah sama ada di dunia atau akhirat, kerana mereka sebenarnya pemegang amanah ke atas harta yang ditinggalkan kepada mereka. Sebenarnya kesihatan dan harta adalah dua amanah Allah, maka tidak harus manusia memudaratkannya atau mensia-siakannya. Kerana hakikat inilah, maka Nabi S.A.W melarang seseorang mensia-siakan hartanya.



Perokok membeli kemudaratan dirinya dengan kesucian hartanya, ini tidak harus di sisi syarak. Firman Allah yang bermaksud : “ Janganlah kamu membazir,sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang membazir".



Tidak ragu-ragu lagi bahawa menghabiskan harta dengan merokok adalah perbuatan mensia-siakan harta. Maka bagaimana pula jika di samping merosakkan harta (kerosakan yang diyakini berlaku atau tidak yakin ) wujud juga perbuatan merosakkan badan ?





4. Mudarat Penghambaan



Di sana ada kemudaratan lain yang biasanya tidak disedari oleh penulis-penulis mengenainya, iaitulah kejiwaan, saya maksudkan dengan mudarat jiwa ialah kebiasaan merokok dan seumpamanya akan memperhambakan jiwa manusia dan seterusnya kebiasaan yang hina ini akan menjadikan jiwa manusia sebagai mangsanya. Manusia tidak mampu meloloskan diri daripadanya dengan mudah apabila mereka ingin melakukannya pada sesuatu ketika kerana sebab-sebab tertentu, seperti kemunculan bahaya pada badannya, menampakkan kesan yang negatif dalam pendidikan anaknya ataupun kerana keperluannya yang mendesak untuk membelanjakan harta pada benda lain yang lebih berguna dan sepatutnya ataupun untuk sebab-sebab lain.



Melihatkan kepada mudarat penghambaan jiwa ini , kami mendapati sesetengah perokok sanggup menganiayai makan minum anak-anaknya dan perbelanjaan asas keluarganya, kerana ingin memuaskan tabiatnya ini, kerana dia sememangnya sudah tidak boleh dianggap orang yang mampu membebaskan diri daripadanya. Di suatu hari nanti apabila perokok telah menjadi lemah seumpama ini, kehidupannya pasti goyah, pertimbangannya jadi tidak seimbang, keadaannya hina, pemikirannya bercelaru dan emosinya mudah tertekan kerana satu-satu sebab atau tanpa sebarang sebab. Tidak ragu-ragu lagi kemudaratan seumpama ini patut diambil kira dalam mengeluarkan hukum merokok.





5. Merokok diharamkan di sisi syarak



Di zaman kita ini tidak ada pendapat yang boleh menghalalkan merokok dalam apa bentuk sekalipun, selepas Persatuan Sains Perubatan membicarakan panjang lebar implikasi buruk merokok serta kesannya yang negatif, golongan elit dan orang awam juga mengetahui keburukan merokok dan dikuatkan lagi oleh perangkaan.



Apabila telah gugur pendapat bahawa merokok harus secara mutlak, maka yang ada hanyalah pendapat makruh dan haram. Sesungguhnya telah jelas kepada kita melalui perbincangan lalu bahawa hujjah haram merokok lebih kemas dan mantap. Inilah pendapat kita . Perbincangan lalu juga dijadikan garis panduan bagi memastikan terdapat mudarat pada tubuh badan, mudarat pada harta, dan mudarat pada jiwa dengan sebab merokok secara berterusan. Sesungguhnya setiap perkara yang boleh menjejaskan kesihatan manusia ianya mesti diharamkan di sisi syarak.



Allah Taala berfirman dan maksudnya : “ Dan janganlah kamu campakkan diri-diri kamu ke kancah kebinasaan”, “ Dan janganlah kamu membunuh diri-diri kamu, sesungguhnya Allah amat mengasihi kamu” , “ Dan janganlah kamu membazir, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang membazir”. “ Dan janganlah kamu melakukan pembaziran,sesungguhnya orang-orang yang membazir adalah saudara syaitan.” Di sana ada kemudaratan tubuh badan dan di sana juga ada kemudaratan harta benda, maka menggunakan sesuatu yang memudaratkan manusia adalah diharamkan, berdasarkan firman Allah yang bermaksud : “ Janganlah kamu membunuh diri-diri kamu" . Kerana fakta inilah wajib kita berfatwa, merokok adalah haram di zaman kita ini.

Hakikat yang tidak boleh diragukan lagi bahawa kalangan doktor sepakat mengatakan terdapat kesan yang sangat buruk dalam aktiviti merokok. Benar kesan buruknya tidak segera tapi beransur-ansur. Namun kesan mudarat segera dan beransur-ansur adalah sama saja dari segi haramnya. Racun yang memberi kesan lambat atau segera sama saja, kedua-duanya diharamkan.



Manusia tidak harus memudaratkan atau membunuh dirinya dan mereka juga tidak boleh memudaratkan orang lain. Berkenaaan ini Nabi S.A.W bersabda : “ Tidak memudaratkan dan tidak boleh dimudaratkan “ , iaitu engkau tidak boleh memudaratkan diri engkau dan orang lain.



Merokok meninggalkan implikasi yang sangat buruk kepada diri manusia mengikut kesepakatan doktor sedunia, lantaran ini kerajaan-kerajaan sedunia mewajibkan syarikat yang mengiklan rokok menyebut “ Merokok Membahayakan Kesihatan”, selepas mereka yakin merokok memudaratkan semua orang. Justeru itu golongan fuqaha tidak boleh berselisih pendapat tentang mengharamkan merokok.



Lima unsur asasi yang disebut oleh ahli-ahli usul dan orang yang mendalam dalam bidang agama, serta mewajibkan supaya bersungguh-sungguh dijaga dan tidak boleh dimudaratkannya, ialah Agama, Jiwa, Akal, Keturunan dan Harta Benda. Maka kesan merokok terhadap agama : ada di kalangan orang ramai tidak dapat berpuasa di bulan Ramadhan lantaran tidak dapat menahan diri dari merokok.



Keturunan turut menerima kesan buruk dari merokok, samada perokok itu salah seorang dari ibu, bapa atau kedua-duanya. Bahkan janin akan menerima kesan buruk ekoran ibu yang merokok. Ini bermakna perokok tidak memudaratkan dirinya sahaja bahkan ianya turut memudaratkan orang lain. Di sini ada yang dinamakan merokok secara terpaksa ataupun merokok dengan paksaan. Ini boleh berlaku melalui orang lain yang merokok tanpa rasa malu, sedangkan dia tidak merokok, dia hanya menyedut asap rokok secara tidak langsung ketika dia duduk berhampiran perokok atau berada di persekitaran yang ada aktiviti merokok.



Maka anda wahai perokok, secara tidak langsung anda telah memudaratkan diri anda sendiri dan juga orang lain. Maka kerana kemudaratan ini dan kemudaratan yang lain merokok mesti diharamkan dan ulamak mesti sepakat mengharamkannya. Sesungguhnya ada sesetengah ulamak meletakkan sebagai paksi sebilangan besar hukum merokok di atas kemampuan kebendaan sahaja. Maka haram merokok bila mana perokok berada dalam kesempitan duit untuk merokok dan makruh bagi orang yang mampu membeli rokok. Ini adalah pendapat yang tidak betul dan tidak mantap.



Para ulamak dan doktor sedunia sepakat, menjadikan faktor mudarat tubuh badan dan mudarat jiwa sebagai satu faktor besar dalam menentukan hukum merokok, di samping mudarat harta. Sesungguhnya orang kaya tidak berhak membelanjakan dan menghabiskan hartanya dengan sewenang-wenangnya, kerana hartanya itu sebenarnya milik Allah dan masyarakat.



Orang Islam yang rasional sepatutnya menjauhkan diri dari penyakit yang merosakkan ini, kerana rokok telah diyakini mempunyai unsur-unsur yang jelek, ianya tidak tergolong dalam makanan yang berkualiti lantaran tiada faedah samada untuk dunia dan akhirat.



Nasihat saya kepada pemuda-pemuda secara khusus, supaya mereka mengelak diri dari terjebak dengan penyakit yang boleh merosakkan kesihatan mereka, melemahkan kekuatan dan kesuburan mereka. Mereka hendaklah tidak menjadi mangsa kekeliruan yang dibayangkan kepada mereka, bahawa merokok adalah tanda kelelakian dan tanda peribadi merdeka.



Mana-mana individu dari kalangan pemuda yang terlibat dengan aktiviti merokok, mampu melepaskan diri daripadanya dan mengalahkannya (kerana beliau masih diperingkat awal ) sebelum penyakit ini bertapak kukuh dan mengalahkannya jika tidak nanti sukar baginya melepaskan diri dari cengkamannya kecuali orang yang diberi rahmat oleh Allah.



Menjadi tanggungjawab media massa memfokuskan kempen yang teratur dengan berbagai cara untuk menjelaskan keburukan merokok. Tanggungjawab penyusun skrip, pengeluar dan penerbit filem, teater dan drama bersiri pula ialah mengekang propoganda ke arah merokok dengan mempamerkan rokok dalam gambaran yang sesuai dan tidak sesuai pada setiap keadaan.



Tanggungjawab kerajaan pula ialah berganding bahu membasmi penyakit ini dan membebaskan rakyat dari bahananya walaupun kerajaan mengalami kerugian cukai berjuta-juta, namun kesihatan rakyat dan anak bangsa dari segi jasmani dan spiritual lebih penting dan berharga dari wang ringgit. Sebenarnya kerajaan menanggung kerugian dari segi kebendaan ketika mana kerajaan mengizinkan merokok. Ini adalah kerana kos yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk menjaga pesakit yang menghidap pelbagai penyakit dan ancaman ekoran aktiviti merokok berlipat kali ganda melebihi hasil kutipan cukai yang dikenakan ke atas tembakau, kalau dibandingkan kerugian ekoran kekurangan produktiviti negara dengan sebab ramai perokok tidak dapat menjalankan tugas lantaran menderita pelbagai penyakit.



Kami memohon ke hadrat Allah Taala agar menyinari hati-hati kami memberi kefahaman yang mendalam kepada kami tentang agama kami, mengajar apa yang boleh memberi faedah kepada kami, memberi faedah dengan sesuatu yang kami telah tahu, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi hampir dengan hamba-hambaNya. Selamat dan salam ke atas penghulu kami Muhammad S.A.W, ahli keluarganya dan sahabat-sahabatnya.



WALLAHU A`LAM



sumber http://www.qaradawi.net

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SAMPAIKAN WALAU SATU AYAT

Sila gunakan browser firefox untuk melayari blog ini dengan sempurna. terima kasih


Assalamualaikum.. bismillahirahmanirahim.

" Segala bahan didalam blog ini di ambil, di olah dan ditulis dari pelbagai sumber. Kepada yang ingin mengambil apa2 jua bahan dalam blog ini dengan niat untuk mengembangsebarkan ilmu, tidak perlu meminta izin atau menyertakan link blog ini. Sebarkan dan panjangkanlah kepada semua demi kebaikkan ummah. Semoga info yang ada dapat memberi manfaat walaupun sedikit cuma, dan semoga dengan usaha sekecil ini pastinya tidak akan terlepas dari pandangan Allah.. insyaAllah.. Jika ada kesilapan dari setiap posting, tolong berikan nasihat dan komen. Maaf andai terlancar bahasa tersasar kata-kata. Saya hanya insan biasa yang tidak sunyi dari kesilapan. wallahualam."

PERHATIAN!!! BLOG INI TIDAK MEWAKILI MANA-MANA PARTI , NGO DAN SEBAGAINYA. SEGALA TULISAN DI ISI MENGIKUT CITARASA HAMBA SENDIRI DAN HAMBA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB ATAS KESELAMATAN DAN KERUGIAN PEMBACA DISEBABKAN BLOG INI..... SEKIAN

PERHATIAN !!!!!!

Sebarang artikle yang termaktub di dalam blog ini tidak semestinya menunjukkan sikap pengendali blog ini. Ambillah yang berfaedah dan tinggalkanlah yang sia - sia........

MENGAPA AKU BERKATA SYIAH RAFIDAH KAFIR ?

Sesungguhnya Allah telah memilih sahabat-sahabat untuk ku, Dia menjadikan mereka sebagai sahabat-sahabatku, mertua-mertuaku dan menantu-menantuku. Nanti akan muncul satu golongan selepas aku akan memburuk-buruk dan memaki hamun mereka.Sekiranya kamu menemui mereka, janganlah kamu mengahwini mereka, janganlah kamu makan dan minum bersama mereka, janganlah kamu berjemaah bersama mereka dan jangan kamu menyembahyangkan jenazah mereka. [Ali al-Muttaqi, Kanz al-‘Ummal, jil 11, m.s : 540 ]

Sabda Rasulullah S.A.W:

Sabda Rasulullah S.A.W:“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka” (Riwayat Muslim).



Al - Hadis

DARIPADA Abu Said katanya:
Aku mendengar Rasulullah (s.a.w.) bersabda: siapa yang melihat (dan tahu) sebarang kemungkaran, maka hendaklah diubahkannya dengan tangannya (kuasanya), kalau tidak berkuasa, maka (ubahlah) dengan lidahnya, dan kalau tidak mampu juga, maka ubahlah dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman (HR Muslim).

KUTIPAN DANA BAGI PEMBANGUNAN SRIBU

KUTIPAN DANA BAGI PEMBANGUNAN SRIBU
Hadis nabi saw : apabila matinya anak adam maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga... yaitu sadhoqah jariah , ilmu yang memberi manfaat dengannya , doa anak yang soleh.

WAKTU SOLAT

Membangun Bersama Islam

Blog Archive


"tegakkanlah islam dalam dirimu,nescaya kamu akan melihat islam tertegak di tanah airmu" - Imam As-Syahid Hassan Al-Banna (Pengasas&Mursyidul Am Pertama Ikhwanul Muslimin)

berwaspada dari fitnah moden

berwaspada dari fitnah moden

Tok guru Nik Aziz

Tok guru Nik Aziz

Tok guru Haji saleh

Tok guru Haji saleh

Recent Comments

Footer 2

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ikut Melalui Email

Translate