YANG MASIH PANAS...

Orang Politik dan Kehidupan Seksual

ISNIN, 4 Julai 2011

Oleh: ZULKIFLI SALLEH

Selepas Dominique Strauss-Kahn, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) ketika itu, ditangkap di New York City atas tuduhan cuba merogol pembantu hotel Sofitel pada 14 Mei lalu, majalah Time muncul dengan kulit depan, "Sex. Lies. Arrogance. What Makes Powerful Men Act Like Pigs." Di dalamnya terkandung makalah yang ditulis oleh Nancy Gibbs bahawa kejadian itu mencetuskan debat yang hangat tentang seks, undang-undang, kuasa, dan hak istimewa. Dalam tulisan itu Nancy turut menyentuh skandal seks bekas Gabenor California, Arnold Schwarzenegger yang mempunyai anak hasil hubungan sulitnya dengan bekas staf pembantu rumahnya. Meskipun kedua-dua kes itu berbeza, kedua-duanya membuktikan penyalahgunaan kuasa dan pengkhianatan kepercayaan. Beliau juga menyatakan situasi Strauss-Kahn lebih serius jika dibandingkan dengan Perdana Menteri Italy, Silvio Berlusconi, yang menghadapi perbicaraan rasuah, penipuan cukai, dan paling relevan, mengadakan hubungan seks dengan pelacur bawah umur dan kemudian menggunakan jawatannya untuk menutup kecurangan itu.


Melihat seorang demi seorang ahli politik terlibat dalam skandal seks atau mengadakan hubungan sulit dengan wanita lain, termasuk yang terbaharu, Senator John Edwards, bekas calon Naib Presiden Parti Demokratik tahun 2004, Nancy Gibbs menulis: Memasuki politik dan anda memasuki rumah kaca; tidak ada rahsia dan tidak ada tempat untuk bersembunyi. Beliau merujuk Pscychological Science yang mendapati semakin tinggi lelaki atau wanita meningkat dalam hierarki perniagaan, maka besar kemungkinan mereka memikirkan atau melakukan zina. Nancy turut memetik hujah pengarang kajian itu bahawa "dengan kuasa, muncul kedua-duanya, iaitu peluang dan keyakinan dan dengan keyakinan, muncul perasaan hak kelayakan seksual. "Apabila lelaki mempunyai lebih banyak peluang, mereka cenderung bertindak berdasarkan peluang itu," kata ahli psikologi, Mark Held yang dipetik oleh Nancy.


Kehidupan seks dalam kalangan tokoh politik di mana-mana sahaja menjadi pengetahuan umum dan sering didedahkan. Tidak kurang yang mengakui penglibatan mereka itu lalu terpaksa meletakkan jawatan. Ahli perniagaan atau tokoh perniagaan juga terlibat dalam skandal seks, tetapi yang sering dibicarakan oleh media dan sasaran pendapat awam adalah yang melibatkan ahli politik.


Pernah suatu ketika dahulu, iaitu pada tahun 1960-an, bekas Presiden Soekarno dikatakan terkenal dengan cerita seks peribadinya, dan pernah dikatakan bahawa semasa melawat Moscow, hubungan seksnya dengan wanita di sana dirakamkan secara sulit. Oleh sebab ketika itu, era Perang Dingin antara blok Kesatuan Soviet dengan blok Amerika Syarikat, Moscow dikatakan cuba menggunakan rakaman itu untuk mengugut Soekarno supaya tunduk pada komunis, kalau tidak, mereka mengedarkan rakaman itu untuk ditonton oleh rakyat Indonesia. Namun, Soekarno yang memang terkenal dengan kepintarannya dilaporkan berkata, "Siarkan. Biar rakyat saya menonton sendiri bagaimana hebatnya Presiden mereka." Setakat mana benarnya cerita itu tidak dapat dipastikan, tetapi berlegar menjadi pengetahuan umum di negara kita.


Setelah seorang demi seorang tokoh terkenal didapati terlibat dalam kelakuan seksual yang tidak menyenangkan, iaitu ketika itu Anggota Perwakilan Amerika Syarikat, Anthony Weiner, dan sebelum itu, Arnold Schwarzenegger, Tiger Woods, John Edwards, dan banyak lagi, dan tidak lama dahulu Presiden Bill Clinton nyaris-nyaris didakwa, maka soalannya sepatutnya bukan: Mengapa mereka melakukannya? Sebaliknya, tegas Beth Green, "Why Are We Addicted to Sex?" soalan mereka sepatutnya: Mengapa kita terlibat dalam kelakuan seks yang menyakitkan, tidak memuaskan, berisiko dan mengaibkan, dan bagaimana kita dan orang orang lain mencapai kesejahteraan dan kebersatuan yang akan menyebabkan kelakuan itu usang?


Beth Green mempunyai alasan kukuh mengapa beliau mengubah "mereka" kepada "kita" berhubung dengan kehidupan seks: "Sebagai kaunselor selama 30 tahun, saya sangat lazim dengan kehidupan seks lelaki dan wanita, dan lazimnya kita gemar mengakui, kelakuan yang kita libatkan itu dianggap "tidak menyenangkan." Banyak lelaki yang berkahwin mempunyai hubungan seks dengan wanita yang bukannya isteri mereka, dan banyak wanita mengadakan seks dengan lelaki ini, dan selalunya dengan pengetahuan sepenuhnya tentang taraf perkahwinan lelaki itu. Wanita yang berkahwin melakukan perkara yang sama.


"Siapakah orang yang melakukan kelakukan seperti ini? Adalah kita. Justeru, mengapa kita terkejut apabila mendapati 'pemimpin' kita melakukan perkara yang sama?" Setelah membincangkan keperluan dan kehendak seks manusia, dan seseorang itu tidak perlu "menyibuk" dengan kelakuan seksual orang lain, Beth Green, menamatkan penulisannya dengan amanat, "elok berhenti bertindak terkejut, dan elok tukar terkejut menjadi tindakan."


Semestinya, pada masa sekarang, jelas bahawa orang dalam bidang politik mempunyai hubungan seks di luar konvensional dan kadangkala nilai bagaikan orang alim yang ditunjukkan kepada para pengundi, pemerhatian James Love dalam "The Sex Lives of Political Figures." Mana-mana kisah cinta politik, kisah bersahaja, seks yang dibayar, seks berisiko atau aneh, main cinta, seks gender yang sama, dan kahwin banyak akan menjadi panjang, dan secara relatifnya, tidak ada kena mengena dengan parti atau ideologi parti. Diungkapkan semula dalam bahasa harian kita, "tidak boleh kata mengata, bab perempuan, sama-sama naik."

"Semestinya," tambah beliau, "juga jelas bahawa tokoh politik berdusta tentang kehidupan seks mereka. Pendustaan ini diberitahu untuk semua jenis alasan, sesetengahnya layan sendiri, sesetengahnya di luar pertimbangan kepada pihak ketiga yang hidup juga diasak oleh sikap berterus terang, dan sesetengah berdusta bahawa semata-mata cuba mewujudkan beberapa sempadan kepada 'hak untuk mengetahui' orang awam." Walau bagaimanapun, James Love mengakui bahawa tiada bukti bahawa para pemimpin yang bagus mempunyai kehidupan seks monogami atau membosankan, tidak juga yang seseorang itu boleh menegaskan sebaliknya. Beliau turut mengingatkan bahawa kedua-duanya, iaitu tidak realistik dan bodoh untuk mendesak ahli politik "memberitahu kebenaran" tentang kehidupan seks mereka. Orang berdusta tentang seks, dan selalunya tindakan ini positif, bukannya negatif.


"Adakah anda benar-benar mahu tahu segala-galanya tentang kehidupan seks ibu bapa anda, anak-anak anda, guru sekolah mereka, pengurus Safeway tempatan, atau kawan satu kereta anda? tanya beliau, "mengapa anda mahu tahu segala-galanya tentang kehidupan seks anggota Kongres, hakim atau gabenor? Love mencadangkan dan menasihati bahawa hasil terbaik mungkin memberitahu ahli politik supaya menyimpan kehidupan seks untuk diri mereka. "Jangan jadikan perkahwinan bahagia anda helaian tengah kempen anda. Jangan-jangan sekali sukarela diwawancara oleh tentang kegemaran sexting anda. Jangan minta perhatian yang berlebih-lebihan terhadap kehidupan seks anda, atau kekurangan kehidupan seks." Untuk ahli politik kita, di sini nasihat berguna daripada beliau, "Jangan muncul di kaca televisyen untuk mengutuk skandal seks kotor orang lain," atau dengan kata lain, "jangan menyibuk jaga tepi kain orang." Akan tetapi, Love menasihati, "yang paling penting, jangan berasa berkewajipan untuk memberitahu kebenaran tentang kehidupan seks anda," - maksudnya,"pandai makan, pandai simpan."


Bagi Love, kehidupan seks perkara remeh jika dibandingkan dengan janji yang ahli politik semasa kempen pilihan raya, kemudian selepas menang, melupakan atau tidak mengotakan segala janji berkenaan. Begitu juga jika dibandingkan dengan pendustaan yang lain yang lebih serius, maka beliau meringkaskan, "berasa benar-benar bebas untuk berdusta kehidupan seks anda. Akan tetapi, berasa kurang bebas untuk berdusta tentang sesuatu yang lain yang berkait dengan tugas anda sebagai pegawai yang dipilih."


Satu alasan banyak ahli politik berkelakuan buruk sekarang adalah bahawa kita kurang menghabiskan masa untuk memikirkan apakah yang dimaksudkan dengan berkelakuan baik, tulis kolumnis, David Brooks. Hal ini kurang menjadi masalah pada abad lalu apabila para pemimpin, guru, dan paderi mengadakan debat terperinci apakah yang dimaksudkan mempunyai peribadi yang baik. Brooks memetik Edmund Burke yang menggubah rangkap yang panjang dan terkenal, mentakrikan standard kecemerlangan politik, dan dengan panjang lebar memetik Anthony Trollope yang pada abad ke-19 menulis siri novel popular mengacau apakah yang dimaksudkan kelakuan baik dalam kehidupan politik.


Secara lebih khusus, kehidupan seks, seperti yang didedahkan akhir-akhirnya, kebanyakannya melibatkan ahli politik lelaki, memetik Marlo Thomas, lelaki berkelakuan buruk: Strauss-Kahn, Schwarzenegger, Edwards, Weiner. Dalam kes Weiner, dia bukan sahaja mendustai satu negara tentang salah laku seksualnya dalam talian, tetapi dia juga membohongi bekas kekasihnya, Kirsten Power. Kirsten yang pernah muncul di kaca televisyen untuk mempertahankan Weiner kepada berjuta-juta orang selepas dia mendesak Kirsten bahawa dia tidak foto lucah melalui Twitter.


Mengapa lelaki berkelakuan buruk? Dalam "When it Comes to Scandal, Girls Won't be Boys," Sheryl Gay Stolberg menjelaskan wujud kaitan antara seks dan kuasa, iaitu lelaki yang sangat berkuasa tertarik pada wanita, wanita yang sangat berkuasa menolak lelaki. Penyelidikan menunjukkan jurang gender yang meluas dari segi cara pendekatan wanita dan lelaki menyertai politik. Wanita mempunyai alasan yang berbeza untuk menyertai politik, adalah lebih keberatan untuk melakukannya, dan kerana hanya sebilangan kecil daripada mereka dalam politik, amat sangat sedar penelitian yang mereka lakukan, semuanya kelihatan menuju kepada perbezaan dari cara mereka mengendalikan tugas apabila mereka dipilih. Sheryl memetik Debbie Walsh, Pengarah Center for American Women and Politics di Rutger University bahawa wanita menceburi politik untuk melakukan sesuatu, manakala lelaki menceburi politik untuk menjadi orang penting. "Wanita menceburi politik kerana wujudnya beberapa isu awam yang mereka prilhatin, beberapa perubahan mereka mahu lakukan, beberapa isu yang merupakan keutamaan kepada mereka, manakala lelaki menceburi politik kerana mereka melihat laluan kerjaya mereka."


Sehebat mana dan setinggi mana kedudukan seseorang lelaki, akhirnya tumbang di kaki wanita, demikian pemerhatian Sara Litpon, "Those Manly Men of Yore." Jawapan konvensional adalah apabila masuk bab seks, jenis tertentu manusia, tidak kira bagaimana pintar, tidak dapat berfikir sama sekali; dia sekadar bertindak. "Oleh sebab perseikatan seksualiti ini dengan keperempuanan, lelaki yang gagal mengawal dorongan seksual mereka atau mudah tergoda dengan daya tarikan wanita mendapati sifat kelakian mereka dicabar." Sara membangkitkan kisah Marc Anthony yang diperolok-olokkan bulat-bulat setelah "dilembutkan dan dilemahkan" oleh keinginannya terhadap Cleopatra. Apabila raja dan wira perang Pedro II dari Aragon menghabiskan malam sebelum peperangan bukannnya bersembahyang atau mengadakan mesyuarat tergempar, tetapi berseronok di atas ranjang dengan wanita, baginda dilabelkan keperempuan-perempuanan.


Kedurjanaan si lelaki diselamatkan oleh kesetiaan sang isteri, seperti Anne Sinclair mempertahankan suaminya, Strauss-Kahn. Apabila suaminya bersiap sedia untuk pilihan raya Presiden Perancis lima tahun, Anne Sinclair memberitahu akhbar di Paris bahawa dia "agak berbangga" dengan reputasi suami sebagai kaki perempuan, chaud lapin (hot rabbitt) panggilan Penggoda Hebat. "Memang penting," kata Anne, "untuk lelaki dalam politik untuk mampu menggoda." Apabila suaminya ditangkap atas tuduhan cuba merogol pembantu hotel itu, Anne mempertahankan suaminya. "Saya tidak percaya, walau sesaat pun tuduhan yang dihadapkan terhadap suami saya. Kemurnian hatinya akan terbukti juga akhirnya."


Sementara Huma Abedin, pembantu yang membingungkan kepada Setiausaha Negara Hillary Clinton seakan-akan dipersendakan angkara suaminya, Anthony Weiner, anggota Kongres yang suka berfoya-foya yang menggodanya. Huma Abedin dikatakan isteri Weiner yang menakjubkan, dan menurut Weiner, "Kami akan mengharungi ini. Saya sangat-sangat mencintai dia dan dia mencintai saya." Dia juga memberitahu bahawa isterinya tahu tentang aktiviti dalam taliannya dengan wanita sebelum mereka berumah tangga lagi, tetapi isterinya tidar sedar bahawa dia berdusta minggu lalu tentang foto eksplisit yang diposkan kepada akaun Twitter dia. Bahkan, ada yang menasihati Huma apa yang perlu dia lakukan pada saat yang amat mencabar itu: kurang perjalanan kerana dia mengandungi, habiskan lebih banyak masa dengan suaminya, suruh suaminya diam, ingat bahawa anda bukan Hillary, tumpukan pada bayi.


Dalam "No Guide to Survive a Political Scandal," Michael D. Shear menegaskan tidak ada lagi masa mewah menggerenyet untuk ahli politik Washington berbanding dengan detik bahawa skandal seks meletup ke dalam pandangan awam. Untuk berjaya mengharungi skandal politik biasanya memerlukan bru pelik stand-by-your-man daripada isteri; pembela yang rela dalam kalangan kepimpinan parti; ketiadaan keterangan fizikal yang menjijikkan; para pengundi yang bersedia melihat dari sudut lain; dan dos yang berat keyakinan diri yang tertinggi. Akan tetapi, tegas Shear yang menulis dalam The New York Times, perkara yang luar biasa tentang skandal seks era moden adalah bahawa sukar untuk mengetahui terlebih dahulu hanya bagaimana untuk mengharunginya. Sebagaimana kempen yang membolehkan ahli politik ke Washington sejak mula-mula lagi, tiada road map tunggal yang boleh menolong ahli politik mengharungi kegilaan media yang pastinya, mengikuti pendedahan dramatik. Akhirnya, bergantung pada keadaan.


Menoleh ke tahun 1791, iaitu ketika berkhidmat sebagai Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Alexander Hamilton memulakan hubungan sulit dengan Maria, kemudian hubungan itu didedahkan, maka untuk melindungi dirinya, Hamilton menerbitkan risalah, Kate Zernike menulis bahawa lebih dua abad dan banyak skandal kemudian, Twitter menggantikan risalah sebagai medium detik ini. Tambah beliau, "dan menjadi alat baru untuk ahli politik terlibat dalam salah laku seksual." Dalam "Technology and the Political Sex Scandal," Zernike menulis "jika ahli politik mengakui bahawa mereka tidak boleh lari daripada mabuk dan pesta minum-minum di hadapan orang awam, sesetengahnya hanya menemui saluran keluaran baru untuk dalam talian kelakuan yang teruk. Mereka mungkin memahami bahawa mereka tidak boleh kelihatan meninggalkan majlis dengan pelobi yang berlainan jantina, tetapi menghantar gambar galaj dalam tallian pada tengah malam dianggap benar-benar berbeza."


Apabila Anthony Weiner akhirnya terpaksa meletakkan jawatan, Joel Shatzky membela anggota Kongres itu menjadikan saya sedar bahawa kita hidup pada era yang sensasionalisme yang semakin menjadi-jadi digunakan sebagai pengganti wacana politik serius. Beliau berhujah bahawa jika orang awam Amerika benar-benar percaya kelakuan seks haram boleh membawa kesan negatif terhadap prestasi tokoh terkenal, dan dengan itu, menjangkakan bahawa pihak yang bersalah sepatutnya meletakkan jawatan, apakah yang mungkin terjadi terhadap negara kita seandainya FDR (Franklin D. Roosevelt) dipaksa meletakkan jawatan ketika beliau berkhidmat sebagai pemimpin kita semasa Perang Dunia Kedua atau JFK (John F. Kennedy) ketika Krisis Peluru Berpandu Cuba?


Sebagaimana pendustaan, fitnah memfitnah, mungkir janji, dan menuding jari, kehidupan seksual juga menjadi darah daging orang politik. Untuk mengatakan orang politik bersih segala-galanya, sesungguhnya itu suatu pendustaan yang tiada tolok bandingnya. Tambahan pula, sempadan antara bersih dengan kotor, kebaikan dengan keburukan, semakin kabur, sekadar ditafsirkan di manakah seseorang itu berdiri. Jika seseorang mencampakkan ideologi dan fahaman politiknya seketika dan berfikir secara waras dan rasional, jelas bahawa orang politik menjadi hamba pada kehidupan atau kelakuan seksual.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SAMPAIKAN WALAU SATU AYAT

Sila gunakan browser firefox untuk melayari blog ini dengan sempurna. terima kasih


Assalamualaikum.. bismillahirahmanirahim.

" Segala bahan didalam blog ini di ambil, di olah dan ditulis dari pelbagai sumber. Kepada yang ingin mengambil apa2 jua bahan dalam blog ini dengan niat untuk mengembangsebarkan ilmu, tidak perlu meminta izin atau menyertakan link blog ini. Sebarkan dan panjangkanlah kepada semua demi kebaikkan ummah. Semoga info yang ada dapat memberi manfaat walaupun sedikit cuma, dan semoga dengan usaha sekecil ini pastinya tidak akan terlepas dari pandangan Allah.. insyaAllah.. Jika ada kesilapan dari setiap posting, tolong berikan nasihat dan komen. Maaf andai terlancar bahasa tersasar kata-kata. Saya hanya insan biasa yang tidak sunyi dari kesilapan. wallahualam."

PERHATIAN!!! BLOG INI TIDAK MEWAKILI MANA-MANA PARTI , NGO DAN SEBAGAINYA. SEGALA TULISAN DI ISI MENGIKUT CITARASA HAMBA SENDIRI DAN HAMBA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB ATAS KESELAMATAN DAN KERUGIAN PEMBACA DISEBABKAN BLOG INI..... SEKIAN

PERHATIAN !!!!!!

Sebarang artikle yang termaktub di dalam blog ini tidak semestinya menunjukkan sikap pengendali blog ini. Ambillah yang berfaedah dan tinggalkanlah yang sia - sia........

MENGAPA AKU BERKATA SYIAH RAFIDAH KAFIR ?

Sesungguhnya Allah telah memilih sahabat-sahabat untuk ku, Dia menjadikan mereka sebagai sahabat-sahabatku, mertua-mertuaku dan menantu-menantuku. Nanti akan muncul satu golongan selepas aku akan memburuk-buruk dan memaki hamun mereka.Sekiranya kamu menemui mereka, janganlah kamu mengahwini mereka, janganlah kamu makan dan minum bersama mereka, janganlah kamu berjemaah bersama mereka dan jangan kamu menyembahyangkan jenazah mereka. [Ali al-Muttaqi, Kanz al-‘Ummal, jil 11, m.s : 540 ]

Sabda Rasulullah S.A.W:

Sabda Rasulullah S.A.W:“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka” (Riwayat Muslim).



Al - Hadis

DARIPADA Abu Said katanya:
Aku mendengar Rasulullah (s.a.w.) bersabda: siapa yang melihat (dan tahu) sebarang kemungkaran, maka hendaklah diubahkannya dengan tangannya (kuasanya), kalau tidak berkuasa, maka (ubahlah) dengan lidahnya, dan kalau tidak mampu juga, maka ubahlah dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman (HR Muslim).

KUTIPAN DANA BAGI PEMBANGUNAN SRIBU

KUTIPAN DANA BAGI PEMBANGUNAN SRIBU
Hadis nabi saw : apabila matinya anak adam maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga... yaitu sadhoqah jariah , ilmu yang memberi manfaat dengannya , doa anak yang soleh.

WAKTU SOLAT

Membangun Bersama Islam

Blog Archive


"tegakkanlah islam dalam dirimu,nescaya kamu akan melihat islam tertegak di tanah airmu" - Imam As-Syahid Hassan Al-Banna (Pengasas&Mursyidul Am Pertama Ikhwanul Muslimin)

berwaspada dari fitnah moden

berwaspada dari fitnah moden

Tok guru Nik Aziz

Tok guru Nik Aziz

Tok guru Haji saleh

Tok guru Haji saleh

Recent Comments

Footer 2

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ikut Melalui Email

Translate