YANG MASIH PANAS...

Di Bulan Ramadhan Apa Salahnya Jika Kita Solat Sunnat Taraweh 20 Rakaat , Janganla Berkira Sangat Dengan Tuhan...

Dari Abu Hurairah r.a berkata: “Adalah Rasulullah SAW menggalakkan qiyamullail (solah malam) di bulan Ramadhan tanpa memerintahkan secara wajib, baginda bersabda: “Sesiapa yang solah malam di bulan Ramadhan kerana beriman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka diampuni baginya dosa yang telah lalu.”

Dalam hadith disebut sembahyang malam dan bukannya sembahyang Tarawih. Rasulullah saw telah mempercepatkan sembahyang malamnya (tahajjud) sebanyak lapan rakaat bagi memenuhi malam pada bulan Ramadhan. Pada malam-malam Ramadhan, Rasulullah saw sembahyang Tahajjud sebanyak 8 rakaat selepas Isyak hinggalah hampir waktu Subuh, barulah Baginda berhenti untuk bersahur.
Sayyidina Umar bimbang umat tidak mampu melakukan sembahyang malam yang lama seperti Rasulullah, maka dilakukan Sembahyang Tarawih sebanyak 20 rakaat (yang lebih pendek masanya) bagi memenuhi malam-malam Ramadhan. Saiyidina Umar berkata: “Amalan ini satu perbuatan bid’ah yang baik”. Namun sebenarnya ia bukanlah bidaah kerana mengikut Kitab Akidah yang besar iaitu Kitab Nibras, “Bidaah itu ialah tiap-tiap sesuatu perkara agama yang lahir selepas zaman sahabat nabi yang tiada dalil syarak”. Selain itu kita juga adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah, sunnah dari Nabi dan Jamaah itu dari para sahabat Nabi.

Sembahyang Tarawih yang telah dipilih dan diamalkan oleh jumhur ulama’ dari kalangan mazhab Syafi’i, Hanafi dan Hanbali ialah dua puluh rakaat berdasarkan amalan sahabat-sahabat Nabi dalam zaman Saiyidina Umar r.a. Dari Al-Sa’ib bin Yazid r.a, katanya: “Mereka (sahabat-sahabat Nabi) biasanya mengerjakan sembahyang tarawih dalam bulan Ramadhan – pada zaman Saiyidina Umar bin al-Khattab, sebanyak dua puluh rakaat.

Sembahyang Tarawih bermaksud rehat, kalau 8 rakaat yang laju bagaimana hendak berehat

"Maksud Tarawih dari bahasa ialah berasal dari perkataan tarwihah yang bermaksud satu kali istirehat. Solat Tarawih pada istilah ialah solat sunat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat fardhu Isyak. Biasanya duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat solat sunat Tarawih, sebelum disambung semula.
Hukum Solat Tarawih ialah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi orang-orang Islam lelaki dan perempuan. Oleh kerana itu keadaannya menjadi penyempurna bagi ibadat puasa yang wajib dan memang banyak pahalanya. Mereka yang mengerjakan ibadat puasa tetapi tidak mengerjakan Solat Tarawih pada malamnya, seolah-olah menjadi tawar dan hambar; berjaya tetapi tidak cemerlang. Sesungguhnya sangatlah ruginya mereka yang berpuasa Ramadhan tetapi tidak melengkapkannya dengan solat Sunat Tarawih.


“Sesiapa yang mendirikan solat (Tarawih) pada malam hari di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ikhlas, maka Allah mengampunkan segala dosanya yang telah lalu.” (Hadist riwayat Bukhari)

Sejarah Solat Tarawih ialah bermulanya di Masjid Nabawi, ketika mana malam pertama Ramadhan Nabi Muhammad saw mengerjakan Solat Tarawih dan diikuti oleh sahabatnya yang berada di masjid tersebut. Malam kedua Nabi Muhammad saw mengerjakan lagi Solat Tarawih dan diikuti lebih ramai lagi para sahabatnya. Pada malam ketiga lebih ramai lagi para sahabatnya menunggu Nabi Muhammad saw untuk mengerjakan Solat Tarawih, tetapi Nabi Muhammad saw tidak hadir pada malam tersebut. Pada keesokkan harinya, para sahabat bertanya kepada Rasulullah akan hal tersebut. Rasulullah menjawab kuatir Solat Tarawih tersebut diwajibkan. Peristiwa ini berdasarkan Hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah ra bermaksud :

"Pada suatu malam Nabi Muhammad s.a.w. solat dimasjid, maka para sahabat mengikuti solatnya. Pada malam berikutnya, Baginda s.a.w. solat lagi dimasjid dan para sahabat yang mengikutinya bertambah ramai. Lalu mereka berhimpun pada malam ketiga atau keempat, tetapi Nabi Muhammad s.a.w. tidak keluar kemasjid untuk solat bersama mereka. Pada sebelah paginya Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya aku melihat apa yang kamu kerjakan dan tidak ada sesuatu apa pun yang mencegah aku untuk keluar mengerjakan solat bersama kamu semua kecuali aku khuatir kalau- kalau kamu menganggap solat itu diwajibkan atas kamu." (Riwayat Muslim)

Rakaat Solat Tarawih

Ulamak dari empat mazhab bersepakat bahawa Solat Tarawih mempunyai 20 rakaat tidak termasuk dengan witir. Hujah ini berdasarkan kepada :
1. Pada zaman Umar ibnu al-Khattab r.a. umat Islam mengerjakan Solat Tarawih dalam bulan Ramadhan sebanyak 20 rakaat.
2. Hadith riwayat Imam Malik dalam kitab Al-Muwatta' . Yazid bin Rauman berkata: "Pada zaman Umar ibnu al-Khattab r.a. orang ramai mengerjakan Solat Tarawih sebanyak 23 rakaat. ( 20 rakaat Tarawih dan 3 Rakaat Witir)
Pendapat dari ulamak muktabar Tentang Rakaat solat Sunat Tarawih ialah :
1. Syeikh Al-Dardir dalam kitabnya Aqrabul Masalik'ala Mazhab Al-Imam Malik mengatakan bahawa : "Bahawa Solat Tarawih itu 20 rakaat dilaksanakan selepas solat Isyak dan salam setiap dua rakaat selain witir.Solat Tarawih itu sunat dikerjakan dirumah jika masjid telah penuh dengan jamaah yang mendirikan Solat Tarawih. akan tetapi jika masjid kosong daripada Solat Tarawih maka yang lebih utama adalah masjid dengan berjama'ah."
2. Imam Syafii dan Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa : “Solat Tarawih itu berjumlah 20 rakaat berdasarkan ijma para sahabat pada zaman Khalifah Umar al-Khattab. Imam Ibnu Abdil Bar menerangkan: "Sungguh benar adanya daripada Ubai bin Kaab bahawa beliau Solat Tarawih dengan 20 rakaat bersama umat Islam tanpa ada perselisihan pendapat daripada para sahabat."
3. Ibnu Rusyd dalam kitab Bidayah al-Mujtahid berkata: "Imam Malik dalam satu riwayat mengatakan Imam Abu Hanifah, Imam al-Syafii dan Imam Ahmad memilih 20 rakaat selain witir."
4. Imam Nawawi menerangkan: "Mazhab kami menetapkan bahawa Solat Tarawih berjumlah 20 rakaat dengan sepuluh salam selain witir. Ini terdiri daripada lima tarwihat (istirahat) dan satu Tarawih terdiri daripada empat rakaat dengan terdiri dua salam."
Jelas daripada semua pendapat ulamak di atas mengatakan bahawa Solat Tarawih mengandungi 20 rakaat. Hal ini tidak menjadi masalah kalau ada orang yang tidak mampu mengerjakan 20 hanya mengerjakan 8 rakaat. Dalam hal ini juga tidak perlu dipertikaikan dan tidak perlu berbalah atas alasan Rasulullah tidak melaksanakan Solat Tarawih sebanyak 20 rakaat di masjid. Ini semua hanya masalah furuk sahaja dan tiada dalil yang mengaharamkan atau mewajibkan perbuatan tersebut. Bergantung kepada kemampuan semua orang, jika mampu laksanakan 20 rakaat, maka lakukanlah 20 rakaat, kalau tidak mampu cukup hanya dengan 8 rakaat sahaja.
Solat Tarawih: 8 atau 20 rakaat?

“seringkali berlaku perbalahan dan pertelingkahan dalam melaksanakan ibadah-ibadah sunat dalam bulan Ramadhan terutamanya mengenai bilangan rakaat solat sunat Tarawih. Di samping itu, terdapat pula masyarakat Islam yang begitu beria-ia dan berduyun-duyun ke masjid dan surau untuk mengerjakan solat sunat Tarawih, pada masa yang sama mereka meninggalkan solat fardhu seperti Maghrib dan Subuh. Mengapa perkara begini boleh berlaku, adakah masyarakat kita masih tidak boleh membezakan mana yang lebih utama antara sunat dan fardhu?

Perbalahan dalam perkara-perkara khilaf seperti bilangan rakaat solat tarawih telah menyebabkan ada yang bermasam muka dan tidak bertegur sapa. Tidakkah mereka terfikir bahawa bermasam muka dan tidak bertegur sapa itu adalah haram, sedangkan puncanya datang daripada persoalan sunat yang menjadi khilaf di antara ulama?. Syeikh Dr. Fadl Hassan ‘Abbas telah menyatakan bahawa lebih elok ditutup pintu masjid agar tidak ditunaikan solat sunat tarawih sekiranya perbalahan tentangnya menyebabkan perpecahan berlaku di antara umat Islam! Manakah yang lebih penting, solat sunat atau persaudaraan Islam?

Ada pula masyarakat Islam yang memang seronok melihat perbalahan dan pergeseran berlaku di kalangan jemaah di masjid dan di surau. Lalu mereka sentiasa membawa serta membesar-besarkan isu ini dan mengapi-apikannya. Sedangkan mereka sendiri hanya menunaikan dua rakaat solat tarawih sahaja, lantas terus ke kedai kopi untuk berbual dan membuang masa. Sebagai umat Islam, kita hendaklah menghindarkan diri daripada perbalahan yang tidak berfaedah, sebaliknya hendaklah kita menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah yang patut dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini.

Solat Tarawih ialah solat sunat muakkad. Sekiranya seseorang itu meninggalkan solat Tarawih, dia tidak berdosa, akan tetapi seseorang itu akan mendapat dosa sekiranya mewujudkan perbalahan tentang bilangan rakaatnya sehingga menimbulkan pergeseran di antara umat Islam di masjid. Solat Tarawih bermula sebaik sahaja seorang itu selesai daripada mengerjakan solat fardhu ‘Isya (seeloknya selepas mengerjakan solat sunat Ba‘diyah ‘Isya’ kerana solat tersebut juga adalah sunat muakkad). Waktu untuk menunaikan solat Tarawih berkekalan sehingga terbit fajar. Ia dikerjakan dengan dua-dua rakaat. Jika dikerjakan solat Tarawih itu empat rakaat dengan satu salam, maka tidak sah solatnya, kerana menyalahi yang disyariatkan. (lihat kitab Al-Majmuk).

Persoalan mengenai jumlah raka’at solat Tarawih, sebenarnya ia merupakan perkara lama yang telah pun dibincangkan oleh ulama-ulama mu’tabar, tetapi malangnya ia sentiasa diungkit-ungkit dan ditimbulkan kekecohan oleh pihak-pihak yang masih tidak berpuas hati. Bilangan rakaat solat Tarawih adalah perkara yang termasuk di dalam perbezaan pendapat Ulama. Seseorang Muslim tidak boleh bersikap bersikap keras dalam perkara yang ada perbezaan pendapat di kalangan ulama.

Mengikut Syeikh Dr. Abdul Malik al-Sa’di, tidak terdapat dalil yang benar-benar pasti tentang bilangan rakaat solat tarawih yang dilakukan oleh Rasulullah saw kerana terdapat pelbagai riwayat tentang bilangan rakaatnya. (Lihat buku al-Bid’ah fi al-Mafhum al-Islamiy al-Daqiq, halaman 119). Oleh itu, semakin banyak Ibadah yang dilakukan pada malam-malam Ramadhan, maka semakin banyaklah pahala yang akan diperolehi.

Terdapat segelintir umat Islam bersikap keras dengan menyatakan bahawa solat Tarawih hanya 8 rakaat, dan sesiapa yang melakukan lebih daripada 8 rakaat merupakan suatu perkara bid’ah. Hujahnya ialah hadis daripada Abu Salamah bin Abdul Rahman yang bertanyakan Sayyidatuna Aisyah r.a : “Bagaimanakah solat Nabi s.a.w. di dalam bulan ramadhan?” Maka jawab Sayyidatuna Aisyah: “Nabi tidak melebihkannya di dalam Ramadhan dan di luar Ramadhan melebihi 11 rakaat …(11 rakaat ialah setelah dicampur 3 rakaat Witir)” (Hadis Riwayat Imam Bukhari).

Kalau diteliti hadis ini, ia hanya menunjukkan kebiasaan Nabi s.a.w. menunaikan solat malam di dalam bulan Ramadhan dan selainnya dengan 11 rakaat. Namun begitu, dalil-dalil yang jelas menunjukkan bahawasanya solat malam ini termasuklah solat tarawih tidak terikat dengan bilangan tertentu, sepertimana hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar, seseorang bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang solat malam, Maka jawab baginda : “Solat malam itu dua rakaat, dua rakaat, jika seseorang kamu bimbangkan masuknya waktu subuh maka dia solatlah satu rakaat sebagai solat witir.” (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Justeru apabila dilihat pendapat para ulama yang mu’tabar, akan didapati bahawa bilangan rakaat solat Tarawih tidak terikat dengan bilangan tertentu. Menurut Jumhur ulama’ pula iaitu yang terdiri daripada ulama’ aliran mazhab Syafie, Hanafi, yang rajih di sisi Imam Ahmad, al-Thauri, Daud dan sebagainya, mereka menyatakan bahawa bilangan solat Tarawih ialah 20 rakaat berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan selainnya yang bermaksud: “Bahawasanya mereka (sahabat-sahabat) nabi, mendirikan solat (Tarawih) dalam bulan Ramadhan pada zaman Umar bin al-Khattab dengan 20 rakaat.” (Telah mensahihkannya al-Hafiz al-’Iraqi dan al-Subki).

Di samping itu, terdapat riwayat daripada para ulama’ salaf yang menunaikan solat sunat Tarawih lebih daripada 20 rakaat. Terdapat di kalangan mereka yang menunaikan sebanyak 46 rakaat, 41 rakaat, 39 rakaat, 36 rakaat, 34 rakaat dan 24 rakaat. Ada pula yang menunaikan 16 rakaat dan 13 rakaat. (Rujuk buku al-Bid’ah fi al-Mafhum al-Islamiy al-Daqiq, halaman 120).

Menurut Syeikh Muhammad bin Soleh al-’Uthaimin dalam kitabnya (Fatawa Syeikh Ibn ‘Uthaimin – 1/407), beliau berkata: “Dan perkara ini (bilangan rakaat Tarawih) adalah luas. Maka tidak diingkari ke atas siapa yang solat dengan 11 rakaat atau 23 rakaat….”, Katanya lagi: “Tidak sewajarnya bagi kita untuk berlebih-lebihan dan melampau-lampau. Sebahagian manusia ada yang melampau-lampau dalam bentuk (kononnya) beriltizam dengan Sunnah (Nabi) dalam bab bilangan (solat Tarawih), mereka mengatakan : “Tidak boleh ada tambahan atas bilangan (solat tarawih) yang datang dari sunnah. Mereka juga mengingkari dengan keengkaran yang keras terhadap sesiapa yang melakukan penambahan dalam perkara ini, mereka mengatakan perkara tersebut adalah dosa dan derhaka. Perbuatan ini tidak syak lagi kesalahannya. Bagaimana boleh jadi dosa dan derhaka, (kerana) telah ditanya kepada Nabi s.a.w. tentang solat malam, kemudian Nabi mengatakan : “Dua rakaat, dua rakaat”, dan baginda tidak menghadkan bilangan rakaatnya…. Maka apabila Nabi s.a.w. menerangkan kaifiat (cara solat) tanpa menghadkan bilangan (rakaat), telah diketahui bahawasanya dalam perkara ini adanya keluasan….”

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah pula berkata : “Dan solat tarawih itu bahawasanya solatnya sepertimana mazhab Abu Hanifah, al-Syafi’e, dan Ahmad dengan 20 rakaat, ataupun sepertimana mazhab Malik dengan 37 rakaat, atau 13 rakaat, atau dengan 11 rakaat, sesungguhnya (semua ini) baik, sepertimana yang telah dinaskan oleh Imam Ahmad dengan ketiadaan at-Tauqif. Maka boleh dilakukan dengan banyak rakaat dan sedikit berdasarkan panjang atau pendeknya qiam.”

Ibn Qudamah pula menyatakan : “Dan yang terpilih di sisi Abu Abdillah (iaitu Imam Ahmad) r.a. (solat malam) 20 rakaat, dan inilah pendapat at-Thauri, Abu Hanifah, as-Syafi’e, dan berkata pula Malik : “36 rakaat.” (Lihat kitab al-Mughni – 1/457). Imam al-Nawawi pula menyatakan: “Solat tarawih itu merupakan sunnah dengan ijmak para ulama. Mazhab kami (berpendapat) bahawasanya (bilangannya) 20 rakaat dengan 10 kali salam, boleh dilakukan sendirian dan berjemaah.” (Lihat kitab al-Majmu’ – 4/31).

al-Suyuti pula berkata : “Hadith-hadith yang sahih dan hasan dalam perkara qiyam Ramadhan dan galakan melakukannya tidak mengkhususkan bilangan (rakaat). Ia juga tidak juga thabit bahawasanya Nabi s.a.w. solat tarawih dengan 20 rakaat. Adapun solat malam ini, solat yang tidak disebutkan bilangannya. Baginda menghentikan (solat berjemaah) pada malam yang keempat kerana bimbang difardhukan ke atas umat, maka perkara ini akan menyusahkan mereka…..” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah – 27/142-145) .

Jelasnya, bilangan rakaat solat Sunat Tarawih termasuk dalam perkara khilafiah yang tidak sepatutnya diperbalahkan. Sebaliknya setiap umat Islam hendaklah menumpukan perhatian untuk mewujudkan kualiti dalam Ibadah yang dilakukan serta mengikhlaskan diri kepada Allah swt. Rebutlah peluang, bonus dan ganjaran besar yang disediakan oleh Allah pada bulan Ramadhan ini. Jauhilah pertelingkahan dan pergaduhan dalam perkara-perkara furu’ kerana ia hanya akan merugikan umat Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SAMPAIKAN WALAU SATU AYAT

Sila gunakan browser firefox untuk melayari blog ini dengan sempurna. terima kasih


Assalamualaikum.. bismillahirahmanirahim.

" Segala bahan didalam blog ini di ambil, di olah dan ditulis dari pelbagai sumber. Kepada yang ingin mengambil apa2 jua bahan dalam blog ini dengan niat untuk mengembangsebarkan ilmu, tidak perlu meminta izin atau menyertakan link blog ini. Sebarkan dan panjangkanlah kepada semua demi kebaikkan ummah. Semoga info yang ada dapat memberi manfaat walaupun sedikit cuma, dan semoga dengan usaha sekecil ini pastinya tidak akan terlepas dari pandangan Allah.. insyaAllah.. Jika ada kesilapan dari setiap posting, tolong berikan nasihat dan komen. Maaf andai terlancar bahasa tersasar kata-kata. Saya hanya insan biasa yang tidak sunyi dari kesilapan. wallahualam."

PERHATIAN!!! BLOG INI TIDAK MEWAKILI MANA-MANA PARTI , NGO DAN SEBAGAINYA. SEGALA TULISAN DI ISI MENGIKUT CITARASA HAMBA SENDIRI DAN HAMBA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB ATAS KESELAMATAN DAN KERUGIAN PEMBACA DISEBABKAN BLOG INI..... SEKIAN

PERHATIAN !!!!!!

Sebarang artikle yang termaktub di dalam blog ini tidak semestinya menunjukkan sikap pengendali blog ini. Ambillah yang berfaedah dan tinggalkanlah yang sia - sia........

MENGAPA AKU BERKATA SYIAH RAFIDAH KAFIR ?

Sesungguhnya Allah telah memilih sahabat-sahabat untuk ku, Dia menjadikan mereka sebagai sahabat-sahabatku, mertua-mertuaku dan menantu-menantuku. Nanti akan muncul satu golongan selepas aku akan memburuk-buruk dan memaki hamun mereka.Sekiranya kamu menemui mereka, janganlah kamu mengahwini mereka, janganlah kamu makan dan minum bersama mereka, janganlah kamu berjemaah bersama mereka dan jangan kamu menyembahyangkan jenazah mereka. [Ali al-Muttaqi, Kanz al-‘Ummal, jil 11, m.s : 540 ]

Sabda Rasulullah S.A.W:

Sabda Rasulullah S.A.W:“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka” (Riwayat Muslim).



Al - Hadis

DARIPADA Abu Said katanya:
Aku mendengar Rasulullah (s.a.w.) bersabda: siapa yang melihat (dan tahu) sebarang kemungkaran, maka hendaklah diubahkannya dengan tangannya (kuasanya), kalau tidak berkuasa, maka (ubahlah) dengan lidahnya, dan kalau tidak mampu juga, maka ubahlah dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman (HR Muslim).

KUTIPAN DANA BAGI PEMBANGUNAN SRIBU

KUTIPAN DANA BAGI PEMBANGUNAN SRIBU
Hadis nabi saw : apabila matinya anak adam maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga... yaitu sadhoqah jariah , ilmu yang memberi manfaat dengannya , doa anak yang soleh.

WAKTU SOLAT

Membangun Bersama Islam

Blog Archive


"tegakkanlah islam dalam dirimu,nescaya kamu akan melihat islam tertegak di tanah airmu" - Imam As-Syahid Hassan Al-Banna (Pengasas&Mursyidul Am Pertama Ikhwanul Muslimin)

berwaspada dari fitnah moden

berwaspada dari fitnah moden

Tok guru Nik Aziz

Tok guru Nik Aziz

Tok guru Haji saleh

Tok guru Haji saleh

Recent Comments

Footer 2

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ikut Melalui Email

Translate